***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Rabb-nya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka. Dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka. Bahkan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (QS. Ali Imran: 169-170)
***
Bersyukur ke hadrat Illahi kerana kita dipanjangkan usia untuk memuzakarahkan isu semasa; kali ini kita terpanggil untuk memberi pandangan mengenai insan-insan pilihan rakyat yang diberi amanah menerajui sesebuah institusi termasuklah apa yang dipanggil negara. Bagi kita negara wujud kerana adanya pemimpin dan rakyat. Negara tidak mungkin wujud jika ada kerajaan tetapi tiada rakyat, dan begitu sebaliknya jika ada rakyat tetapi tiada kerajaan.
Semua orang atau pihak mempunyai pandangan mereka mengenai pemimpin, tetapi kata mutlak atau pemutusnya adalah apa yang ditentukan oleh Allah SWT melalui kitab dan rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Berhubung soal pemimpin ini ada hadis bermaksud: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu bertanggungjawab ke atas sesiapa yang dipimpinnya maka seseorang ketua adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya." Pemimpin yang adil dijanjikan oleh Allah SWT dengan balasan yang baik, mendapat naungan Allah SWT pada hari Pembalasan nanti. Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud bahawa salah satu golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari akhirat nanti ialah pemerintah yang adil
Ya, pemimpin yang adil itulah yang didambakan oleh seluruh rakyat. Dia dijanjikan naungan Allah SWT di akhirat nanti; di dunia ini dia menaungi seluruh rakyatnya, bukan kelompok tertentu atau orang yang menyokong atau mengundinya saja. Seorang cendekiawan Barat, James Freeman Clarke mengungkapkan: "A politician thinks of the next election; a statesman thinks of the next generation" (Seorang politikus memikirkan (untuk menang) pilihan raya berikutnya, seorang negarawan memikirkan mengenai generasi berikutnya).
Berdasarkan hujah ini, marilah kita rujuk perlakuan orang yang diamanahkan sebagai pemimpin (terutama Perdana Menteri) akhir-akhir ini; apakah beliau seorang perdana menteri untuk seluruh rakyat Malaysia (atau 1-Malaysia seperti diuar-uarkannya) atau perdana menteri untuk orang Umno atau lebih jauh penyokong BN saja? Kegagalan beliau jelas dalam menangani isu tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) yang bercadang mengadakan perhimpunan di ibu kota pada 9 Julai. Sebagai PM semua rakyat beliau sewajarnya berlaku adil kepada semua, tetapi apa yang terjadi amat mendukacitakan sehingga amanah yang sewajarnya terpikul di bahunya perlu campur tangan daripada Yang di-Pertuan Agong pula.
Sebagai perdana menteri semua rakyat beliau tidak sewajarnya menyimbah minyak ke dalam api apabila mengeluarkan kenyataan provokatif seperti jika Bersih boleh menghimpunan ratusan ribu orang, "kita boleh gerakkan tiga juta ahli Umno" sedangkan menteri dalam negerinya awal-awal lagi sudah menyatakan 'keharaman' Bersih. Demikianlah semasa keadaan meruncing, beliau dan timbalannya tidak sewajar menjelajah seluruh negara bagi mendapatkan sokongan rakyat sehingga di Kelantan terpaksa berteriak berulang kali memanggil rakyat "boleh tak tukar kerajaan (negeri) kepada Umno-BN kali ini?" Apatah lagi pada suasana itu dihadirkan ribuan manusia berpakaian merah seolah-olah sudah bersiap sedia untuk menggempur si warna kuning. Apakah PM kita hanya fikir untuk menang pilihan raya, lantas menepati takrif seorang politikus dan bukan negarawan?
Sebagai perdana menteri, beliau sewajarnya mempamerkan wibawanya sebagai negarawan bagi semua rakyat. Negarawan yang memikirkan akan generasi akan datang dan bukan semata-mata untuk menang pilihan raya akan datang sehingga terucap ungkapan menakutkan seperti "mempertahankan Putrajaya sehingga ke tulang putih atau titisan darah terakhir." Mungkinkah ketakutan kehilangan kuasa membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan sehingga sanggup melakukan apa saja sekalipun meletakkan negara dan generasi masa depannya dalam keadaan bahaya?
Sehubungan itu, kita amat bersyukur kepada Allah SWT dan merafak dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang bertindak cepat mencemar duli bagi menasihati pihak bertelagah pada detik yang sukar ini termasuk menasihatkan pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.Ya kerajaan dan PM-nya perlu adil dan dilihat adil kepada semua; bukan terhadap kelompok disukai atau penyokongnya saja kerana PM adalah untuk semua rakyat bukan PM untuk orang Umno-BN saja!
No comments:
Post a Comment