Tuesday, July 12, 2011
"Doakanlah kemenangan kami, Muslim Kashmir"
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan membuat kebajikan." (QS. An-Nahl: 90)
***
KUNJUNGAN ke Kashmir (dalam jajahan India) kurang sempurna jika tidak ke Tasik Dal, Gulmarg, Sonamarg, Yousmarg (marg bererti padang rumput) dan Pahalgam. Saya hanya sempat ke tiga lokasi iaitu Tasik Dal, Gulmarg (yang bererti padang rumput penuh bunga-bungaan) dan Pahalgam iaitu sebuah kampung penggembala.
Tasik Dal berukuran 8 kilometer kali 4 kilometer dengan keluasan 26 kilometer persegi. Keindahannya terserlah; dengan latar belakang gunung-ganang termasuk banjaran Zabarwan; di pesisirnya terdapat sejumlah taman-taman indah dan luas peninggalan Moghul seperti Cheshmashahi, Pari Mahalm Nishat Bagh, Shalimar dan Harwan. Berada di taman-taman ini bagaikan berada dalam 'syurga dunia', seseorang itu terleka melihat kembangan bunga mengharum dan bunyi aliran air di bawah pohon-pohon gergasi meneduhi bumi.
Di Kashmir, kami menghuni di dalam rumah bot (houseboat) yang sengaja dibiarkan tersadai di pinggir Tasik Nagin, hanya sembilan kilometer dari Tasik Dal. Dari sinilah kami bergerak ke Gulmarg yang jauhnya 60 kilometer dan ke Pahalgam, hampir 100 kilometer dari Srinagar. Gulmarg sebuah dataran tinggi bagaikan karpet hijau, begitu mempersona, menjadi tumpuan ribuan orang setiap hari. Pada musim tertentu ia menjadi destinasi sukan ski, terutama mereka yang berupaya ke ketinggian bersalji, Apharwat dengan menaiki kereta kabel.
Pahalgam pula adalah lembah yang terdapat aliran deras anak-anak sungai termasuklah yang mengalir ke sungai termasyhur Indus dengan butiran-butiran batu dapat dilihat didasarnya. Pemandangannya sungguh mempersona, kata orang tiada ayat yang sesuai bagi menggambarkan kecantikan alam semula jadinya.
Dalam perjalanan-perjalanan yang jauh inilah saya mengumpul maklumat mengenai keadaan umat Islam, mewancara sejumlah penduduk yang berdasarkan air muka mereka dapat saya yakini mereka memperjuangkan Islam dan nasib ummah, setidak-tidaknya sebagai golongan yang ambil peduli. Berdasarkan perkembangan semasa, saya berpendapat adalah tidak bijak untuk menyiarkan nama, pekerjaan dan lokasi wawancara kerana bimbang mereka akan menjadi buruan kerana kuatnya kongkongan pihak berkuasa yang menghadirkan sejuta anggota tentera dengan perisik dan tali barut di serata bumi Kashmir.
* 'A' yang susuk dan wajahnya nya kelihatan terlalu tua untuk umurnya 45 tahun; berkata: "Tolong khabarkan kepada dunia bahawa orang Kashmir mahukan PBB mengadakan pungutan suara di sini. Saya hampir pasti 100 peratus penduduk Kashmir ini mahukan sebuah negara merdeka; mereka tidak mahu berada dalam kekuasaaan India mahupun Pakistan."
* 'B' yang juga kelihatan jauh berusia daripada umurnya 26 tahun, berkata: "Kami dipenjara di tanah air kami sendiri. Ada lebih sejuta askar India berkeliaran di sini. Saya percaya ada terlalu banyak pengintip dan tali barut berada di mana-mana. Tolong jangan cakap kuat-kuat," katanya ketika penulis menyebut perkataan 'Mujahidin'.
* 'C' mendakwa wanita Kashmir paling teruk dikenakan tekanan. "Mereka tidak bebas bergerak dengan kehadiran terlalu ramai anggota pasukan keselamatan India di mana-mana. Ramai yang terpaksa menghabiskan masa di rumah saja."
* 'D' merungut terlalu banyak anjing berkeliaran di bumi Kashmir. Katanya, binatang itu yang biasanya tidur di kaki lima jalan kedai menyusahkan pekedai dan pembeli serta jemaah yang hendak ke masjid. Beliau mendakwa di Kashmir adalah menjadi kesalahan untuk menghalau anjing-anjing apatah lagi membunuhnya. Berdasarkan itu, kedapatan banyak anjing gemuk bermalas-malasan di kaki lima jalan dan di depan kedai.
* 'E' mendakwa jumlah jemaah haji dari Kashmir dihadkan kepada ribuan orang saja setahun sedangkan yang memohon lebih 30,000 orang.
Hampir semua yang diwawancara berharap penulis dapat menghebahkan penderitaan mereka kepada umat Islam di seluruh dunia. "Apabila kamu balik nanti, beritahu umat Islam terutama imam-iman agar mendoakan keselamatan dan kemenangan kami di bumi Kashmir ini," kata seorang daripada mereka.
Ya, berdoalah untuk kesejahteraan dan keamanan umat Islam seluruh dunia termasuk di bumi Kashmir, kerana doa adalah senjata ampuh orang mukmin. Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment