Tuesday, July 26, 2011

Bilakah polis, media mahu sertai kebangkitan rakyat?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Rabb-nya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka. Dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka. Bahkan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (QS. Ali Imran: 169-170)

***
PERHIMPUNAN Bersih di pusat kota KL pada tanggal 9 Julai lalu dijadualkan bermula jam 2.00 petang. Namun sebaik saja selesai makan di sebuah restoran mamak di tepi sebatang jalan menuju Lebuh Ampang jam 12.00 tengah hari, saya dan seorang rakan dikejutkan dengan orang ramai berlari-lari anak dari arah Pasar Seni.

Saya melihat asap gas pemedih dan terasa ‘sengatan’nya pada kulit. Sekalipun lari bertempiaran, orang ramai kembali membentuk satu kumpulan di sepanjang jalan yang kalau tidak silap saya Jalan Tun HS Lee.

Sepanjang perjalanan itu, peserta perhimpunan semakin ramai; mereka bagaikan kelkatu keluar daripada sarang masing-masing dan akhirnya membentuk satu himpunan besar yang saya anggarkan 10,000 orang ketika memasuki seterusnya terhenti di Jalan Sultan.

Antara permulaan perarakan itu sehingga perhimpunan di depan Menara Maybank yang menyaksikan puluhan ribu orang mendengar amanat Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, saya dapat rasakan sepanjang 30 minit itu (saya anggarkan antara jam 12.45 hingga 1.15 petang) adalah tempoh paling bermakna saya menyertai mana-mana perhimpunan yang didakwa haram kerana tiada tembakan gas dan semburan air kimia dari meriam air dilepaskan.

Rakan saya menyatakan kehairanannya dan bertanya; “adakah polis sudah menyertai rakyat” selepas melihat beberapa anggota trafik dan orang ramai saling membantu melicinkan perjalanan beberapa kenderaan yang kebetulan melalui jalan raya yang lengang ketika itu.

Saya memberitahunya; perpatah Melayu ada menyebut “air tenang jangan disangka tiada buaya,” maka berhati-hatilah. Yalah, macam kematian, ia boleh datang secara mengejut, maka kita sebagai manusia yang lemah, sentiasa bersiap sedialah.

Namun, 30 minit detik aman itulah yang paling bermakna saya rasakan diri saya sebagai seorang rakyat Malaysia. Melayu, Cina, India, pelancong ‘mat salih’, semuanya saya lihat masih mampu tersenyum-senyum, berjalan dan terus berjalan sekalipun tidak tahu ke mana kepala perarakan menghala.

Suatu ketika perarakan terhenti, rupa-rupa orang ramai terpesona melihat beberapa lelaki mengenakan kostum pribumi Sabah atau Sarawak. Saya tak pasti mereka orang Iban atau Kadazan.

Selain orang tegap badan, beberapa orang golongan istimewa juga kelihatan; mereka ditolak di atas kerusi roda masing-masing. Wah, sungguh hebat mereka; jika mereka ada kekuatan dan semangat, orang mengaku gagah bagaikan pendekar tentunya tidak tahu bagaimana mahu sorokkan muka!

Orang Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain masih ada masa untuk berkongsi ketawa apabila sesuatu yang lucu berlaku misalnya apabila seorang wanita India menjerit nyaring (maklumlah suara wanita) bagi menguatkan semangat peserta.

Melihatkan perarakan hebat yang disertai semua bangsa itu, terasa sebak di dada saya, sudah lama saya tidak melihat ‘kesama-beradaan’ (eh-eh, bunyinya sama macam ‘brotherhood’ – persaudaraan dalam bahasa Inggeris) bangsa-bangsa di Malaysia yang kadang-kadang boleh dilihat di gelanggang sukan dan di sekolah.

Betul di gelanggang sukan wujud rasa ‘kekitaan’ itu yang mahukan ‘pasukan kita’ (misalnya Malaysia) menang, lantas rakyat daripada semua kaum bersorak dan menyokong pasukan yang sama, tetapi ia lebih bersifat ‘dirancang’ namun pada demonstrasi ini saya lihat ia bukan sengaja diada-adakan tetapi berlaku secara semula jadi; rakyat bersatu dalam memperjuangkan satu matlamat yang digariskan oleh Bersih – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil.

Ya mereka mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil; pihak yang akan menang apabila diadakan pilihan raya bukanlah fokus utama. Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain sebagai rakyat Malaysia hanya mahukan pilihan raya bersih dan adil tetapi apakah ‘hadiah’ yang mereka terima akibat memperjuangkan nilai murni ini?

Selepas 30 minit menyaksikan kehebatan kesepaduan bangsa Malaysia bagi mencapai satu matlamat murni itu, bunyi letusan tembakan kelongsong gas pemedih mata pada kira-kira jam 1.15 petang di depan Menara Maybank itu menyedarkan saya bahawa ada pihak tidak senang dengan tautan erat rakyat itu.

Apabila kelongsong-kelongsong gas mendarat tepat di tengah-tengah orang ramai, asapnya menyelubungi udara, maka bertempiaranlah lari Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan pelancong ‘mat salih’ menyelamatkan diri masing-masing. Disebabkan terlalu keras penderitaan diri (nafas sesak, mata pedih, kulit bagaikan disengat-sengat), saat itu mereka tidak peduli lagi, mereka lari dan melakukan rempuhan bagaikan orang hilang akal.

Melayukah, Cinakah, Indiakah, mat salihkah, sesetengahnya tidak peduli lagi, mereka langgar saja, yang paling penting mereka mahu menyelamatkan diri masing-masing. Siapa yang sudah terkena tembakan gas itu tahulah sendiri deritanya; ketika itu tidak terfikir lagi soal bangsa.

Namun apabila suasana dan diri mereka kembali tenang, barulah naluri kemanusiaan dan kemuliaan peribadi terserlah kembali; senario Melayu kembali menolong Cina, Cina tolong Melayu atau Melayu tolong India, malah Cina tolong mat salih kembali dapat dilihat! Itulah kita mahu tetapi semuanya dirosakkan pemimpin yang mahu berkuasa dulu, kini dan selamanya!

Pagi esok selepas Himpunan Bersih 2.0 (Ahad) seperti biasa saya ke gerai akhbar bagi menatap muka depan akhbar. Hampir semua akhbar harian menggambarkan perhimpunan tersebut gagal dengan sebuah akhbar kompak melaporkan hanya 6,000 orang 'pengacau' hadir sedangkan perhimpunan menyambut pasukan bola sepak di Kelantan pun menggamit kehadiran 10,000 orang, pesta hiburan di Jengka dihadiri 5,000 orang manakala satu himpunan di Putrajaya yang ada acaranya membabitkan PM dihadiri 15,000 orang. Pendeknya, akhbar-akhbar ini mahu melekehkan perjuangan rakyat yang menuntut proses pilihan raya berjalan secara bersih dan adil.

Satu persoalan besar di sini, bilakan media dan polis mahu menyertai kebangkitan rakyat sedangkan kita sudah saksikan di beberapa negara luar seperti Indonesia, negara Arab dan Eropah Timur; ketika berlaku perubahan termasuklah revolusi, kedua-dua pihak ini menyertai perjuangan rakyat. Antara yang paling dramatik adalah bagaimana media Indonesia yang selama itu kuat mengampu seorang diktator secara tiba-tiba menyokong perjuangan rakyat bagi menuntut pembaharuan! Media kita, bagaimana? Mahu terus jumud dulu, kini dan selamanya?

No comments: