***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Janganlah kamu memakan harta benda di antara kamu dengan jalan yang salah." (Al-Baqarah, 188)
***
SUDAH menjadi impian saya sejak sekian lama untuk menjejaki kaki di bumi Kashmir. Sejak bertugas di akhbar arus perdana lagi saya sudah menulis beberapa artikel mengenai penderitaan penduduk tanpa negara ini. Di dalam buku saya 'Dilema Seorang Wartawan Islam' (terbitan 2001) ada dicatatkan secara ringkas mengenai isu Kashmir dalam sebuah artikel yang memfokuskan kepada konflik India dan Pakistan.
Antara lain saya menulis: "Sambutan jubli emas (50 tahun) Pakistan dan India begitu bererti bagi rakyat kedua-dua negara yang bersaing hebat bagi membuktikan mereka adalah jaguh Asia Selatan. Kedua-dua negara sudah terbabit dalam tiga peperangan, dua daripadanya membabitkan isu Kashmir.
"Selain itu, Islamabad dan New Delhi juga didakwa bersaing memajukan senjata nuklear. Perkembangan ini kurang disenangi oleh Amerika Syarikat yang mula bertindak ke atas Pakistan. India juga diancam akan dikenakan tindakan selepas ia menguji peluru berpandu Prithvi. India dikatakan lebih berjaya berbanding Pakistan dalam tempoh lima dekad sejak benua kecil itu merdeka. Ini berdasarkan satu tinjauan oleh majalah 'Far Eastern Economic Review' membabitkan 300 eksekutif.
"Sembilan puluh lima responden berkata India mempunyai kerajaan lebih demokratik berbanding Pakistan. India juga dilihat lebih stabil dari segi politik, lebih ke depan dalam pengurusan ekonomi dan lebih baik bagi membuat pelaburan.
"Sekalipun isu Kashmir sering dikatakan sebagai punca ketegangan India-Pakistan, kedua-dua sebenarnya menghadapi masalah dalaman yang boleh menjejaskan masa depan benua kecil itu.
"Pakistan menghadapi pelbagai krisis puak, misalnya antara militan Syiah dan Sunnah yang menjejaskan keharmonian di wilayah Punjab dan Sindh. Sekalipun 97 peratus daripada 125 juta (1990-an) penduduk negara ini beragama Islam, perbezaan fahaman mencetuskan krisis yang mengancam negara.
"India pula menghadapi masalah berpunca daripada perbezaan agama penduduknya. Daripada satu bilion penduduk India (1990-an), 83 peratus beragama Hindu, 11 peratus Islam, tiga peratus Kristian dan dua peratus Sikh. Kemuncak perbalahan antara penduduk Hindu dan Islam adalah tindakan militan Hindu membakar Masjid Babri (didirikan Maharaja Moghul, Babur pada abad ke-16) pada 1992 dulu. Rusuhan yang berlaku selepas peristiwa itu dan pergaduhan di Bombay menyebabkan beratus-ratus orang terbunuh."
Kini baru saya tahu konflik itu tidak sebesar penganiyaan dahsyat yang berlaku di Kashmir. Diberitakan apabila berlaku kebangkitan umat Islam Kashmir akhir-akhir ini sejumlah 68,000 orang kebanyakannya orang awam Kashmir terbunuh sejak 1989.
Bagi mengetahui keadaan umat Islam di Kashmir, saya berusaha mencari buku mengenainya dan salah satu buku yang sudah saya tatapi adalah 'Travelog -Tangisan dan Titisan Darah, Di Bawah Langit Kashmir' yang ditulis oleh CN Al-Afghani dan Mohd Rapi Mohd Nor Al-Jundi (terbitan Best Seller Publication).
Pandangan penulis dalam buku t penting untuk dihayati ummah, apatah lagi mereka yang mengaku pejuang Islam. Derita umat Islam Kashmir sama seperti orang Islam minoriti rantau lain seperti Palestin, Chechnya, Xinjiang (China), Arakan (Burma-Myanmar), Selatan Filipina dan Selatan Thailand dipandang sepi dan dikhuatiri akan lenyap. Ummah tidak peduli lagi, mereka rakus mengejar syurga dunia dan bagi mendapatkannya berdakap erat dengan penguasa dunia yang bersemayam di Washington, Moscow dan London.
Antara lain penulis mengungkapkan: "Tidak ramai lagi umat Islam yang berminat untuk mengetahui nasib ummah. Perbincangan-perbincangan ke arah menyelamatkan ummah yang dizalimi, sekadar terdengar di hujung-hujung telinga saja. Dibincangkan dalam seminar, forum, diskusi, muktamar dan di perjumpaan-perjumpaan tertentu. Memberi amaran yang keras kepada kuffar, mengancam toghut dan munafik yang berkuasa. Itu pun, perbincangan hasil maklumat yang didedahkan oleh orang bukan Islam. Tiada usaha dari umat Islam sendiri untuk terus ke padang mencari dan mendedahkan maklumat pada ummah.
"Demikianlah wajah umat Islam hari ini. Umat Islam yang bersemangat, tetapi sekadar semangat 'hangat tahi ayam' sahaja. Semangat yang dibakar oleh tipuan dunia dan bukannya semangat atau kesedaran yang menuju ke syurga firdaus. Semangat yang cintakan syahid, tetapi tidak pernah berusaha untuk mencapainya, walaupun peluang itu terus terbuka di hadapan mata. Setelah digertak, semangatnya terus hilang, akhirnya ia tiada semangat lagi.
"Ucapan berapi-api dalam seminar atau muktamar, menjadi dingin setelah dihidangkan oleh sepinggan nasi yang dikerumuni dengan pelbagai jenis lauk-pauk. Dingin, setelah berada dalam pelukan isteri sekembali ke rumah. Nyatalah segala kesengsaraan ummah dilamun oleh nafsu yang ada. Sedangkan Allah Taala telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat 216 yang maksudnya: "Kamu telah diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang amat kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu pada hal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu pada hal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya."
No comments:
Post a Comment