Thursday, October 29, 2009

Ada apa dengan kempen Bulan Bahasa Melayu?

***Renungan

"Dan Allah mewajibkan manusia (orang Islam) mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan siapa yang kufur (ingkarkan kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk." - Maksud Ayat 97 Surah Ali-Imran

***
Bahasa Melayu (Malaysia) sudah berdekad diterima bahasa rasmi (kebangsaan). Malah perkara ini termaktub dalam Perlembagaan. Ertinya sejak merdeka lagi bahasa Melayu sudah diiktiraf kedudukannya sebagai bahasa tertinggi di negara ini. Demikian betapa tinggi kedudukan bahasa Melayu dari segi perundangan.

Dalam dunia serba pantas hari ini orang berkempen untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan baru. Orang tidak berkempen untuk memperkenalkan barangan lama atau lusuh. Ibu bapa mengadakan majlis untuk memperkenalkan pengantin baru; gila namanya membuat majlis untuk memperkenalkan pengantin lama.

Tetapi alangkah anehnya, pemerintah Malaysia yang menyepikan diri sejak sekian lama akan soal bahasa, mengadakan kempen Bulan Bahasa Melayu pada Oktober ini. Apa sudah jadi, apakah orang Malaysia tidak tahu berbahasa Melayu sehinggakan kempen Bulan Bahasa Melayu terpaksa diadakan?

Hakikatnya memang begitu. Walaupun sudah merdeka 52 tahun lalu, ada orang Malaysia tidak petah dan betah bertutur dalam bahasa Melayu. Ramai yang gemar bertutur bercampur perkataan Melayu dan Inggeris. Macam itik dan ayam. Saksikanlah di kaca televisyen, menteri dan VIP pun berlagak begitu.

Jadi apa sudah jadi? Jika dari segi bahasa pun tidak boleh wujudkan Satu Bahasa, bolehkah kita pergi jauh daripada itu?

Apabila bahasa Melayu yang diberi kedudukan tinggi dalam Perlembagaan itu terpaksa melalui proses kempen selepas 52 tahun negara merdeka, bermakna bahasa itu berada dalam keadaan amat kritikal. Ini kerana ia terpaksa dikempenkan sedangkan kalau ia didaulatkan, perkara memalukan ini tidak berlaku.

Adalah amat menggelikan hati bahawa bahasa Melayu terpaksa dikempenkan selama sebulan sedangkan ia bahasa berdaulat. Sebagai bahasa berdaulat ia wajib dimartabat dulu, kini dan selamanya bukan melalui kempen bermusim. Apakah apabila mahu mendapat sokongan rakyat barulah digerakkan kempen?

Hakikatnya amat malang bahasa Melayu yang diiktiraf dalam Perlembagaan ini dihalang daripada menjadi bahasa pengantar bidang penting (Sains dan Matematik) di sekolah-sekolah dan universiti sehingga rakyat terpaksa berdemonstrasi di jalan-jalan raya.

Sungguh ajaib rakyat dipaksa menghirup asap gas pemedih mata dan dibelasah semata-mata kerana mahu kedudukan bahasa Melayu yang sudah terjamin melalui Perlembagaan, didaulatkan.

Sungguh aneh rakyat disalahkan; hakikatnya pemerintah (pemimpin) adalah pencabul Perlembagaan negara. Kini mereka bercakap mengenai kempen Bulan Bahasa Melayu; apa mereka fikir bahasa Melayu barang dagangan yang boleh mereka berbuat sesuka hati?

No comments: