September ini genap 10 tahun penulis menyertai sebuah akhbar alternatif yang juga organ jemaah bernama Harakah selepas meninggalkan gergasi penerbitan akhbar arus perdana bernama The New Straits Times Press (NSTP). Adalah menarik untuk mengimbau apa yang penulis perolehi sepanjang 10 tahun itu dan membandingkannya dengan pengalaman 12 tahun di NSTP.
Tentunya dalam kebanyakan kes membabitkan pekerjaan, antara perkara pertama ditanya adalah soal gaji. Apabila meninggalkan NSTP pada 1998, gaji terakhir penulis adalah kira-kira RM4,200 sebulan. Ketika mula-mula bertugas di Harakah, gaji bulanan penulis adalah RM1,700 dan kini selepas 10 tahun, gaji penulis kira-kira RM3,500. Jumlah ini kurang RM700 daripada apa yang penulis terima 10 tahun lalu.
Jika dibuat perhitungan kasar, andai penulis tidak meninggalkan NSTP, kemungkinan gaji bulanan penulis boleh mencapai RM10,000 dengan andaian berlaku peningkatan sebanyak RM500 setahun. Tentunya tersangat besar bezanya gaji RM3,500 dengan RM10,000; tetapi berdasarkan suka duka kehidupan yang penulis kecapi di dua tempat berbeza ini, penulis menginsafi bahawa wang dan kekayaan bukanlah segala-galanya. Ringkasnya bahagia bukanlah terletak pada wang ringgit.
Kini 10 tahun sudah berlaku; apa yang penulis dapati daripada organisasi yang lebih bersifat jemaah parti daripada syarikat korporat ini? Awal-awal lagi kekayaan material perlu ditolak ke tepi; tiada yang boleh menjadi kaya dengan bekerja dalam organisasi jemaah. Terus terang dikatakan gaji adalah mencukupi untuk memberesi keperluan kehidupan dan sedikit bakinya ditabung untuk masa depan seperti menanggung persekolahan anak-anak dan menyampaikan cita-cita meluap-luap ke Tanah Suci.
Jadi apa yang menyebabkan penulis boleh bertahan sehingga 10 tahun kini? Malahan penulis terpaksa berulang-alik antara Melaka-Kuala Lumpur dengan jarak pergi balik lebih kurang 250 kilometer hampir setiap hari yang memerlukan masa perjalanan kira-kira enam jam. Jawapannya tidak lain kerana percaya bahawa bidang penulisan ini adalah salah satu perjuangan bagi membantu menegakkan Islam.
Penulis menyatakan ‘membantu’, kerana terasa begitu malu untuk mengaku sebagai pejuang, apatah lagi menyedari ilmu, amal, pemahaman dan penghayatan terhadap agama agung itu teramatlah kurang. Dengan istiqamah dalam bidang penulisan, mudah-mudahan Allah SWT menerimanya sebagai amal kebajikan, sekali gus dapat membantu penulis pada saat-saat sukar ketika sakratulmaut, alam kubur, masyhar, titian siratulmustaqim dan akhirat.
Berhubung perkara ini, penulis terkenang pesanan seorang tuan guru tempoh hari. Katanya, jika kita tidak mampu menjadi seorang hafiz al-Quran, bantulah orang lain menjadi hafiz atau hafizah. Kalau kita ada wang ringgit, sumbangkannya kepada pengelola sekolah tahfiz; kalau kita ada tanah, wakafkannya kepada mereka; kalau kita boleh mengajar subjek akademik, ajarlah budak-budak di sana dan jika bertubuh sasa, curahkan tenaga itu seperti bergotong royong membersihkan bangunan dan persekitarannya.
Berdasarkan pandangan inilah penulis mencari sedikit kesempatan untuk membantu kumpulan atau jemaah yang berjuang menegakkan kebenaran atau lebih tepat lagi Islam sebagai cara hidup. Jika tidak membantu kumpulan penegak kebenaran sudah salah, apatah lagi berkomplot, mengkhianati mereka.
Menegakkan kebenaran dan menyisih kebatilan (amal makruf nahi munkar) adalah sesuai dengan ikrar setiap kali solat, “hidup dan matiku hanya untuk Allah, tuhan seru sekalian alam.” Penulis mendoakan diri dan sekalian muslimin dan muslimat akan sentiasa berada di jalan lurus dengan membantu penegak kebenaran dan tidak sekali-sekali menyertai kumpulan yang berdolak-dalik dalam menegakkan hukum-hakam Sang Pencipta.
Sepuluh tahun penulis bersama akhbar jemaah ini, ia tidak juga terlepas daripada onak dan duri. Ada saat merasai keindahan dan kesyahduannya dan ada tikanya, jerih dan terasa pahit. Namun ia menguatkan semangat dan memantapkan persepsi penulis bahawa kehidupan ini sebenarnya tidak sempurna. Setiap manusia termasuk penulis sendiri tidak terlepas daripada kejelekan, semuanya akan melalui tapisan Allah SWT bagi menentukan siapa beriman dan bertakwa dan siapa yang tidak. Siapakah manusia untuk mengukur iman dan takwa seseorang?
Namun berdasarkan pandangan zahir penulis yang serba lemah ini dengan disokong pengalaman di media arus perdana dan media jemaah, dapatlah penulis nyatakan pencarian dan pendakian kerohanian yang dialami penulis 10 tahun terakhir ini amat mengesankan berbanding 12 tahun di media perdana.
Ukhuwah yang terjalin adalah hebat sedangkan dulunya terlalu longgar. Zaman lalu penulis di syarikat gergasi berkenaan dipenuhi nafsu-nafsi, dengan sejumlah besar kakitangan berjuang untuk melonjakkan diri bagi meraih kelebihan dari segi perolehan material, pangkat dan kuasa. Apabila keinginan duniawi menguasai diri, maka terjerumuslah manusia menjatuhkan satu sama lain dalam sandiwara bobrok yang bernama fitnah-memfitnah, tindas menindas dan sebagainya.
Namun penulis akui hal ini berlaku di mana-mana, termasuklah dalam jemaah. Itulah sebabnya, ikhlas diletakkan pada kemuncak mana-mana perbuatan termasuk ibadat. Apabila IKHLAS tertancap kukuh pada diri peribadi, tiada yang dapat menghalang seseorang daripada mencapai kemuncak pencarian kerohaniannya.
Orang ikhlas inilah yang tidak dapat ditewaskan musuh-musuh termasuk jin dan syaitan. Ingat-ingatlah kisah seorang penebang kayu yang mahu menghancurkan sebatang pokok kerana menjadi tempat pemujaan orang ramai, apabila ikhlasnya terlerai, dia dengan mudah ditewaskan syaitan.
Mungkinkah orang ikhlas menepati peribahasa Melayu, “benih yang baik kalau dicampak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau?”
1 comment:
Ya Allah.. jadikan hati penulis ini dipenuhi dengan Rahmat dan Berkat Mu Ya Illahi.. Amin.
Post a Comment