Baru-baru ini penulis berhajat menziarahi sekolah lama di Kuala Kangsar, tetapi terpaksa membatalkannya kerana ayah mentua menghadapi masalah jantung dan dimasukkan ke unit pengawasan jantung (CCU) hospital. Namun Kuala Kangsar tetap membawa erti besar kerana secara tiba-tiba saya dikunjungi seorang penulis dari bandar diraja itu, Haji Amin Nordin Haji Abdul Rahman, 65 tahun.
Haji Amin muncul di pejabat penulis pada suatu petang dengan membawa buku ‘Kebangkitan Semula Islam’, karya terbaru (2009) beliau dalam penulisan berkaitan Islam. Selain menulis, Haji Amin menerbitkan sendiri buku itu atas nama syarikatnya, Taftan Enterprise yang beralamat di 37B Wisma Kurnia Sempurna, Jalan Taiping, 33000 Kuala Kangsar Perak (nombor telefon 017-3873979 dan 03-41074737).
Sebelum kunjungan Haji Amin, penulis tidak mengenalinya. Tetapi berdasarkan kesungguhan beliau menghujahkan kandungan bukunya selama sejam dan selepas penulis membaca dan memikirkan kandungannya, adalah manfaat untuk dikongsi pandangan beliau mengenai era kebangkitan semula Islam yang dakwanya akan dikepalai orang Melayu dari rantau Asia Tenggara.
Penulis tergerak hati menukilkan apa yang dimuzakarahkan Haji Amin, berdasarkan tulisan lalu dalam kolum ini yang menyentuh sejarah beragama orang Melayu. Orang Melayu memeluk Islam kira-kira 600 tahun lalu dan sebelum itu mereka beragama Hindu dan Buddha.
Selepas orang Melayu diislamkan, mereka tidak pernah mengepalai ummah secara global; kuasa besar orang Melayu seperti Empayar Melaka dan Aceh hanya bersifat lokal (di Alam Melayu) malahan Sultan-Sultan Aceh berbaih kepada Khalifah Uthmaniyah yang berpusat di Konstantinopel (Istanbul).
Mengenai orang Melayu menerajui kekuatan Islam, Haji Amin dalam bukunya antara lain menulis: “Sekiranya pada zaman-zaman kegemilangan Islam dulu lahirnya khilafah-khilafah atau empayar Islam seperti Khilafah Umaiyah, Abasiyah, Uthmaniyah, dan sebagainya maka adalah dipercayai akan lahirnya khilafah atau empayar Islam yang setanding khilafah yang terdahulu.
“Dari segi negara atau wilayah yang berpotensi untuk menjadi khilafah atau empayar Islam dewasa ini adalah wilayah Nusantara (meliputi Indonesia, Malaysia, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina). Ini kerana selain daripada mempunyai bilangan penduduk Muslim paling ramai di dunia, keinginan untuk menghayati ajaran Islam adalah juga tinggi di sini.
“Sebagai contoh di Indonesia pesantren-pesantren atau sekolah-sekolah agama telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Di sana telah lahir belasan ribu pesantren, yang memberi pendidikan kepada ratusan ribu pelajar.
“Pesantren Gontor yang diberi nama ‘Pondok Moden Gontor’ yang terletak berdekatan Surabaya, adalah contoh pesantren yang wujud di Indonesia. Pusat pengajian agama ini mempunyai sebanyak lapan cawangan yang menempatkan seramai 12,000 pelajar. Kelulusan di institusi agama ini mendapat pengiktirafan daripada universiti di beberapa negara Islam seperti Universiti Al-Azhar, Mesir; dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.”
Keyakinan Haji Amin akan kemunculan Melayu Nusantara sebagai kuasa baru dunia dinukilkannya berdasarkan kebimbangan Amerika terhadap perkembangan Islam di rantau ini. Antara lain beliau menyatakan: “Amerika, atas sebab berasa gentar terhadap perkembangan ini, pernah cuba menyogok bantuan sebanyak RM600,000,000 kepada pesantren-pesantren di Indonesia agar institusi-institusi itu bersetuju mengadakan kurikulum pelajaran yang sesuai dan sealiran dengan kehendak mereka. Bagaimanapun, syukur Alhamdulillah, tawaran daripada Amerika tersebut gagal menggelapkan mata pihak penguasa pesantren di sana.”
Kebangkitan semula Islam adalah perjuangan berasaskan iman, tulis Haji Amin. Beliau berkata perjuangan ‘biasa’ adalah berdasarkan hukum adat atau hukum sebab dan akibat. Sebagai contoh bagi menghadapi dan mengalahkan tentera musuh yang berjumlah 1,000 orang, bilangan askar diperlukan berjumlah sekurang-kurang 1,000 orang juga serta mempunyai kelengkapan persenjataan setara.
Tetapi di bawah pendekatan ‘iman’, sesuatu perjuangan tidak tertakluk kepada hukum sebab dan akibat semata-mata, kerana ia bukan saja bergantung kepada kekuatan manusia dan kelengkapan perang, tetapi juga kepada bantuan dan pertolongan Allah SWT. Dalam ayat 65 Surah Al-Anfal, Allah telah berjanji sekiranya orang Islam betul-betul beriman dan bersikap sabar, 100 orang mukmin dapat mengalahkan 1,000 orang kafir.
Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan sahabat; perkara ini terbukti dalam Perang Badar (314 pejuang Islam dapat menewaskan 1,000 orang kafir) dan Perang Yarmuk (40,000 pejuang Muslim dapat menewaskan 240,000 tentera Byzantine). Mutakhir ini pejuang Hamas dan Hizbullah membuktikannya; tentera mereka kira-kira 1,000 orang dapat menewaskan armada perang Zionis Israel yang dianggotai sekurang-kurangnya 30,000 orang.
Haji Amin sudah melontarkan pandangannya melalui buku ‘Kebangkitan Semula Islam’ tetapi bersediakan umat Islam Melayu Nusantara mengepali ummah kembali ke martabat tertinggi seperti dinikmati pada zaman Uthmaniyah dan Abasiyah? Menyoroti kemelut ummah rantau ini, harapan itu kelihatan tinggi menggunung tetapi beberapa mutiara kata yang dimuatkan dalam buku Haji Amin begitu meyakinkan.
Antara lain beliau menukilkan: “Perubahan-perubahan besar dalam sejarah bukan atas kehendak manusia tetapi atas kehendak Allah – melalui agen-agen-Nya dalam bentuk rasul-rasul, nabi-nabi dan pemimpin-pemimpin berkarisma.
“Sejarah telah berkali-kali membuktikan bahawa nasib sesuatu kaum tidak dapat diubah atau diselamatkan oleh kaum itu keseluruhannya; tetapi oleh kumpulan kecil manusia yang ‘dedicated’ dan terbentuk peribadinya.” Persoalannya siapakah KUMPULAN KECIL ini?
No comments:
Post a Comment