DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr
TOL lebuh raya 'free' (percuma, gratis kata orang Indonesia) pada 20 dan 21 Januari lalu. Pemimpin berkata ia sempena cuti Tahun Baharu Cina. Penulis mengambil peluang itu untuk melawat sahabat lama dan saudara-mara di ibu kota.
Menziarahi sahabat dan saudara-mara membuatkan mereka berbesar hati - mereka bersusah payah menyediakan makanan. Di rumah A disediakan nasi lemak, di rumah B yang saya pergi kemudian pun dihidangkan nasi lemak.
Saya bersyukur...Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...tetapi 'otak saya' sibuk berfikir...kenapa ya, nasi lemak, nasi lemak, nasi lemak.
Maaf ya, 'otak saya' berfikir,,,mengaitkan apa yang saya alami itu itu dengan keadaan ekonomi rakyat yang semakin meruncing apatah lagi bagi mereka yang tinggal di ibu kota yang kos hidupnya serba serbi mahal dan semakin meningkat pula.
Sekali lagi maafkan saya membuat andaian begini, kos menyediakan nasi lemak adalah paling sesuai - bahan-bahannya seperti nasi (beras), telur, sambal (cili dan rempah ratus lain) serta sayur (timun) adalah 'mampu buat' - kalau mahu menyediakan hidangan lain seperti nasi berlauk...harga ikan, makanan laut lain seperti sotong, udang atau menyediakan daging atau ayam...kadang-kadang adalah 'di luar kemampuan'.
Demikianlah, wahai saudara pembaca, rakyat marhain terutama yang tinggal di kota-kota besar semakin terhimpit hidup mereka - saya pun tak terkecuali sebab itulah saya mengambil kesempatan melawat rakan dan saudara pada 'hari tol free'.
Sekalipun tekanan kehidupan semakin berat dari sehari ke sehari, kehidupan perlu diteruskan. Dunia dikatakan mengalami kemerosotan ekonomi yang parah. Namun pemerintah perlu tenang dan menggunakan segala 'kemampuan dan pengorbanan' mereka untuk mensejahterakan rakyat. Berusahalah bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada-Nya.
Pemerintah hari ini sewajarnya diberitahu mengenai kisah seorang raja yang mendapat kejayaan gemilang di medan perang kerana mengambil berat penderitaan rakyat. Baginda adalah pemerintah Mesir, Raja Malikul Muzafar Quthaz yang dapat menewaskan seterusnya menghalang kemaraan tentera Tartar (Mongol) daripada membinasakan dunia Islam pada abad ke-13 Masihi.
Selepas menghancurkan kota Baghdad, sekali gus mengakhiri pemerintahan Khalifah Abasiyah pada tahun 1258, tentera Mongol pimpinan Hulago Khan menghala ke Barat dan berjaya menawan satu demi kerajaan Islam. Antara faktor kejatuhan kerajaan-kerajaan ini ialah sikap talam dua muka pemerintah dan rakyat, sama seperti dihadapi negara umat Islam hari ini. Pemerintah bertindak zalim, memaksa rakyat bersatu padu tetapi pada masa yang sama mengerah rakyat supaya memenuhi perbendaharaan negara (membayar cukai tinggi) bagi menghadapi musuh.
Bagaimanapun hal ini tidak dilakukan Quthaz, seorang raja yang pernah menjadi hamba tetapi akhirnya berjaya memerintah Mesir. Dalam menghadapi kemaraan tentera Tartar baginda memanggil alim ulama, amir-amir, menteri, hakim dan pembesar negara untuk berbincang. Dalam majlis ini Sultan meminta pandangan mereka apakah dibolehkan mengutip wang dan mengambil harta rakyat untuk membiayai kelengkapan perang.
Dalam majlis ini, tidak seorang pun berani mengeluarkan fatwa kecuali Syeikh Abdus Salam yang berkata, tindakan tersebut wajib dimulakan ke atas amir-amir dan pembesar negara. Permintaan ini adalah sesuatu yang berat kerana sebelum ini tiada amir dan pembesar negara yang berbuat demikian. Bagi Sultan pula, fatwa Syeikh Abdus Salam amat berat - bagaimana baginda mahu memaksa pembesar baginda menyerahkan sebahagian harta mereka?
Di dalam buku 'Wahai Islamku' tulisan Ali Muhammad Baktsir (terbitan Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura-1986) ada diceritakan bagaimana Sultan Quthaz menunjukkan teladan bagi dicontohi raja-raja dan pemerintah selepasnya, termasuk pada hari ini.
"Sekarang akulah yang pertama turun tangan, menyetor emas dan perak yang aku miliki kepada Baitulmal. Inilah perhiasan Sultanmu," kata Malikul Muzafar menunjukkan pada peti yang terletak di hadapannya itu. "Sekarang aku serahkan harta ini kepada Baitulmal. Di hadapanmu sekarang aku bersumpah kepada Allah. Aku tidak mengambil hasil negeri ini selain daripada kebutuhan diriku. Sekali-kali aku tidak akan melebihi bahagianku daripada bahagianmu, katakanlah aku ini menyimpan harta dan kekuatan. Bagaimanakah caranya seseorang Sultan hidup tanpa ada barang simpanan dan kekuatan."
Selain menyerahkan hartanya, Sultan Quthaz juga ke medan perang bagi menghadapi musuh. Bukan saja baginda yang berada di barisan depan tetapi juga pemaisurinya, Jalinar (Jihad). Dalam pertempuran itu, Jalinar tewas dan apabila hampir menutup matanya buat selama-lamanya, di dalam pangkuan suaminya, permaisuri itu berkata: "Wahai Islamku, wahai Islamku."
Jalinar tidak mengatakan wahai kekasihku (suaminya) tetapi wahai Islamku, menunjukkan betapa cintanya pada Islam sehingga sanggup menyerahkan nyawanya untuk Islam.
Demikianlah betapa sikap dan peribadi Quthaz dan permaisurinya dalam menghadapi musuh Islam. Ciri-ciri yang dimilikinya itulah membolehkan umat Islam menewaskan musuh-musuh Allah termasuk tentera Mongol yang terkenal ganasnya pada masa itu. Itulah pemimpin yang mendahulukan rakyat; biar dirinya susah hatta mati asal rakyat senang tidaklah seperti sekarang, pemimpin mendahulukan rakyat untuk 'mati', asalkan dia senang...
No comments:
Post a Comment