Akhirnya pada tanggal 1 Februari 1998, ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, saya mengemukakan surat perletakan jawatan saya kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, A Nazri Abdullah.
Disebabkan hari itu cuti umum, saya menyelitkan surat itu di bawah pintu bilik beliau. Salinan surat itu saya hantar kepada beberapa orang pembantu kanannya.
Beberapa hari kemudian, beberapa pengarang kanan yang baru kembali bertugas selepas Hari Raya, menelefon saya, meminta saya memikirkan kembali perkara itu, sekali gus menarik balik keputusan itu.
Tetapi saya tidak berganjak dengan keputusan itu. Setiausaha Nazri kemudiannya menelefon saya, menyatakan 'bos' meminta saya berjumpanya. Katanya, Nazri mahu mendengar masalah dari mulut saya sendiri.
Dalam pertemuan dengan Nazri, saya nyatakan masalah yang saya hadapi dalam menjalani peranan saya sebagai seorang wartawan Muslim.
Saya timbulkan mengenai ketidaksesuaian jiwa saya dengan corak kewartawanan masa kini. Tentang penggunaan gambar-gambar tidak sopan, tentang pemberitaan yang terpesong, tentang wujudnya keputusan empat nombor ekor dan pelbagai lagi unsur dalam dunia persuratkhabaran yang tidak selari dengan jiwa saya.
Saya juga memberitahunya dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai seorang wartawan yang berdedikasi, saya gagal mencari masa 'untuk melakukan kerja-kerja berfaedah' untuk bekalan di akhirat kelak.
Misalnya, saya tidak ada masa untuk belajar membaca al-Quran. Tentulah di akhirat malah di dunia lagi, saya menjadi seorang yang amat rugi, dan tiada siapa yang dapat menolong diri saya kecuali saya sendiri.
Jika dari muda saya sudah 'menghambakan' diri kepada akhbar, sampai mati pun nanti saya akan jadi 'hamba akhbar'. Siapakah yang dapat menolong saya, malahan di dunia pun, jika meminta tolong kepada orang, kebanyakan orang tidak akan mempedulikan kita.
Nazri memandang saya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan dan kemudian antara lain berkata: "Banyak daripada pandangan awak itu salah. Awak tidak boleh meletakkan sesuatu hukum itu berdasarkan fikiran awak. Awak masih banyak kena belajar!"
Selepas puas berbahas, Nazri berkata: "Kalau awak mahu, saya boleh tarik balik surat (perletakan jawatan) itu. Tapi kalau awak sudah nekad, saya akan 'sign' surat itu."
"Saya sudah nekad," kata saya.
"Saya tak mahu awak jadi pelampau (agama). Saya bimbang awak akan jadi seorang pelampau suatu hari nanti!"
Saya diam saja, tetapi dalam kepala berfikir, mengapa dia kata suatu hari aku akan jadi pelampau agama.
"Baiklah," kata Nazri. "Saya mahu tengok berapa jauh awak pergi. Ramai orang di sini yang berhenti, kemudian datang balik, menyatakan rasa menyesal mereka berhenti."
Saya diam saja.
"Awak sudah ada kerja lain?" tanyanya.
"Tidak," kata saya.
"Habis, awak nak buat apa?"
"Saya berserah kepada Allah."
"Takkan berserah saja?"
"Saya akan buat sesuatu yang mendatangkan hasil."
Lama dia merenung saya dan kemudian berkata: "Baiklah, jika demikian kehendak awak. Selepas dua tahun nanti, awak datanglah jumpa saya. Saya nak tahu awak sudah jadi apa masa itu!"
Demikianlah perbualan terakhir saya dengan Nazri. Sehingga kini saya tidak lagi berjumpa dengannya tetapi perkembangan dalam dunia media massa Malaysia selepas itu sungguh memeranjatkan.
Beberapa bulan kemudian Nazri sendiri meletakkan jawatan sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian. Demikian juga dengan Johan Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan Yunus Said sebagai Pengarah Operasi TV3.
Selepas peletakan jawatan mereka, Anwar Ibrahim juga diminta meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden Umno.
Selepas pemergian mereka, dunia persuratkhabaran /media tanah air menghadapi krisis kepercayaan yang begitu hebat sekali. Akhbar nasional dikritik hebat manakala petugasnya tidak terlepas daripada dilempar kata-kata keji.
Saya yang tidak lagi terbabit dalam dunia persuratkhabaran juga dilempar kata-kata nista seperti: "Oh, wartawan ya, bila awak nak hentikan kerja-kerja terkutuk tu? Bila awak nak henti memfitnah? Wartawan penipu!"
Saya terduduk, termenung jauh memikirkan perkara ini. Orang boleh mengutuk sebab mereka tidak tahu saya sudah meninggalkan dunia kewartawanan.
Pada hari terakhir saya di Balai Berita (NSTP), saya mengatur langkah perlahan-lahan. Sebaik sampai di persimpangan jalan dekat bangunan China Press (dekat persimpangan Jalan Riong-Bangsar), saya menoleh - melihat kembali institusi yang banyak mengajar saya erti penghidupan.
Suka-duka selama lebih 12 tahun di institusi itu, bagaikan baru semalam berlaku. Dunia 'glamor' dan janji masa depan yang cerah tidak dapat menyekat runtunan hati saya. Saya tidak mahu menjadi 'hamba akhbar' sepanjang hidup saya.
Lantas saya pun mengakhiri kerjaya dengan gaji lebih RM4,000 sebulan bagi mencari 'diri sendiri'. Selamat tinggal NSTP! Selamat tinggal dunia kewartawanan!, bisik hati saya.
***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment