Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah Yunus 62)
SAYA bukanlah seorang ustaz; pengetahuan dan amalan agama saya tersangatlah terhad, almaklumkan saya dulunya bersekolah Inggeris. Namun sejak kebelakangan ini selepas pulang daripada menunaikan haji (tahun 2002), saya membiasakan diri mendengar tazkirah di masjid sama ada pada waktu antara maghrib dan isyak dan selepas subuh (kuliah subuh).
Antara pelajaran terkini seorang uztaz adalah kaedah fiqh. Pada salah satu pengajiannya dia memberitahu kaedah fiqh mendahulukan yang utama daripada yang kurang utama. Tidak ingat saya apa istilah bahasa Arab yang disebutnya. Misalnya apabila bertembung amalan wajib dan sunat pada suatu-suatu masa, perlu mengutamakan yang wajib daripada sunat.
Contoh diberikan, jika kita sampai ke masjid dalam keadaan bilal bersedia mengiqamatkan sembahyang, adalah tidak wajar untuk kita sembahyang sunat. Sembahyang jemaah itulah yang perlu diutamakan.
Semasa berada di Masjidilharam pula, kita disunatkan untuk mengucup Hajar Aswad. Namun orang terlalu sesak dan untuk mendekati Hajar Aswad kita perlu berasak-asak. Mungkin ada orang kita sakiti.
Menyakiti orang lain hukumnya haram dan wajib dijauhi. Jadi dalam kes ini, tidak perlulah kita mendapatkan sunat mengucup Hajar Aswad tetapi mendapat dosa dengan menyakiti orang lain. Ertinya wajib menjauhi menyakiti orang perlu diutamakan daripada mendapatkan sunat mengucup Hajar Aswad.
Apabila ustaz membuka ruang kepada soalan, saya pun lantas bertanya: "Ustaz ada menerangkan kaedah fiqh, mendahulukan yang utama; jadi saya mahu bertanya berkenaan dengan situasi ketika solat Jumaat. Saya perhatikan di kebanyakan masjid ketika imam (khatib) sedang membaca khutbah, jemaah menolak tong-tong duit yang beroda. Malah ada di sesetengah masjid, seorang petugas berjalan dari saf ke saf menghulurkan karung kepada jemaah bagi mengutip derma. Banyak jemaah menderma, mungkin ada yang malu dengan orang sebelah.
"Apakah hukumnya itu sedangkan kita tahu hukum mendengar khutbah Jumaat adalah wajib sedangkan menderma itu sunat saja. Bagaimana kedudukan kaedah fiqh tadi, mendahulukan yang utama daripada yang kurang utama?"
Ustaz menyatakan memang benar hukum mendengar dan menghayati khutbah Jumaat adalah wajib, ada di sesetengah masjid sebelum khatib menyampaikan khutbah, bilal membacakan sebuah hadis yang menyatakan, "akan sia-sialah Jumaat seseorang itu jika dia bercakap-cakap hatta menyuruh sahabatnya diam."
Jadi, menurut ustaz perbuatan mengeluarkan duit dan memasukkannya dalam tong-tong yang diedarkan sewajarnya tidak dilakukan pada waktu khatib sedang berkhutbah. Ini kerana apa yang perlu dilakukan ketika itu adalah menumpukan sepenuh perhatian kepada khutbah.
Itulah yang wajibnya sedangkan menderma itu hanya sunat. Mengikut kaedah fiqh, yang wajib (mendengar khutbah) perlu diutamakan, dikhuatiri dengan melakukan sesuatu (termasuk menderma) akan melanggar hak wajib yang dikhuatiri boleh membuatkan seseorang yang melakukannya berdosa.
Ustaz mengesyorkan kepada pentadbiran masjid melakukan kegiatan mengutip derma sebelum khutbah Jumaat ataupun sesudah selesai solat Jumaat. Jemaah perlu difahamkan untuk menderma di luar waktu khatib sedang berkhutbah.
Tetapi persoalannya, bolehkah kebiasaan salah yang dianggap sebagai satu kebajikan ini boleh dihentikan dalam masyarakat? Tentunya tidak mudah, tetapi pihak yang bertanggungjawab termasuklah petugas masjid yang sendiri sibuk mengedarkan tong derma beroda itu perlu difahamkan akan kehalusan hukum hakam agama.
Ustaz menjelaskan ada beberapa lagi kebiasaan salah yang dianggap betul dalam masyarakat Melayu-Islam. Misalnya dalam bab solat berjemaah, biasanya jemaah akan bertolak-tolakkan antara satu sama lain supaya mengisi saf paling depan. Kononnya sifat merendah diri orang Melayu yang mengutamakan orang tua atau orang berpangkat.
"Ini tidak betul," kata ustaz. Menurut beliau sewajarnya setiap orang berebut-rebut untuk mendapatkan kedudukan pada saf pertama, apatah lagi yang paling hampir dengan imam. Bagi jemaah lelaki, yang terbaik adalah berada di saf paling depan, sebaliknya bagi jemaah perempuan, yang terbaik adalah yang di belakang sekali.
Ustaz memberitahu, dalam soal-soal ibadat, seseorang itu perlu mengutamakan dirinya dulu daripada orang lain. Namun dalam soal membabitkan keduniaan, seseorang itu perlu mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri.
Tetapi malangnya orang Melayu sudah terbalik cara penerimaan dan kebiasaannya. Misalnya, apabila seseorang itu mengajak rakannya pergi sembayang di masjid dia akan berkata: "Awak pergilah dulu." Sepatutnya dia perlu segera menyahut seruan itu kerana mengutamakan ibadat untuk dirinya sendiri.
Namun dalam hal dunia, kebanyakan orang mengutama dan membiasakan dirinya dulu. Misalnya dalam bab makan, tuan rumah makan dulu, tetamu kemudian. Sedangkan ada kisah Nabi s.a.w. dan seorang sahabatnya pernah menjemput sejumlah orang miskin ke rumah; orang miskin didahulukan minum susu daripada satu bekas sehingga sahabat itu bimbang adakah baki susu untuk dia dan Rasul kerana susunya sedikit; hakikatnya tetap ada kerana berlaku mujizat Nabi dan kebarakahan rezeki yang diutamakan kepada diri orang lain sebelum diri sendiri!
No comments:
Post a Comment