Monday, February 6, 2023

Rejab 15, 1444: Erti senyuman ala pramugari Singapura... (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)


MELIHATKAN pasport saya hampir tamat tempoh penggunaannya, saya bergegas ke Kota Singa, Singapura bagi manfaatkannya buat kali terakhir. Memperbaharui pasport bukan murah, RM300; jika tidak ada keperluan yang benar-benar penting tidaklah saya melakukannya.

 Apa yang saya dapat daripada kunjungan singkat itu? Bagi penulis selain dapat ‘penat’, berpeluanglah juga meninjau-ninjau pembangunan kota, negara dan gelagat penduduknya. 

Saya amat-amati orang Singapura amat ‘cermat’ dalam projek pembinaan terutama di kawasan tepi jalan dan lebuh raya. Tidak ada bukit digondolkan sesuka hati dan tanah ‘botak’ yang terdedah kepada hakisan seperti yang banyak dilihat di negara kita. Di tapak sesebuah projek, hanya kawasan kecil dibersihkan sedangkan di negara kita, apabila sesebuah projek dijayakan, habis kawasan hijau yang luas dimusnahkan. 

Sama seperti kebanyakan bandar raya besar lain yang pernah saya kunjungi, Singapura adalah kota batu kaku, penduduknya bergerak pantas bagi memenuhi keperluan material kehidupan. ‘Kau adalah kau dan aku adalah aku’; tiada masa untuk orang bertegur sapa atau memberikan senyum ikhlas. 

Daripada pegawai imigresen di pintu masuk sehinggalah para peniaga, hampir semua mempamerkan wajah kaku, mungkin ada seseorang dua yang mempamerkan ‘senyuman manis’ ala pramugari ‘Singapore Airlines’ yang terkenal itu, namun semuanya adalah palsu bagi memburu dompet tebal si pengujung. 

Ya, daripada ‘senyum palsu’ sesetengah orang Singapura itu, baru saya tahu mereka lebih ke depan berbanding negara kita dalam sesetengah hal seperti penjualan dan peragaan barangan seks; ubat-ubatan seperti viagara (tak tahulah sama ada tulen atau tiruan) dijual bersepah-sepah di kaki lima jalan; demikian juga alat-alat bantuan seks lain. Malah ‘kedai beristirahat’ untuk ‘dewasa melebihi 21 tahun’ kerap benar ditemui sepanjang saya menyusuri jalan dan lorongnya. 

Sungguh memeranjatkan kerana walaupun jam baru 5.00 petang, sudah saya ketemui sejumlah ‘wanita penjual diri’ dalam pakaian sendat dan ketat mempamerkan diri di tepi-tepi jalan. Wajah-wajah mereka walaupun di mekap tebal, kelihatan kerut muka membayangkan perit dan payahnya kehidupan, mungkinkah sukarnya mencari sesen dua di kota mencabar seperti Singapura sekali pun orang membayangkan atau diberi gambaran bahawa negara pulau ini adalah yang terkaya di Asia Tenggara malah Asia dan dunia! 

Di Singapura jangan 'berkira-kira' hal tukaran wang - bagi ‘orang biasa’ Malaysia, mereka akan mendapati harga barangan dan perkhidmatan di Singapura seperti ‘tidak masuk akal’ – sebotol air minuman biasa adalah S$1.00; kalau ‘dikirakan’ duit Malaysia sudah RM2.50; tidak jadilah seseorang itu membelinya. Harga seliter petrol adalah antara S$2.25 hingga $$2.52 sen bergantung kepada gred. 

Jika ditukarkan kepada RM, sudah jadi lebih kurang RM5.00.

Bagi orang Singapura, membeli sebotol air minuman dengan harga S$1 adalah biasa saja; begitu juga orang Malaysia yang membeli sebotol air minuman di Malaysia dengan harga RM1.00 adalah biasa saja; tetapi apabila ada menteri Malaysia ‘membuat lawak’ membandingkan harga petrol di Malaysia ‘kononnya’ adalah berlipat kali ganda lebih murah daripada di Singapura setiap kali harga minyak dinaikkan; bagi ‘orang berfikir’ hal itu tidak dapat diterima sama sekali. 

Ya, membuat perbandingan secara terus begitu tidak wajar sama sekali. Harga barangan dan perkhidmatan di sana adalah sesuai dengan taraf hidup penduduknya termasuk dari segi pendapatan mereka. 

Misalnya pendapatan asas (basic) seorang pemandu bas di Malaysia mungkin RM500 sebulan sedangkan pemandu bas di Singapura menerima S$1,500 sebulan manakala pengawal keselamatan bergaji S$2,000 sebulan. Apakah wajar untuk menyatakan pemandu bas dan 'jaga' di Singapura hidup lumayan sedangkan kos sara hidup di negara itu tersangat tinggi dengan sebotol air minuman saja sudah berharga S$1! 

Berdasarkan pengamatan saya, bagi sesetengah orang Singapura, wang adalah segala-galanya. Mereka memburu wang; masa bagi mereka adalah wang bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan di kota batu penuh cabaran itu. 

Disebabkan di kepala mereka ‘berserabut’ memikirkan cara untuk mendapatkan wang dan wang, mereka tidak ada masa untuk ‘memberikan senyuman’; sesungguhnya ‘senyuman’ adalah sesuatu yang sukar ditemui di kota batu ini. Jika ada yang memberikan senyuman, ia mungkin 'senyuman ala pramugari Singapore Airlines' yang mempunyai maksud tersirat...apa lagi kalau bukan dompet anda yang tebal itu!!!

No comments: