Saturday, February 11, 2023

Rejab 20, 1444: 'Manusia paling jahat...' (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


TIDAK lama dahulu, dalam satu ceramah, saya begitu terkesan apabila seorang ustaz memberitahu bahawa orang paling jahat di dunia ini bukanlah penyamun, perompak, pembunuh, perogol dan 'penjahat sespesies' mereka tetapi manusia yang tidak dapat menerima kebenaran. Mereka yang menutup pintu hati (hati keras) inilah adalah sejahat-jahat manusia.


Kata sang ustaz, manusia keras hati ini bukanlah hanya daripada golongan yang 'kelihatan jahat' tetapi juga di kalangan mereka yang 'nampak baik-baik'. Ya, mereka solat (malah secara berjemaah di masjid), berpuasa dan berhaji tetapi kata sang ustaz, 'tak berkesan' 'tonggang tongek' mereka (menunaikan solat) jika mereka tidak berlapang dada untuk menerima sesuatu kebenaran itu.


"Apa buktinya?" tanya sang ustaz. Katanya, orang jenis ini pantang ditegur. Kalau ditegur dia akan melenting. Sepantas kilat dia menolak pandangan orang malah cuba pula 'menegakkan benang basah'. Ini bermakna orang ini secara automatis sudah menutup pintu hati; dia fikir dia atau pendapat dia sahaja betul jadi bagaimana dia dapat mengutip 'mutiara-mutiara' daripada kehidupan ini!


Fokuskan kepada sirah Nabi Muhammad SAW. Sebelum menjadi Nabi dan Rasul pada usia 40 tahun, Nabi Muhammad diakui kejujurannya dan diberi gelaran Al-Amin (Yang Amanah). Ketika mula berdakwah secara terbuka Nabi Muhammad SAW menghimpunkan penduduk Makkah dan bertanya kepada mereka "jika aku katakan ada unta di belakang bukit ini (Safa) percayakah kamu?" Orang Quraisy mengiyakannya tetapi selepas Nabi SAW menyampaikan dakwahnya, mereka yang diketuai oleh Abu Lahab lantas menuduh Nabi SAW berbohong sedangkan sebelumnya mereka mengakui 'keamanahan' Nabi.


Ya, orang yang menutup pintu hati daripada kebenaran adalah sama cirinya dengan Abu Lahab yang dikutuk oleh Allah SWT dalam al-Quran. Menjadikan sirah Rasul SAW ini sebagai pedoman kehidupan, insaflah kita bahawa masalah-masalah membabitkan diri, keluarga, masyarakat, negeri, negara kita dan dunia ini adalah berpunca daripada keras hatinya diri kita daripada menerima kebenaran. Namun percayalah, apabila kebenaran datang maka sirnalah kejahatan.


Sekarang marilah kita 'terjemahkan' peristiwa zaman Rasul SAW sebagai pengajaran kehidupan semasa kita. Kemelut demi kemelut yang melanda negara sebahagiannya adalah disebabkan oleh kita terutama pemimpinnya yang sudah keras hati, tidak dapat menerima kebenaran. Hati mereka sudah beku, Mereka pekakkan telinga kepada teguran, mereka fikir mereka saja betul dan apabila ini berlaku, dikhuatiri suasana dalam negara kita daripada 'sebawah-bawah dan setinggi-tingginya' dalam keadaan 'tunggang-telanggang'.


Tidak 'makan ditegur' atau menjauhi daripada kebenaran ini menyebabkan dunia rosak; sebagai contoh di negara kita kini diancam jerebu; sebahagiannya disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang jahat; mereka mementingkan hawa nafsu masing-masing - katakanlah berlaku kebakaran hutan puncanya kerana apa...pemerintah mahu mengaut keuntungan semaksimum mungkin, demikian juga pemodal, peneroka dan sebagainya. Manusia (daripada pemimpin kepada rakyat) rakus 'membotakkan' hutan dan bukit malah gunung pun ditarah mereka! Ya, apakah mereka ini dapat menerima kebenaran apabila ditegur? Tidak, kita bimbang mereka sudah jadi 'Abu Lahab' yang tidak dapat menerima kebenaran.


Manusia keras hati tidak boleh menjadi 'pentaubat' sedangkan inilah ciri sebaik-baik insan yang disayangi oleh Allah SWT. Perompak dan pembunuh (termasuk yang meletupkan orang) pun berpeluang mengaku bersalah dan bertaubat tetapi makhluk yang sombong daripada kebenaran ini (ketua mereka adalah iblis dan syaitan) tidak boleh dan akan berbuat begitu. Ya, manusia mana yang tidak membuat dosa...namun insan 'pentaubat' mengakui kesilapan diri dan berterusan merayu-rayu kepada Allah agar ditunjuki jalan yang lurus (kebenaran) yang dipohon sekurang-kurang 17 kali melalui solat. 


Sahlah kalau kita tidak membuka hati kepada kebenaran seterusnya bertaubat, kita adalah sejahat-jahat manusia kerana datuk kepada kita semua (manusia), Nabi Adam AS pun berdoa bersungguh-sungguh: "Ya Tuhan kami; kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi." (Quran, Surah Al-A'raaf, ayat 23)

No comments: