Tuesday, May 5, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 8: Tugasan Di Luar Negara

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 8: Tugasan Di Luar Negara

Pada penghujung 1991, Kesatuan Sosialis Republik Soviet (USSR) atau lebih dikenali Soviet Union dibubarkan. Berikutan perpecahan itu lahirlah 15 negara atau republik baru dengan Russia menjadi negara terkuat dan sebagai pewaris Soviet Union.

Enam daripada 15 republik ini menarik perhatian masyarakat Islam Malaysia. Ini kerana negara-negara yang terletak di Asia Tengah ini - Kazakhstan, Krygyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Tajikistan dan Azerbaijan - sebahagian besar penduduknya beragama Islam.

Berikutan kemunculan negara baru ini, pemerintah Malaysia menunjukkan minat untuk merintis laluan persahabatan, kebudayaan dan perdagangan di rantau yang baru dibuka kepada dunia luar itu.

Kementerian Luar, ketika itu diterajui Dato' Abdullah Ahmad Badawi, memulakan inisiatif untuk menghulurkan 'tangan persahabatan' dengan negara-negara baru itu. Kementerian berkenaan mempelawa wartawan Malaysia untuk menyertai rombongan tinjauan yang pertama dari negara Asean itu.

Entah kenapa secara tidak semena-mena saya dipilih oleh Berita Harian untuk menyertai rombongan itu. Ini kerana mungkin sebelum itu saya telah menulis sejumlah artikel yang menggambarkan betapa umat Islam Soviet Union begitu berkobar-kobar untuk merdeka dan kembali dalam pangkuan dunia Islam.

Pergerakan pembebasan umat Islam Soviet pada dekad terakhir abad lalu bukan bermula di enam republik Asia Tengah itu, sebaliknya boleh dikatakan bermula dengan penduduk Chechnya mengisytiharkan kemerdekaan mereka pada tahun 1990.

Disebabkan itulah tugasan pertama saya ke luar negara, saya menjadi cukup bimbang, lebih-lebih lagi saya diperlukan ke Moscow, ibu kota bekas gergasi komunis itu, sebelum ke republik Asia Tengah.

Pada hari ditetapkan (bulan Mei 1992) saya pun menaiki pesawat Aeroflot dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Saya tidak kenal sesiapa pun, hanya berpegang dengan jaminan pegawai Kementerian Luar bahawa ada petugas Kedutaan Malaysia di Moscow akan menunggu di sana.

Kata orang pesawat Aeroflot adalah penerbangan paling bahaya di dunia. Layanan yang diberikan pun kasar. Pendeknya, tidak ramai penumpang memilih untuk menggunakan perkhidmatan Aeroflot.

Saya dapati sesetengah dakwaan itu betul. Layanan yang diberikan memang kasar malah hidangan arak 'begitu mewah' dalam pesawat ini. Saya tengok sesetengah penumpang kulit putih tidak renggang daripada botol arak. Aroma minuman keras begitu kuat menusuk hidung.

Saya duduk bersebelahan seorang lelaki pertengahan umur dari Australia. Gayanya macam 'Crocodile Dundee' - watak pemuda kulit putih yang tinggal di pedalaman negara itu dalam sebuah filem yang masyhur ketika itu.

Saya bertanya khabar dan akhirnya kami leka berbual. Dia bertanya kenapa saya tidak minum. Saya katakan sebagai seorang Muslim, saya tidak minum. Dia tidak ambil kisah dan menceritakan itu bukan kali pertama dia ke Moscow.

Saya katakan bahawa itulah kunjungan pertama saya ke negara bekas komunis itu. Kami terus berbual sehinggalah kapal terbang mendarat di Dubai untuk mengisi minyak dan mengambil penumpang baru.

Di Lapangan Terbang Dubai, saya duduk sendirian memerhatikan gelagat penumpang lain. Ketika itu musim haji, kelihatanlah ramai jemaah yang duduk berkumpul-kumpul. Ada yang duduk saja di lantai dengan pakaian ihram mereka. Ada jemaah yang kelihatan macam orang Melayu dan ada berkulit hitam - yang saya agak dari negara di benua Afrika.

Saya menghampiri sekumpulan jemaah yang kelihatan macam orang Melayu dan menyapa mereka. Kumpulan jemaah itu berkata mereka dari Indonesia, menunggu sebentar di lapangan terbang itu sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah.

Dalam saya berleka-leka, saya teringat saya belum solat sejak berlepas pada kira-kira jam 6.00 petang di Subang. Ertinya saya terlepas solat Maghrib dan kini waktu Isyak mengikut waktu Dubai. Saya pun bertanyakan jemaah haji dari Indonesia di mana surau. Mereka menunjukkannya dan malam itu buat pertama kalinya saya meletakkan dahi di bumi Tanah Arab.

Perjalanan dari Dubai ke Moscow tidak terganggu. Cuma saya lihat penumpang pesawat semakin hebat menikmati minuman keras. Selepas puas minum, sesetengahnya tertidur dan berdengkur dengan kuat sekali.

Saya fikir itulah sebabnya mengapa sesetengah orang tidak suka menaiki penerbangan Aeroflot tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan saya hanya diberitahu mengenai 'keburukan' berkenaan selepas tiket penerbangan berada dalam tangan!

Hati saya berdetak ketika keluar dari pesawat di Lapangan Terbang Moscow. Akhirnya, aku sudah berada di Kremlin, bisik hati saya. Jangan-jangan ada 'spy' ikut aku. Mana tahu ada 'spy' KGB. 'Spy' Russia ini bukan boleh buat main-main - mereka digambarkan amat ganas macam dalam filem James Bond 'The Spy Who Loves Me' atau 'Moonraker', fikir saya.

Kalau berada di rantau orang, ikutlah resmi orang rantau itu. 'When in Rome, do as what the Roman's do'. Peribahasa Melayu pula menyebut; masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak dan masuk kandang harimau mengaum. Penumpang lain berbaris, saya pun berbaris. Penumpang lain mengambil bagasi mereka, saya pun mengambil bagasi saya. Penumpang lain berbaris sekali lagi, saya pun turut berbaris. Kali ini untuk pemeriksaan kastam.

Pegawai yang berpakaian macam tentera di kaunter tidak senyum langsung. Wajahnya serius, tegang. Dia membelek-belek pasport saya macam tidak pernah tengok pasport Malaysia sebelum itu. Selepas merenung saya, dari hujung rambut sampai hujung kaki, dia menyerahkan pasport itu dan menyuruh saya mengisi borang perisytiharan jumlah wang yang dibawa masuk ke Russia.

Lama juga saya hendak mengisi borang itu. Di satu muka borang itu adalah dalam bahasa Russia dan sebelah lagi bahasa Inggeris. Terkial-kiallah saya mengisinya, kerana butiran perlu dibuat secara terperinci.

Selepas melepasi pemeriksaan kastam, saya menjadi cemas. Saya mula memikirkan apa yang hendak dibuat jika pegawai Kedutaan Malaysia tidak datang. Di rumah lagi pun saya sudah memikirkan kemungkinan itu. Saya berusaha mencari alamat dan nombor telefon Kedutaan Malaysia dan menulisnya di atas sebuah kad. Jika timbul masalah, saya akan menunjukkannya kepada pemandu teksi dan menyuruhnya membawa saya ke sana.

Saya juga telah membuat salinan pasport kerana berpendapat jika pasport itu dirampas atau tercicir, saya mempunyai salinannya. Dengan cara itu, saya fikir, sekurang-kurangnya saya ada bukti pengenalan diri, dan tidaklah saya 'terkontang-kanting' dan 'dijual' di bumi yang begitu asing itu.

Kebimbangan saya itu nyata tidak berasas. Seorang lelaki berwajah Melayu kemudian menegur saya. Ternyata dia pegawai dari Kedutaan Malaysia. Alangkah leganya, rasa hati saya.

Bersama seorang lagi petugas yang menunggu dalam kereta, mereka membawa saya ke menyusuri keluar dari lapangan terbang, seterusnya ke Moscow. Dari dalam kereta, saya amati Russia tidak menepati gambaran yang ada dalam kepala saya. Saya ingatkan sebagai 'super power' (kuasa besar), tentulah bangunan di sana hebat-hebat dengan lebuh raya bersimpang-siur.

Rupanya tidak. Lapangan terbangnya kecil saja manakala lebuh rayanya 'kosong'. Di tepi lebuh raya terdapat banyak tanah terbiar dan kawasan pertanian dengan pondok-pondok usang. Seakan-akan bermimpi saja layaknya. Betulkah saya kini berada di Moscow, ibu kota Russia yang digambarkan seteru terkuat Amerika?

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

No comments: