***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Sabda Rasulullah s.a.w.: "Kalian masing-masing adalah pemimpin, dan kalian akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Seorang penguasa adalah pemimpin, seorang lelaki adalah pemimpin keluarga di rumahnya, dan seorang perempuan juga pemimpin rumah suaminya dan anaknya. Jadi setiap kalian adalah pemimpin, dan kalian bertanggungjawab terhadap apa yang kalian pimpin." (HR Bukhari)
TERKEJUT saya apabila seorang kenalan menefon bertanya betulkah artikel
‘Politik baru Malaysia medan antara Najib-Anwar’ yang tersiar dalam Suara
Keadilan (SK) terbaru (Bilangan 24, 12 Julai) di muka surat 14 adalah karya
saya. Saya menjawab tidak kerana kali terakhir artikel saya disiarkan SK adalah
pada 15 Mac 2011 selepas lima tahun menjadi penulis tetap kerana selepas itu
saya tidak lagi menulis untuk SK kerana kesibukan tugas.
Kenalan itu berkata, dia kenal gaya tulisan saya; jadi dengan mudah dia
dapat mengecam itu bukan tulisan saya. Apabila berpeluang menatap tulisan itu,
dengan mudah pula saya tahu ia sebenarnya tulisan Lanjusoh, seorang wartawan
berpengalaman dari Kota Bharu, Kelantan.
Saya pun menelefon Saudara Lanjusoh, memaklumkan beliau akan kekeliruan
itu, dan beliau dengan senang hati memberi kemaafan. Sebenarnya kekeliruan ini
adalah satu rahmat, jadi pada kesempatan ini saya berhajat menulis mengenai
kejahatan sesetengah orang atau pihak menangguk di air keruh, mahu membina nama
di sebalik usaha orang lain termasuklah bagi menyemarakkan kebangkitan rakyat;
lebih tepat lagi ‘lembu punya susu sapi dapat nama’.
Penulis percaya jika kebangkitan rakyat melalui perhimpunan Bersih
berhasil ‘mereformasikan’ penggendali pilihan raya (di negara kita Suruhanjaya
Pilihan Raya, SPR) akan ada pihak nanti mengaku itulah hasil usaha mereka. Pendeknya merekalah yang
bertanggungjawab ke atas perubahan itu.
Pihak ini akan tidak malu-malu mendakwa mereka sebenarlah yang terbabit
dalam perubahan berkenaan. Persetan rakyat yang terpaksa menanggung derita
mengadakan perhimpunan ‘haram’ seterusnya dianiayai dengan semburan asap dan
air kimia, yang penting mereka mengukir nama, lebih baik lagi jika nama mereka
dicatatkan dalam buku Sejarah.
Sejarah adalah catatan orang menang bukan orang berjasa. Ada sebuah
peribahasa Afrika berbunyi: “Until lions have their historians, tales of the
hunt shall always glorify the hunters,” yang bermaksud sehinggalah singa mempunyai
penulis sejarah, kisah perburuan akan hanya menggambarkan kehebatan si pemburu.
Yalah sang singa manalah berpeluang untuk mengkisahkan kehebatannya, yang
membuat ‘kelentong’ adalah si pemburu, kononnya dialah yang paling hebat.
Demikianlah jika menghalusi demonstrasi rakyat akhir-akhir ini seperti
Perhimpunan Membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) yang berlangsung beberapa kali dengan kemuncaknya pada
tahun 2009 yang akhirnya membawa kepada tindakan kerajaan memansuhkan projek
berkenaan.
Pejuangnya
adalah rakyat awam yang sanggup dibantai oleh pihak berkuasa
tetapi yang mendapat nama adalah mereka yang mengaku pejuang bahasa
tetapi
sentiada ‘duduk enak-enak dalam bilik berhawa dingin’. Malah ada yang
memandang 'sengkek' kepada negarawan prihatin seperti Pak Samad (Dato' A
Samad Said) yang sanggup turun ke jalan raya.
Pemimpin politik dan peneraju pelbagai
persatuan mendakwa merekalah pencetus kepada perubahan itu sedangkan mereka
tidak turun padang, malah ada yang membantah rancangan rakyat untuk berarak di
jalan raya. Tetapi apabila tuntutan rakyat berjaya, mereka mengaku itulah jasa
mereka. Tidakkah ini menepati peribahasa ‘lembu punya susu sapi dapat nama’?
Sebenarnya,
ramai orang dalam kategori tidak tahu malu ini. Mereka yang
tidak berjuang tetapi apabila perjuangan orang lain berhasil, mereka
cepat-cepat ambil peluang untuk menonjolkan kehebatan masing-masing.
Mereka pengecut tetapi mahukan nama masing-masing mengharum. Biasanya
merekalah diberi penghormatan sedangkan sepanjang sejarah, pejuang
sebenar tersisih
dan dilupakan orang.
Bukalah buku sejarah kemerdekaan negara kita; akan tertonjollah nama
tokoh-tokoh yang saling bekerjasama dengan British tetapi nama pejuang yang
tidak rela tanah air ini dijarah semahu-mahunya oleh British seperti Ibrahim
Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestaman terus hilang dalam lipatan
sejarah. Ini kerana orang atau pihak
yang menang itulah yang menulis sejarah, yang berjuang dengan ikhlas tidak
mengharapkan balasan apa-apa, jadi tiada catatan sejarah buat mereka. Ingatlah,
pemburu sentiasa hebat, tidak pernah singa dicatatkan sebagai hebat.
No comments:
Post a Comment