Tuesday, July 19, 2011

Reaksi pembaca India Muslim berhubung amalan 'brelwi'


***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Penyesalan orang kafir
"Di hari itu orang-orang kafir dan orang-orang yang menderhakai Rasul, ingin supaya mereka disamaratakan dengan tanah." (An-Nisa': 42)
Dan orang kafir berkata: "Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah." (An-Naba': 40)
***

ARTIKEL bersiri berhubung kunjungan saya ke India, mendapat reaksi daripada pembaca. Keprihatinan pembaca terhadap isu-isu membabitkan umat Islam amat dihargai. Pendeknya rasa keukhwahan umat Islam seluruh dunia tetap ada, namun ia boleh dipertingkatkan lagi. Mungkin ramai yang bersimpati tetapi disebabkan keadaan mereka yang juga daif, mereka tidak dapat melakukan sesuatu kecuali berdoa.

Mengenai perkara ini Sa'id Abdul 'Adhim dalam bukunya, Untaian Nasehat Penyubur Iman (Qaula-Smar Media, Solo, Indonesia), mengungkapkan: "Al-Quds (Baitulmaqdis), Somalia, Bosnia, Kashmir, Burma (Myanmar), dan beberapa negara pecahan Soviet lainnya menjerit tanpan ada yang mampu membantu, tidak ada yang mampu memecah keheningan ini (membangunkan umat ini dari tidurnya)...Pada hal, seperti baru kelmarin kota Amuriyah (Aleppo, salah satu kota di Syam-Syria) ditaklukan kerana jeritan seorang wanita yang meminta tolong kepada khalifah Al-Mu'tashim."

Seorang pembaca, Antara, menghantarkan saya e-mel ini buat tatapan dan pengajaran bersama.

Banyak 'info' (maklumat yang saya dapati daripada tulisan saudara sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris selama ini dan memang menjadi kegemaran saya untuk membaca setiap artikel saudara. Saya begitu tertarik dengan salah satu artikel tentang lawatan anda ke India iaitu berkaitan umat Islam melakukan 'ibadat' di makam-makam tertentu. Sebenarnya saudara, memang kebanyakan yang rajin melakukan 'ibadat' tersebut adalah daripada kalangan India Muslim. Amalan memuja kubur ini dinamai 'brelwi'.

Mereka rasa ia suatu 'ibadat' yang mulia dan sesiapa yang melarang akan dianggap sebagai tidak menghormati ulama dan dituduh dengan pelbagai macam tuduhan. Saya sebagai seorang India Muslim dari Pulau Pinang memang terasa dengan keadaan ini. Di Pulau Pinang terdapat beberapa makam/durga yang menjadi tempat orang India Muslim memohon doa daripada 'wali' yang dikebumikan di situ. Namun saya sendiri tak sangka cara 'ibadat' di makam-makam oleh umat Islam di India ini sudah sampai ke tahap seperti cara ibadat penganut Hindu sehinggalah saya melihat sendiri beberapa video klip di laman 'youtube' berkenaan ibadat di makam/durga di India.

Ibadat di makam-makam atau durga bolehlah dianggap 99.9 peratus menyerupai amalan orang Hindu. Saya sebenarnya tergerak untuk melihat adegan di 'youtube' itu setelah heboh di akhbar beberapa tahun yang lepas tentang kehadiran seorang ulama dari Tamil Nadu, India ke negara kita. Beberapa kumpulan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India Muslim di Malaysia menyatakan bantahan dan memohon agar kerajaan Malaysia melarang kehadiran ulama tersebut yang bernama Jainul Abideen atau lebih dikenali sebagai PJ dari kumpulan Tamil Nadu Tauhid Jamaat (TNTJ).

Antara alasan yang diberi oleh NGO India Muslim ini ialah PJ ini berfahaman Wahabi dan suka membidaah; PJ tidak menghormati sahabat dan ulama; dan yang paling teruk ialah PJ menghalalkan memakan babi.

Saya yang kebingungan terus melayari internet dan mencari maklumat berkenaan ulama yang bernama PJ ini dan terus ke 'youtube' untuk mendengar ceramahnya (dalam bahasa Tamil). Dan masya-Allah, setelah mendengar secara langsung ceramah beliau daripada 'youtube', saya betul-betul merasai kekaguman dan kehebatan beliau dalam menyampaikan ilmu agama kepada orang Islam dan bukan Islam di Tamil Nadu, India.

Sungguh berbeza dengan tuduhan yang dilemparkan kepada beliau. Dan saya pun mengetahui punca bantahan NGO India Muslim di negara kita, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana ketegasan PJ dalam hal larangan
'beribadat' di makam-makam.

Dalam ceramah-ceramahnya, PJ selalu 'menghentam' amalan di makam yang dianggap sebagai amalan mulia oleh sebahagian ulama di sana (india). Di samping itu, beliau juga aktif menganjurkan program bersama orang bukan Islam dengan program bernama 'Islam Agama Mulia' di banyak tempat. Dalam progam itu ian dipenuhi soalan-soalan panas daripada hadirin bukan Islam dan dijawab penuh hikmah dan bernas oleh PJ. Sehingga ada juga soalan daripada orang bukan Islam yang menyatakan cara ibadat orang Islam dan Hindu adalah sama berdasarkan amalan di makam/durga, namun ia dijawab dengan tegas oleh PJ kepada ribuan hadirin bukan Islam di tempat tersebut.

Sebenarnya di India, boleh dikatakan hampir d isetiap kampung akan ada makam/durga yang menjadi tempat beribadat bagi orang Islam malah keadaan yang sama juga boleh didapati di Bangladesh dan Pakistan. Maka saya takutlah untuk menyebut inilah antara sebab kenapa kerap berlaku mala petaka dan bencana di negara Bangladesh dan Pakistan tersebut yang hampir 99.9 peratus didiami orang Islam. Wallahua' lam. Semoga Allah menjauhi kita daripada segala kecelakaan.

No comments: