Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Dalam perjalanan kehidupan, insan diingatkan sentiasa bermuhasabah diri. Kita diminta mengkoreksi diri agar kehidupan mengikuti rel kebenaran seperti yang diucapkan sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat melalui sepotong ayat dalam Surah Al-Fatihah yang bermaksud; “Tunjuki kami jalan yang lurus.”
Demikianlah, jika seseorang itu perlu sentiasa berada di jalan lurus dalam kehidupan, sesebuah kerajaan juga perlu berada di jalan lurus agar pemimpin dan rakyat seluruhnya selamat di dunia dan akhirat. Jika individu diminta mengkoreksi diri, apatah lagi sesebuah jemaah dan kerajaan kerana ayat daripada Surah Al-Fatihah itu menggunakan kata jamak; “Tunjuki KAMI jalan yang lurus.”
Berdasarkan perkembangan amat membimbangkan di negara kita sekarang ini seperti tsunami dan penularan penyakit selesema babi (H1N1), perbalahan tidak berkesudahan, jenayah termasuk pembunuhan dan pembuangan bayi serta maksiat yang hampir tidak terbendung; apakah pemimpin dan rakyat sudah bermuhasabah atau sengaja buat-buat tidak tahu ataupun lebih teruk lagi menambah kezaliman dan kemaksiatan kepada Allah SWT?
Kita seringkali diingatkan akan kisah daripada al-Quran mengenai kaum Ad, Tsamud, Lut dan beberapa lagi yang dibinasakan Allah SWT kerana kesombongan, kekufuran serta kemaksiatan mereka, tetapi nampaknya ia gagal diterjemahkan dalam kehidupan kita.
Kita alpa bahawa kebinasaan besar-besaran terhadap umat sebenarnya terlalu hampir dengan kita. Ingatlah bencana tsunami yang melanda Asia Tenggara pada penghujung 2004 mengorbankan lebih 200,000 jiwa, sebahagian besarnya adalah orang Melayu-Islam di Aceh.
Pengajaran tsunami itu nampaknya hinggap sebentar di jiwa kita; kini kezaliman, kemaksiatan, kedurhakaan kepada Allah SWT semakin menjadi-jadi membabitkan daripada setinggi-tinggi kepada serendah-rendah kedudukan insan.
Pemimpin, pekerja, pelajar dan surirumah; semuanya semakin alpa dan cenderung kepada maksiat, jadi apakah negara boleh diharapkan untuk mendapat barakah Allah SWT? Minta lindunglah kita daripada kemurkaan Allah SWT di atas kemaksiatan yang kita lakukan yang balanya akan mengenai semua; si taat dan si derhaka.
Sehubungan itu adalah wajib untuk kita semua kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Tiada jalan lain dapat menyelamatkan umat manusia, khasnya di negara kita, kecuali jalan ini. Wahai pemimpin koreksilah diri; adalah pimpinan kita sejajar kehendak Allah dan Rasul-Nya? Atau kita bijak bersandiwara semata-mata bagi mengelabui mata rakyat supaya kita sentiasa mendapat sokongan agar dapat berkuasa kononnya buat selama-lama dengan undang-undang rimba seperti ISA.
Kemudian tanyalah apakah kepimpinan kita berpandukan hukum-hakam Allah SWT. Adakah kita mengambil semuanya atau kita mengambil separuh-separuh demi kepentingan tertentu. Jika mengambil separuh-separuh ertinya kita telah mengikut jejak Yahudi dan Nasrani dan melakukan kezaliman sedangkan ayat Al-Fatihah yang dibaca setiap kali rakaat sembahyang membawa maksud: “Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat.”
Jika kita sendiri sudah sesat bagaimana kita mahu memimpin rakyat supaya tidak sesat sekali gus selamat dunia akhirat. Apabila pemimpin sesat rakyat pun sesat. Itulah sebabnya di negara ini berlaku pembunuhan saban hari, jenayah hampir tidak terbendung manakala maksiat berleluasa dengan pegawai agama pun ditangkap melakukannya.
Dalam bab jenayah ini, Islam telah menetapkan akan hukum hudud yang memberikan kehidupan dan keberkatan, tetapi bab seperti ini hanya disyarahkan di masjid-masjid (itu pun secara senyap-senyap oleh sesetengah ustaz), sedangkan ia wajib diamal dan dikuatkuasakan oleh pemerintah.
Jika pemimpin Islam sendiri menolak sesetengah hukum Allah SWT yang disampaikan oleh Rasul-Nya; apa lagi dapat dikatakan mengenai umat ini; hanya belas kasihan Allah SWT yang diharapkan agar tidak menimpakan bala ke atas kita semua atau menyelamatkan kita daripada bala yang sudah diturunkan-Nya.
1 comment:
manusia makin lalai.. sedangkan amaran datang setiap masa
Post a Comment