Sebagai kota bersejarah, ramai orang mengunjungi Melaka. Mereka termasuklah pelawat luar negara. Peloncong 'Mat Saleh' mudah dikenali tetapi sukar mengenali pelawat dari negara Asia lain (seperti Indonesia, Singapura, Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan Thailand).
Sekali sekala dalam perjalanan pergi atau balik kerja, saya ketemui pelancong 'Mat Saleh' dalam bas yang sama. Saya tidak berapa suka duduk di sebelah 'backpackers' (pelancong dengan ongkos terhad) ini. Bukan apa, kebanyakan 'Mat Saleh' yang saya temui berbau, menunjukkan mereka tidak mandi sekian lama.
Di negara mereka yang mengalami empat musim, adalah biasa untuk seseorang itu tidak mandi beberapa hari pada musim tertentu, tetapi di Malaysia dengan iklim lembab basah, amalan itu tidak sesuai.
Sedaya upaya saya cuba mengelak daripada duduk di sebelah 'backpackers' ini. Tetapi kadang-kadang terkena juga. Bagi menghilangkan bosan dan jika ada 'mood', saya berbual dengan mereka. Tetapi bukan semua orang sedia berbual, ada yang suka melayan perasaan sendiri ataupun tidur.
Satu perkara yang menarik perhatian saya mengenai sesetengah 'Mat Saleh' ini ialah kecenderungan mereka mengisi masa terluang ketika dalam perjalanan jauh, ialah dengan membaca.
Minat ini tidak pula dikongsi pula oleh sebahagian besar anak tempatan. Saya perhatikan kebanyakan 'orang kita' lebih suka menghabiskan masa dengan termenung, berbual-bual kosong atau 'mendengkur' (tidur). Jarang sekali saya lihat penumpang tempatan membaca buku, hanya beberapa orang memanfaatkan masa dengan menatap akhbar atau majalah.
Berdasarkan senario dalam bas ekspres ini, rasanya tidak salah untuk diandaikan bahawa rakyat Malaysia tidak gemar membaca, berbeza daripada yang ditunjukkan oleh 'Mat Saleh' atau orang Jepun.
Membaca nampaknya belum lagi menjadi sebahagian budaya rakyat Malaysia. Malahan satu kajian oleh Majlis Buku Kebangsaan (MBK) tidak lama dulu, mendapati secara purata seorang penduduk negara kita hanya membaca satu setengah muka surat buku setahun!
Banyak sebab dikemukakan mengenai sikap rakyat Malaysia yang tidak gemar membaca.
Saya amat setuju dengan pandangan Johan Jaafar dalam kolumnya 'Nota Kaki' (1997) dalam sebuah akhbar harian nasional, bahawa suasana kedai buku di Malaysia yang 'tidak mesra' menjauhkan khalayak ramai daripada buku.
Johan dalam ruangannya itu, berkata kebanyakan pembantu kedai buku di Malaysia memandang penuh curiga kepada setiap pengunjung. Buku baru dibalut dengan plastik bagi menghalang pengunjung daripada membelek-beleknya. Keadaan ini mematikan minat orang awam membaca apatah lagi untuk membeli buku bermutu yang mahal harganya.
Selain kedai buku, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, saya dapati perpustakaan awam di negara kita juga 'kurang mesra'. Penyelia perpustakaan dengan wajah masam, kelihatan sengaja mahu mencari kesalahan pengunjung bagi mendenda mereka. Akhbar pula 'dikepit' dengan bingkai kayu panjang (kadang-kadang penyelia tidak membenarkan ia dibuka) menyukarkan pengunjung membacanya.
Ketika di bangku sekolah pada tahun 70-an dan 80-an dulu, saya kerap mengunjungi perpustakaan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka yang terletak di Jalan Hang Tuah (kini perpustakaan baru negeri terletak di Bukit Baru).
Saya tidak dapat lupakan seorang penyelia perpustakaan yang tempang sebelah kakinya dan tidak pernah senyum. Kerjanya mencari kesalahan pengunjung, termasuk menghalau keluar pengunjung yang berkelakuan tidak wajar pada pandangannya.
Berdasarkan pengalaman pahit ini, sudah lama saya tidak mengunjungi perpustakaan awam. Mungkin keadaan sekarang sudah jauh berubah kerana semakin ramai pustakawan berkelulusan profesional dari institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.
Kini, dengan kebanjiran buku, majalah dan bahan bacaan lain, saya percaya tahap pembacaan rakyat Malaysia, malah dunia, sudah meningkat. Tetapi apakah yang sebenarnya menjadi tumpuan pembacaan mereka itu, terutama golongan remaja yang kini kerap dikaitkan dengan keruntuhan akhlak?
Majalah 'Newsweek' dalam satu laporannya (17 Februari 1997), mendedahkan kebimbangan sesetengah pihak mengenai apa yang dibaca oleh golongan remaja Britain.
Laporan majalah ini dengan tajuk 'Sex tips for teen girls - Take a look at what your 12-year old is reading (Tip seks untuk untuk remaja perempuan - Jenguklah apa yang dibaca oleh anak gadis anda yang berusia 12 tahun) mendedahkan bagaimana ahli Parlimen Konservatif British, Peter Luff terperanjat dengan kandungan majalah yang dibaca oleh anak perempuannya yang berusia sembilan tahun.
Antara yang dipaparkan dalam majalah itu adalah permintaan seorang pembaca remaja yang mahukan nasihat selepas menemui gambar lucah ibunya dan surat yang memberahikan daripada seorang lelaki. Malahan, ada majalah lain yang ditujukan kepada pembaca remaja perempuan, menyiarkan kisah yang lebih berani.
Berdasarkan pengalaman yang dilaluinya, Luff memulakan perjuangan supaya cadangan umur diletakkan pada muka depan majalah remaja British. Beliau mendapat sokongan banyak ibu bapa British yang bimbang dengan apa yang dibaca oleh anak mereka.
Ibu bapa British sebenarnya mempunyai sebab untuk bimbang. Satu pungutan suara MTV menunjukkan secara purata remaja British melakukan hubungan seks pertama dalam usia 15 tahun 6 bulan, jauh lebih awal daripada negara Eropah lain.
Kira-kira 90,000 remaja perempuan di bawah usia 16 tahubn (had umur boleh kahwin), kini mendapatkan nasihat mengenai kaedah pencegahan hamil, dua kali ganda berbanding 10 tahun lalu.
Jika ibu bapa di Britain bimbang mengenai masa depan anak-anak mereka termasuk apa yang mereka baca, saya berpendapat tiada sebab mengapa ibu bapa di Malaysia harus berdiam diri sedangkan keruntuhan akhlak di kalangan remaja, termasuk pelajar dilaporkan semakin menjadi-jadi.
Ibu bapa tidak seharusnya menggalakkan anak-anak membaca dan selepas itu tersenyum melihat mereka menatap buku atau bahan bacaan lain. Mereka perlu menjenguk apa yang dibaca oleh si anak - sama ada ia memberi manfaat atau bahan lucah, picisan, karut dan seumpamanya yang banyak dalam pasaran.
Pendedahan bahan bacaan seumpama ini, hanya akan membawa kepada keruntuhan moral anak-anak muda.
Ringkasnya, membaca (bahan lucah dan sebagainya) menyebabkan seseorang itu rugi tetapi jika tidak membaca (bahan manfaat), lagi rugilah individu itu. Sehubungan itu, bijak-bijaklah memilih, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.
No comments:
Post a Comment