Saturday, February 25, 2023

Syaaban 4, 1444: Bencana Turkiye: Kenapa OIC lambat bertindak?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr 


LEBIH dua minggu bencana gempa bumi melanda Turkiye dan Syria (dua anggota Pertubuhan Kerjasama Islam - OIC) mengorbankan hampir 50,000 jiwa, baharulah kita dengar nama OIC disebut.


Pada 18 Februari disiarkan berita bahawa Perdana Menteri Pakistan (sebuah lagi anggota OIC), Shehbaz Sharif mendesak OIC mengatur sebuah mesyuarat kecemasan bagi menarik perhatian antarabangsa berhubung bencana itu.


Agensi berita Turkiye berkata perdana menteri itu mendesak usaha segera OIC bagi mendapatkan pakej bantuan untuk rakyat Turkiye.


"OIC perlu bermesyuarat segera bagi mengambil peranan kerana negara dan rakyat Turkiye perlukan sokongannya," kata beliau sambil mendesak pemimpin dunia menyumbang kepada usaha pemulihan semula rakyat Turkiye.


Kenapa OIC lambat bertindak...ini kejadian alam dan bukan permasalahan politik yang memungkinkan OIC 'berfikir 1,000 kali'? Hal ini terakam dalam kezaliman ke atas ummah di Balkan.


Lebih 20 tahun lalu, dunia Islam menangisi tragedi berdarah di Bosnia Herzegovina. Dilaporkan puluhan ribu orang Islam menjadi mangsa kerakusan gerila Serb dan pemimpin Serbia-Montenegro seperti Slobodan Milosevic yang gila mahu menghidupkan negara Yugoslavia.


Penderitaan ummah di negara Balkan itu seolah-olah tidak didengari oleh kebanyakan negara dan umat Islam lain. Hal ini difahami kerana Bosnia dan jirannya yang mempunyai majoriti umat Islam - Albania - terletak di tengah-tengah benua Eropah.


Nama Bosnia pun begitu asing kepada kebanyakan umat Islam sehingga tercetusnya peristiwa pahit itu yang menyedarkan ummah bahawa ada saudara mereka hidup tersepit di kalangan bangsa Eropah lain.


Sekalipun tragedi Bosnia adalah antara peristiwa hitam paling pahit dialami umat Islam, pembabitan pertubuhan yang memayungi ummah - OIC _ adalah pada tahap minimum.


Kumpulan Penghubung OIC yang turut dianggotai oleh Malaysia ketika itu, sekalipun bekerja keras membantu memulihkan keadaan di Bosnia terutama pada peringkat akhir konflik, pembabitannya terhalang antara lain disebabkan pengaruh kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dalam isu berkenaan.


Amerika dan Nato terbabit dalam percaturan politik Eropah yang ketika itu masih merasai kesan kehancuran Soviet Union dan blok komunis Eropah Timur. Sebarang campur tangan dalam krisis Bosnia dilihat sebagai terbabit dalam konflik era pasca keruntuhan Soviet Union yang memungkinkan Amerika menjadi kuasa tunggal dunia.


Berdasarkan situasi berkenaan, kita tidak hairan jika OIC 'tidak habis-habis dengan agenda pertemuan pemimpinnya di meja bulat' untuk membincangkan isu Balkan tetapi tanpa melakukan tindakan yang boleh dibanggakan.


Sejak beberapa tahun lalu pula, OIC juga difahami tidak berupaya menangani isu keganasan antarabangsa yang akhirnya membawa kepada pencerobohan negara Afghanistan dan Iraq oleh Amerika kerana ia dianggap konflik politik. Dalam percaturan politik 'yang berkuasa itulah yang benar', oleh itu pihak lain langsung tidak berani bersuara.


Malangnya dalam tragedi alam (tiada isu politik) yang menimpa dunia umat Islam (gempa di Turkiye / Syria) dan tsunami di Asia Selatan dan Asia Tenggara, tidak lama dahulu, OIC dan sesetengah negara umat Islam terus dengan 'sikap lama'nya iaitu tidak bertindak proaktif bagi meringankan penderitaan saudara seagama mereka.


Ribuan orang awam sudah mati, tetapi bantuan daripada OIC dan sesetengah negara Islam lambat atau masih tidak kunjung tiba. Lompang ini cuba dipenuhi  agensi antarabangsa bukan Islam antaranya kumpulan misionari agama.


Kali ini (bencana alam) apakah alasan yang hendak diberi? Adakah ini disebabkan keterbatasan atau ketidakupayaan dari segi politik? Adakah bencana alam ini juga membabitkan percaturan politik sehingga OIC dan negara Islam lain tidak berani campur tangan? Bumi terbabit (Turkiye/Syria) juga negara Islam, jadi apakah yang menghalang mereka daripada menghulur atau menyegerakan bantuan?


Berdasarkan perkembangan tidak sihat di kalangan negara umat Islam dan OIC yang memayungi lebih 1.2 juta ummah di lebih 55 negara, adalah wajar perubahan drastik dilakukan bagi mengaktifkan umat Islam yang seakan-akan masih lenyak dibuai mimpi sedangkan ribuan saudara mereka sudah terkorban manakala jutaan lagi hidup menderita dan di ambang menjadi korban.

No comments: