***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam segala urusan." (at-Thalaq: 4)
***
SEKEMBALINYA saya
dari India, selama tiga hari berturut-turut solat Subuh saya adalah pada jam
6.45 pagi. Dikira sudah terlalu lewatlah tu. Biasanya, insya-Allah mata saya
akan celik jam 5.00-5.30 pagi; bagi bersiap-siap untuk ke masjid untuk solat
berjemaah. Saya menjadi hairan; mungkin perbezaan waktu (waktu di India lewat
kira-kira tiga setengah jam berbanding Malaysia) menyebabkan saya gagal bangun
awal.
Namun selepas muhasabah diri dan berbincang-bincang dengan emak saya, dia
berkata mungkin ada makanan yang saya 'bedal' di India adalah dalam kategori
syubahat; jadi ia membawa kesan pada hati dan diri saya. Titik-titik hitam
sudah semakin banyak di hati, lantas 'menggelapkan' diri saya daripada mudah
membuat perkara baik.
Jadi hati perlu
sentiasa dibersihkan. Namun bagi orang Islam, bersih saja tidak memadai, ia
perlu sampai ke peringkat suci. Ada perbezaan antara bersih dan suci. Misalnya,
jika seseorang terkena najis berat seperti tahi anjing, keadaan dirinya sudah
bersih selepas dibasuh dengan air dan sabun tetapi belum mencapai tahap suci.
Untuk menyucikan diri, dia perlu membasuh dengan air mutlak sebanyak tujuh kali, satu
daripadanya air tanah. Bertayamum (menyapu muka dan tangan dengan debu tanah)
kelihatan tidak bersih tetapi sebenarnya sudah suci untuk beribadat ketika
ketiadaan air.
Ketika menamatkan
pengkisahan saya mengenai umat Islam yang terkapai-kapai di Kashmir,
berlangsung pula perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur. Pagi Sabtu 9 Julai itu
saya berpeluang meronda-meronda ceruk KL dengan membonceng sebuah motosikal
seorang rakan.
Di sebatang jalan Kampung Baru, kami terkedu melihat sebuah trak
polis bergerak perlahan-lahan dengan puluhan anggota polis berjalan kaki
menyoal dan menyelongkar beg pelanggan yang sedang enak minum kopi di warung. Apabila
ditemui baju-T kuning dan barangan lain mencurigakan (seperti garam!),
pemiliknya terus 'diiringi' (macam VIP pula) masuk trak. Ehh, terfikir di benak
saya, hal ini tidak pula saya saksikan di bumi Kashmir! Benar beg saya
diselongkar di Kashmir, tetapi tidaklah di tempat awam seperti kedai kopi tetapi di
pusat pemeriksaan imigresen dan juga lapangan terbang.
Semua jalan masuk ke
pusat ibu kota dikawal ketat pasukan
polis yang membuat sekatan jalan raya. Hal ini juga tidak saya alami di
Kashmir. Mungkinkah pemimpin negara kita begitu takut kehilangan kuasa sehingga
sanggup berbuat begitu - menyekat kehendak rakyat yang mahu membersihkan proses
pilihan raya bukannya merampas kuasa! Puak-puak ini mendakwa proses pilihan
raya sudah adil jadi tidak ada apa lagi yang perlu dibersihkan. Antara hujah
mudah mereka, kalau pilihan raya tak bersih masakan pembangkang boleh menang
lima negeri pada pilihan raya lalu!
Bersih itu adalah
dakwaan mereka. Tafsiran mereka. Jadi bolehkah ia diguna pakai? Katakanlah
seseorang itu terkena tahi anjing, lantas dia membasuhnya dengan air sabun
berjenama X yang mahal; lepas itu dia kata dia sudah bersih. Betulkah
dakwaannya itu? Jika bersih secara zahir, memang bersih. Tetapi adakah dia
sudah betul-betul bersih iaitu suci daripada najis tahi anjing itu lantas boleh
berwuduk seterusnya solat? Jawapannya tidak, sekalipun dia melolong menyatakan
dia sudah bersih hakikatnya tidak begitu.
Jadi bagaimana jalan
penyelesaian bagi seseorang yang benar-benar membersihkan dirinya daripada tahi
anjing tadi. Jawapannya adalah dengan BELAJAR (hadir di majlis ilmu) seterusnya
BERAMAL dan bermuhasabah diri. Apabila berbuat begitu, insya-Allah, Yang Maha Kuasa akan
membuka hijabnya sedikit demi sedikit, hati kita yang ditutupi terlalu banyak
titik-titik hitam akan bersih secara beransur-ansur.
Insya-Allah, akan
tiba suatu peringkat kita sendiri akan mengakui; "Ya Allah, rupanya aku
ini tidak bersih, aku ini kotor, aku ini jahat, aku tak layak masuk ke dalam syurga-Mu,
tapi aku tak tahan azab neraka-Mu. Jadi Kau ampunkan dosa hamba-Mu yang tidak bersih ini!"
Jadi siapakah diri kita untuk mengaku kita bersih dan tidak perlu sebarang
nasihat atau penambahbaikan!
No comments:
Post a Comment