"Jika begitu, saya letak jawatan," tegas saya, membuatkan suasana bilik mesyuarat editorial Berita Harian pagi itu sunyi-sepi. Buat seketika rakan-rakan setugas memandang saya tanpa seorang pun mengeluarkan suara.
Peristiwa ini berlaku pada suatu hari Khamis pada bulan Januari 1998. Ketika itu juga umat Islam sedang berpuasa Ramadan dan akan menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi.
Seperti biasa setiap pagi Khamis, sidang pengarang Berita Harian akan mengadakan mesyuarat. Antara perkara yang dibincangkan pagi itu adalah berkenaan jadual bertugas kakitangan ketika sambutan Aidilfitri.
Sejak saya dilantik ke jawatan Pengarang Luar Negara, saya sudah beberapa kali menyuarakan kekurangan petugas di unit saya. Tetapi ia tidak diendahkan oleh pihak atasan. Maka, terpaksalah saya berpuas hati dengan lima orang petugas, termasuk saya.
Disebabkan kekurangan petugas, saya tidak pernah bercuti pada Hari Raya. Demikian juga dengan petugas lain. Yang mampu dibuat di unit kami ialah membahagikan petugas kepada dua kumpulan - satu kumpulan 'berehat' beberapa hari sebelum hari raya dan bertugas pada hari raya dan satu lagi 'berehat' pada hari raya dan beberapa hari selepas itu.
Perkara ini pun rumit dilakukan disebabkan petugas bekerja mengikut syif, ada yang masuk jam 11 pagi, 2 petang dan 4 petang. Kalau berlaku hal-hal kecemasan, bertambah rumitlah masalah yang dihadapi.
Selain itu ada kakitangan yang menghadapi masalah peribadi kronik yang menjejaskan operasi kerja. Apabila diadukan kepada pihak atasan, pihak berkenaan berkata:
"Kamu diamanahkan sebagai ketua. Jika kamu diberikan setandan pisang, pandai-pandailah kamu menggunakan pisang itu bagi memberi pulangan terbaik. Kalau ada pisang lembik, kamu buat cucur, dapat dapat pisang elok sikit, kamu boleh goreng atau buat bubur. Kalau ada pisang busuk, kamu pakailah akal kamu nak buat apa dengannya!"
Disebabkan masalah ini, saya suarakan dalam mesyuarat itu, meminta tambahan seorang lagi petugas, jika tidak boleh, dapat dipinjamkan seorang petugas dari unit lain, memadailah.
Tetapi apakah jawapan yang diberikan oleh seorang pengarang kanan? Beliau antara lain berkata: "Nak minta 'staf' itu nak buat apa? Supaya senanglah 'you' nak cuti Hari Raya!"
Hati saya benar-benar sakit mendengar jawapan itu. Permintaan untuk mendapatkan bantuan petugas lain bagi melicinkan operasi syarikat pada sambutan Hari Raya dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan faedah bagi diri sendiri.
Saya meminta bantuan itu kerana ikhlas mahu melihat kerja-kerja berjalan lancar sekalipun ketika sambutan Aidilfitri. Tetapi usaha 'mengemis' bantuan daripada unit lain itu tidak langsung dihargai, menyebabkan saya berfikir dalam dunia yang mementingkan diri sendiri ini, sukarlah seseorang itu mendapatkan bantuan rakan setugas. Jarang ada orang yang sudi membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.
Dalam mesyuarat itu, dengan nada kecewa saya berkata: "Jika demikian keadaannya, dengan tiadanya sikap untuk tolong-menolong sesama kita, saya ambil keputusan meletakkan jawatan!"
Saya tahu bahawa di dunia ini tiada ramai orang sudi menolong orang lain. Kebanyakannya mementingkan diri sendiri - asalkan haknya terjamin, ia sudah cukup. Orang lain, biarlah mereka dengan masalah masing-masing.
Saya terfikir jika di dunia masalah kita, kita tanggung sendiri, bagaimana pula di akhirat nanti? Tentulah semuanya kita tanggung sendiri.
Berdasarkan pengalaman, saya mula menilai pembabitan diri saya dalam dunia kewartawanan. Dalam suasana dunia kewartawanan (sekular?) ini, terasa betapa sukar untuk mengimbangi antara hasrat hati untuk menjadi seorang Muslim yang taat dan pada masa yang sama seorang wartawan berkaliber.
Pengorbanan seorang wartawan begitu besar tetapi apakah ia benar-benar memberi manfaat kepada seseorang itu di akhirat kelak? Siapakah yang akan menolong dirinya di akhirat kelak?
Kebanyakan wartawan hanya mengenal kerjayanya saja. Dari pagi sampai malam, dia bertungkus-lumus menyiapkan tugasannya. Lebih malang lagi, pada cuti hujung minggu dia mungkin bekerja sedangkan orang lain berseronok-seronok bersama keluarga.
Ramai orang berkata wartawan tidak ada masa untuk bermasyarakat. Wartawan sendiri mengakuinya. Kebanyakan daripada undangan ke majlis perkahwinan, kenduri dan gotong-royong tidak dihadirinya. Malah untuk ke masjid untuk solat berjemaah pun, mereka tidak berkesempatan disebabkan terlalu berat dan panjangnya waktu tugas.
Pada Hari Raya pun, mereka terpaksa mengorbankan waktu untuk tugas. Jika demikian bilakah mereka meluangkan masa untuk mengeratkan persaudaraan sesama anggota keluarga.
Wartawan yang sudah terlalu 'taksub' dengan kerja lebih teruk lagi. Mereka asyik bekerja saja sehingga meninggalkan solat waktu. Dunia wartawan terlalu sibuk sehingga tidak ada masa untuk menghadiri kelas pengajian agama di masjid, bermesra dengan jiran atau mengambil tahu masalah kawasan tempat tinggal mereka.
Anak-anak saya pula semakin membesar. Mereka perlukan perhatian. Saya diburu rasa berdosa kerana membiarkan anak-anak membesar tanpa perhatian sepenuhnya oleh seorang bapa kerana si bapa terlalu asyik dengan kerjaya sebagai wartawan.
Semua ini membuatkan saya berfikir bahawa tiada siapa yang akan menolong saya di akhirat kelak jika di dunia ini saya terlalu 'taksub' dengan kerjaya sebagai seorang wartawan dan mengabaikan tanggungjawab yang lain. Ertinya, saya hanya mencari kebinasaan diri.
Selepas berhari-hari berfikir, merenung sana, merenung sini, akhirnya saya tersenyum puas dengan langkah yang saya ambil. Berhenti sajalah dari dunia kewartawanan yang sungguh mencabar ini. Peristiwa dalam mesyuarat sidang pengarang Berita Harian itu menjadi penyebab saja untuk saya mengakhiri kerjaya saya dalam dunia kewartawanan!
***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment