Menyedari ilmu agama saya yang amat cetek, saya pun menemui seorang imam di NST. Saya mencurahkan rasa hati kepadanya. Beliau bersimpati dengan saya yang tidak kenal huruf al-Quran. Saya beritahunya, masa kanak-kanak dulu, saya belajar surah-surah pendek (Muqaddam) secara menghafaznya dan bukan mengenal huruf terlebih dulu.
Sebagai kanak-kanak memanglah mudah saya menghafaz surah-surah pendek itu tetapi apabila sampai ke Surah Al-Baqarah, tidaklah mudah saya berbuat demikian. Masalah bertambah rumit apabila saya memasuki Tingkatan Satu di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak.
Di sekolah elit ini, tiada siapa peduli sama ada seseorang pelajar itu boleh membaca al-Quran atau tidak. Yang dipentingkan ialah kejayaan akademik dan pencapaian cemerlang dalam bidang-bidang seperti sukan dan kegiatan luar.
Imam itu berkata kes saya bukan sesuatu yang luar biasa. Sebelum itu, ada beberapa 'orang tua' menemuinya, mengutarakan perkara yang sama.
"Awak tahu tak Haji...Dulu dia pun buta huruf. Sekarang dia dah boleh." Saya tahu orang yang dimaksudkan. Saya selalu lihat dia di surau, memanfaat masa rehat untuk membaca al-Quran.
Imam itu sedia membimbing saya. Beliau menyuruh saya mencari masa lapang yang sesuai bagi dirinya dan saya untuk membolehkan dia mengajar saya.
Bagaimanapun disebabkan 'terlalu sibuk' dengan tugas sebagai wartawan, saya gagal 'memperuntukkan' masa tersebut. Tidak lama kemudian imam itu bersara daripada NSTP, sekali gus melenyapkan peluang saya untuk berguru kepadanya.
Saya kemudiannya cuba 'berguru' dengan Ustaz Hassan Azhari melalui rancangan 'Muqaddam' yang disiarkan di televisyen pada hampir setiap petang. Saya usahakan untuk mengikutinya saban petang tetapi selepas tiga bulan, saya dapati saya tidak tahu apa yang saya ikuti (pelajari).
Kemudian saya mengikuti kelas pengajian al-Quran di NSTP. Kelas ini bermula dengan meminta setiap pelajar membaca surah Al-Fatehah. Ustaz yang membimbing, menegur kerana terlalu banyak kesilapan yang saya buat.
Disebabkan majoriti pelajar mahukan uztaz berkenaan mengajar tajwid, saya dapati kelas itu tidak dapat membantu saya. Akhirnya saya pun tidak datang lagi.
Saya sedar masalah saya semakin lama semakin serius. Ini kerana umur kita semakin lama semakin meningkat dan di luar sana, tidak banyak pihak yang sedia untuk mengajar 'orang tua' membaca al-Quran dengan bermula dengan mengenal huruf alif, ba, ta dan sebagainya.
Di kebanyakan masjid dan surau yang diajar ialah tajwid, tafsir dan kaedah memperelokkan bacaan. Ini sudah tentu tidak sesuai dengan orang seperti saya.
Semakin lama, semakin tertekan perasaan saya. Masakan tidak. Di dunia lagi saya telah rasakan bahang tidak tahu membaca al-Quran ini, apatah lagi di akhirat nanti. Sebagai contoh, ketika menghadiri majlis bacaan Yaasin, saya pun mengambil sama 'buku kecil' itu tetapi disebabkan buta huruf, saya macam 'berlakon' saja. Mulut kumat-kamit, mengikut saja apa yang orang lain sebut.
Saya pun tertanya-tanya pada diri sendiri, sampai bila saya mahu berkeadaan bergitu. Dalam kubur nanti, bolehkah saya berkumat-kamit seperti itu saja.
Saya rasa sedih sekali dengan diri sendiri. Saya menyimpan keazaman besar - suatu hari aku mesti boleh membaca al-Quran. Jika orang lain boleh, mengapa saya tidak boleh.
Kisah-kisah saudara baru menginsafkan saya. Jika mereka yang baru memeluk Islam (ada yang sudah tua), akhirnya boleh membaca al-Quran, mengapa saya tidak boleh. Jika golongan mualaf ini boleh tekun belajar di Perkim untuk mengenal alif, ba, ta dan seterusnya mengapa saya tidak boleh.
Akhirnya saya mengikuti kelas pengajian al-Quran di NSTP sekali lagi. Kali ini ustaz yang mengajar menggunakan kaedah Iqra' yang bermula daripada mengenal huruf. Saya begitu bersemangat mengikutinya.
Kelas itu diadakan pada setiap hari kerja, jam 5.00 petang. Malangnya, pada masa itu mesyuarat harian editorial diadakan menyebabkan saya sering ketinggalan mengikutinya. Mula-mula sekali dua saya tidak datang, akhirnya saya tidak datang terus, menyebabkan usaha saya sekali lagi menemui jalan buntu.
Saya hampir berputus asa tetapi melalui pembacaan kisah-kisah saudara baru dari seluruh pelosok dunia mengembalikan semangat saya. Macam mana tokoh-tokoh seperti Muhammad Asad (penulis buku 'The Road To Mecca' dari Austria), Yusuf Islam (penyanyi Cat Stevens), Ali Selman Benoist (Perancis) dan ramai lagi yang menemui jalan tauhid, menyedarkan saya bahawa mereka bermula daripada 'sifar' sedangkan saya sudah 'ditanam' kefahaman Islam sejak bayi lagi.
Saya terkenangkan firman Allah SWT melalui Surah Al-Ra'd, ayat 11 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaannya sendiri."
***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment