Kata orang, luas perjalanan banyak pengalaman. Ketika pilihan raya pelbagai kaum yang pertama diadakan di Afrika Selatan (April 1994) saya, Anuar Hashim (jurugambar NST), Ben De' Cunha (wartawan NST) dan Aziz Ishak (wartawan Utusan) mewakili media dari Malaysia membuat liputan secara langsung peristiwa bersejarah itu. Hanya kami berempat saja yang datang dari Malaysia.
Sekalipun pilihan raya itu antara peristiwa terpenting abad ke-20 (menamatkan dasar aparteid), tidak ramai wakil media Malaysia membuat liputan disebabkan gambaran media antarabangsa mengenai keganasan di Afrika Selatan. Malahan di dalam kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Johannesburg, seorang pegawai MAS menasihati kami agar berhati-hari di sana.
Keganasan sering dikaitkan dengan golongan kulit hitam tetapi apabila berada di sana barulah saya faham mengapa perkara ini terjadi. Sejak sekian lama golongan kulit hitam dianaktirikan di negara sendiri melalui sistem aparteid menyebabkan mereka ketinggalan daripada segala genap bidang penghidupan.
Pilihan raya pelbagai kaum Afrika Selatan itu juga menandakan kuasa 'kulit putih' yang menjajah negara itu akan berakhir tidak lama selepas itu. Parti Kebangsaan (NP) pimpinan Presiden F W de Klerk dilihat sebagai pasti akan tersungkur di tangan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinan Nelson Mandela. Tokoh ini menjalani hukuman penjara selama berpuluh-puluh tahun termasuk di Pulau Robbins semasa era aparteid.
Media massa Barat sering memaparkan keganasan berlaku antara penyokong ANC dan Parti Pembebasan Inkatha (IFP) pimpin Mogosuthu Buthelezi - ertinya sesama kulit hitam. Demikian juga serangan orang kulit hitam ke atas orang kulit putih.
Ternyata sesetengah media Barat terlalu berat sebelah dalam laporan mereka. Sama seperti sesetengah 'orang kulit putih', pihak berkenaan tidak ingin melihat sebuah lagi negara Afrika kembali ke pangkuan peribuminya.
Untuk melihat sendiri penghidupan golongan kulit hitam, kami berkunjung ke Soweto, sebuah perbandaran kulit hitam terbesar Afrika Selatan dengan 1.5 juta penduduk. Di sinilah kerap dilaporkan berlaku keganasan, termasuklah kejadian yang menyebabkan seorang wartawan asing terbunuh.
Untuk ke sana, kami mengupah seorang pemuda ANC yang lengkap dengan senapang. Gayanya begitu kasar dan apabila melalui kawasan setinggan, dia menjerit kepada kami dalam bahasa Inggeris: "Kamu lihatlah sendiri betapa dahsyatnya penghidupan orang kami."
Benar, seperti katanya, setinggan-setinggan di kawasan itu hidup dalam rumah yang kelihatan seperti kotak. Penempatan setinggan itu sungguh besar - saujana mata memandang. Di bahagian belakang rumah kotak itu tersedia 'rumah kotak' yang lebih kecil. Itulah tandas penempatan setinggan itu. Di dindingnya tertampal gambar logo ANC dan Mandela.
Jalan melalui kawasan setinggan itu berlopak-lopak digenangi air dari pili awam dan air najis. Baunya cukup menyesakkan hidung.
Kami kemudiannya singgah di salah sebuah perkampungan setinggan. Sebaik saja turun dari kereta, 'orang kampung' menggerumumi kami dan bertanya apa yang kami mahu. Nada percakapan mereka kasar saja. Jurupandu menerangkan bahawa kami adalah wartawan yang mahu membuat tinjauan penghidupan mereka.
Kanak-kanak (ada yang berpakaian koyak-rabak dan ada yang tidak berpakaian) menggerumuni kami. Saya dan Anuar membeli gula-gula yang dijual di pangkin-pangkin kecil di tepi jalan dan kemudian membahagikannya kepada kanak-kanak itu.
Seorang dewasa datang dan meminta kanak-kanak itu beratur. Saya pun membahagikan gula-gula itu kepada mereka yang membentuk barisan panjang manakala Anuar sibuk mengambil gambar.
Timbul pula rasa bangga diri di hati saya. Ketika saat itu saya rasakan diri saya sebagai seorang pemimpin besar atau orang kaya yang mengagih-agihkan bantuan makanan kepada orang miskin.
Perasaan riak itu cepat-cepat saya buang daripada diri saya dengan mengingatkan penderitaan kanak-kanak ini tidak banyak berbeza daripada yang saya lalui masa kanak-kanak dulu. Pada tahun-tahun 50-an dan 60-an dulu, ramai budak kampung tidak berbaju - mereka 'berlengin' saja, menghabiskan masa di sungai atau di bendang.
Kunjungan ke penempatan setinggan kulit hitam ini menginsafkan. Kemiskinan dan kesengsaraan melahirkan manusia yang kasar sifatnya dan sewajarnya golongan ini mendapat pembelaan dengan penghapusan dasar aparteid dan kelahiran sebuah negara Afrika Selatan yang baru.
Selain kunjungan ke kawasan setinggan, kami juga berpeluang menghadiri salah sebuah rapat umum ANC yang terbesar menjelang pilihan raya. Ia diadakan di Stadium First National Bank (FNB) di Soweto. Perhimpunan ini dihadiri oleh kira-kira 100,000 penyokong ANC.
Kami menyertai ribuan penyokong memasuki stadium ini pada sebelah pagi - menunggu ketibaan Mandela pada waktu petang. Suasana dalam stadium begitu gamat.
Laungan 'Viva ANC', 'Viva Mandela' memekakkan telinga. Orang kulit hitam Afrika Selatan kelihatan begitu bersemangat, daripada wajah mereka terbayang masa depan gemilang di bawah kerajaan baru.
Terhimpit di celah ribuan orang ramai itu adalah saya - seorang wartawan kerdil dari Malaysia, negara yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya. Saya membayangkan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Ketika itu saya belum lahir lagi. Saya mencongak tentulah suasana meriah itu sama seperti yang berlaku di Stadium FNB itu.
Sebagai seorang Muslim, di tengah-tengah kesibukan dalam stadium itu saya menghadapi dilema lagi. Dilema untuk solat. Saya berfikir bagaimana untuk solat di tengah-tengah ribuan orang ramai itu. Hati saya tidak tenang selagi tidak solat.
Akhirnya saya nekad. Saya mengambil wuduk di salah sebuah tandas stadium dan kemudian menuju ke sebuah sudut galeri penonton, membentang helaian akhbar dan solat di situ. Saya memejamkan mata cuba khusyuk tetapi saya tahu ribuan mata bertumpu ke arah saya. Mungkin sebahagian besar daripada mereka tidak pernah tengok orang Islam solat.
Seperti diketahui umum, ANC memenangi pilihan raya itu dengan lebih 60 peratus undi, sekali gus membolehkan Mandela menjadi presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan.
Terlanjur berada di Afrika Selatan, saya begitu berminat untuk mengetahui keadaan masyarakat Islam di sana.
Secara kebetulan saya dan Anuar berkenalan dengan seorang pemandu kereta sewa beragama Islam. Selepas mengetahui kami beragama Islam, beliau berusaha bersungguh-sungguh mahu menunjukkan kepada kami penghidupan orang Islam di sana.
Beliau membawa kami berjumpa dengan keluarganya di Bosmont yang terletak di pinggir Johannesburg. Di sana terdapat ramai keluarga Islam. Kami berhenti di sebuah masjid, dan di situ kami melihat kanak-kanak mengikuti kelas pengajian Islam. Yang perempuan bertudung manakala lelaki berkopiah - satu pemandangan yang seakan-akan sama seperti sebuah sekolah agama rakyat di Malaysia.
Keluarga pemandu itu menyambut kami dengan baik sekali, menyediakan makanan dan minuman. Bapa mentua pemandu itu memeluk kami dan berkata beliau bangga berjumpa saudara seagama yang datang dari jauh. Beliau dengan bangga menceritakan asal-usul keturunannya dari Makassar, Indonesia. Sebagai tanda gembira dengan pertemuan itu, saya menghadiahkannya beberapa naskhah surah Yassin.
Selepas makan dan berehat, pemandu itu membawa kami berjumpa dengan seorang pemimpin Islam Afrika Selatan pada waktu tengah malam.
Pemimpin itu yang sedang tidur berjaya dikejutkannya dan pada 'malam-malam buta' itu kami mewancaranya mengenai masa depan umat Islam Afrika Selatan. Katanya, umat Islam sebagai golongan minoriti begitu teguh ikatan persaudaraannya.
Buktinya, kata beliau, golongan kayanya mampu menyediakan satu dana besar bagi menyediakan sebuah kapal yang diisi dengan pelbagai barangan keperluan harian untuk disampaikan kepada umat Islam Bosnia.
Ketika itu perang Bosnia berada di kemuncaknya. Orang Islam disembelih oleh pengganas Serb manakala beribu-ribu lagi menjadi pelarian termasuk di Afrika Selatan dan juga Malaysia.
Di Bosmont juga kami berkenalan dengan seorang ahli perniagaan Islam yang mengundang kami ke rumahnya. Dengan kereta Mercedes mewahnya kami dibawa untuk melihat sendiri sebuah sekolah (madrasah) Darul Ulum yang bina hasil permuafatakan umat Islam Afrika Selatan.
Pelajar sekolah agama ini berasal dari serata negara selatan Afrika seperti Mozambique, Namibia, Zaire dan sebagainya. Semua pemimpin Islam yang kami temui menyatakan harapan mereka untuk melihat umat Islam menjalani penghidupan lebih bermakna di negara Afrika Selatan yang baru.
Rasa persaudaraan yang ditunjukkan oleh umat Islam Afrika Selatan serta usaha mereka untuk membela saudara seagama, memberi kesan mendalam di hati saya. Pada ketika ditekan hebat oleh rejim aparteid, mereka masih boleh mengamalkan ajaran Islam malah berusaha untuk membantu saudara seagama yang kurang mampu. Saya mula menyoal diri sendiri - apa pula yang telah saya lakukan untuk Islam di negara sendiri?
Secara diam-diam saya mengakui saya mementingkan diri sendiri saja. Selama hampir 10 tahun saya 'duduk terkongkong' dalam dunia kewartawanan. Saya tidak ambil pusing 'perkara lain' dalam dunia ini selain daripada kerjaya dan keluarga.
Manusia semakin lama semakin tua dan adalah sesuatu yang amat menyedihkan jika seseorang itu hanya mengenali kerjayanya saja - daripada dia muda sampai dia mati. Mungkin pendapat ini salah, tetapi adalah penting untuk seseorang itu tidak menghabiskan usianya begitu saja tanpa dia mengerti untuk apa dia berada di muka bumi ini.
***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment