Tuesday, May 26, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 4: Usah Persia Usia Muda

Kematian Tan Sri Yahaya Ahmad, 50, yang boleh dikatakan 'masih muda' dalam nahas helikopter (1997), mengingatkan saya pada satu kejadian di depan mata saya, berhampiran persimpangan Jalan Sultan, Kuala Lumpur, tidak lama dulu.

Ketika itu saya tergesa-gesa ke tempat kerja. Di tepi persimpangan jalan itu, saya terlihat seorang lelaki tua berkopiah duduk dalam keadaan termengah-mengah.

Suasana tengah hari Sabtu itu begitu sibuk. Orang ramai berpusu-pusu melepasi orang tua itu manakala kenderaan bertali-arus. Udara berbahang dengan matahari tegak di kepala mungkin menyebabkan orang tua itu hampir pitam.

Naluri saya ingin menolongnya. Tetapi seolah-olah 'ada suara' menegah saya berbuat demikian.

"Aaa, kalau kau tolong dia, nanti kau lambat sampai pejabat."

"Jangan cari pasallah, lebih baik kau 'blah' segera!"

"Hah, buat apa susahkan diri, ramai lagi orang boleh bantu orang tua tu!"

"Macam mana kalau orang tua itu minta kau hantar dia balik atau pergi hospital? Menyusah dan membuang masa kau saja!"

Kerana mengikut lintasan fikiran jahat itu, saya tidak menolong orang tua itu. Saya hanya terpacak di tepi jalan, memerhati saja kejadian itu. Seminit-dua berlalu. Orang ramai buat tidak tahu, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

Beberapa minit kemudian barulah seorang pemuda berserban mendekati orang tua itu. Dengan bantuan seorang lelaki lain, dia memapah orang tua itu ke tepi, seterusnya ke tempat yang teduh.

Tiba-tiba saya rasa malu pada diri sendiri. Terasa kesal kerana tidak bertindak waras sebaliknya melayani fikiran jahat saya. Kejadian itu menghantui saya sepanjang hari. Terbayang-bayang di mata saya, orang tua itu menahan kesakitan di celah-celah kaki orang rami di tengah-tengah matahari terik dan saya tergamak memerhatikannya saja.

Kejadian ini menyedar dan mengingatkan saya bahawa untuk menolong orang, kita tidak perlu menunggu diri menjadi 'serba lengkap'. Misalnya dalam kisah yang saya alami itu, kita tidak perlu menunggu waktu lapang baru hendak memberi bantuan. Sekalipun tengah sibuk dan tidak ada masa, kita perlu meluangkan sedikit daripada waktu itu untuk membantu orang lain.

Kita tidak payah jadi 'Superman', baru hendak menolong orang. Kita juga tidak perlu sampai menggadai nyawa untuk menolong orang lain kerana ada banyak tugas mudah yang boleh kita buat, tetapi kita tidak buat.

Berhubung soal membantu orang ini, saya tertarik dengan satu laporan akhbar 'Malay Mail' tidak lama dulu mengenai seorang lelaki tidak dikenali menolong seorang wanita asing pada suatu malam selepas kereta wanita itu terbabit dalam kemalangan dengan tajuk begini, 'Knight in black batik help woman' (Wira berbaju batik tolong wanita). Rupa-rupanya 'Knight in batik' itu ialah Menteri Perusahaan Utama (1997), Datuk Seri Lim Keng Yaik.

Ada orang bercakap mereka akan jadi dermawan, buat rumah anak yatim dan pelbagai kebajikan lain jika mereka banyak wang, menang loteri ataupun menerima durian runtuh.
Mereka akan tolong orang jika mereka ada kuasa, ada pangkat dan ada segala-galanya.

Seolah-olah mereka menunggu menjadi orang terkaya di dunia seperti Sultan Brunei atau Bill Gates ataupun yang paling berkuasa seperti Presiden Amerika ataupun paling disegani seoerti Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum memberi bantuan kepada orang lain.

Bagaimanapun, ia tidak lebih daripada cakap-cakap kosong dan angan-angan saja. Saya berpendapat jika kita mahu membantu seseorang, bantulah sekarang, jangan tunggu-tunggu lagi.

Demikian juga jika kita mahu membina kekayaan, meraih kejayaan, mempertingkatkan ilmu, mengukuhkan ikatan persahabatan atau persaudaraan, mulakan usaha itu sekarang, jangan tunggu-tunggu lagi.

Bagi saya, kejayaan Yahaya, seorang murid tua Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dalam dunia perniagaan sebelum berusia 50 tahun, menunjukkan bahawa jika seseorang itu mahu cemerlang dalam sesuatu bidang, dia hendaklah memulakannya sejak muda lagi.

Ramai tokoh berjaya, membuktikan kewibawaan sejak mereka muda, malah di bangku sekolah. Mereka termasuklah beberapa tokoh dunia sama ada pada era moden ini atau pada zaman silam.

Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton (1992-2000), mula memimpin negaranya dalam usia 40-an manakala Benazir Bhutto menjadi perdana menteri Pakistan dalam usia 35 tahun pada 1988. Perdana Menteri Liechtenstein pula mula memimpin negaranya ketika berusia 28 tahun pada 15 Disember 1993.

Sekalipun ramai orang muda menjadi pemimpin dunia, China sebaliknya 'bangga' dengan tokoh veteran mereka. Salah seorang pemimpin tertingginya, Deng Xiaoping, meninggal dunia dalam usia 92 tahun. Tokoh-tokoh lain seperti Jiang Zemin, Li Peng dan Qiao Shi semuanya termasuk dalam golongan veteran.

Antara tokoh dunia zaman purba yang mencatat kemasyhuran dalam usia muda ialah Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) yang berjaya menakluk kawasan luas yang terbentang dari Mesir di barat dan India di timur. Dia meninggal dunia dalam usia 30-an di Babylon.

Untuk pengetahuan peminat filem pula, 'Evita' yang mendapat sambutan hangat, mengisahkan kehidupan Eva Peron yang menjadi masyhur sebagai isteri pemimpin Argentina sebelum dia meninggal dunia dalam usia 33 tahun kerana penyakit barah.

Umur sebahagian tokoh masyhur dunia pendek tetapi dalam tempoh singkat itu mereka berjaya melonjakkan diri dan mencatat nama dalam lembaran sejarah mengatasi mereka yang berusia panjang tetapi mensia-siakan usia mereka.

Ringkasnya, kita perlu memanfaatkan sepenuhnya masa sekarang dan bukan memasang angan-angan membuat itu dan ini pada masa depan.


***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.

No comments: