DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr
PADA usia 'tak berapa muda' sekarang ini, sekali sekala selepas solat zuhur berjemaah di masjid, saya menyantuni seorang dua budak-budak sekolah rendah agama yang solat bersendirian, mengejar waktu sebelum ke sekolah mereka yang bersebelahan masjid.
Saya kagum dengan budak-budak ini, mereka solat tanpa disuruh atau dipantau sesiapa. Adakalanya selepas mereka solat, saya mendekati mereka, menyatakan kata-kata pujian, meminta mereka istiqamah beribadah dan menghadiahkan seringgit dua.
Suatu hari saya berbuat perkara itu kepada seorang budak berbaju Melayu putih uniform sekolah, yang kemudian saya tahu dia dalam darjah dua. Ketika menghulurkan duit dia berkata: "Datuk simpanlah duit itu...bagi orang yang lebih 'membutuhkannya'.
Terkejut besar saya. Biasanya budak-budak akan mengambil duit itu tanpa 'songeh'...budak ni lain macam pula...Sifat mulianya walaupun masih kecil saya puji...tetapi mengapa dia menggunakan perkataan Indonesia itu yang maknanya kurang molek dalam bahasa Melayu...mana dia belajar?
Saya menegur dia dan bertanya mana dia belajar dialog itu. Katanya dari Youtube...Saya minta dia jangan lagi menggunakan perkataan itu...tetapi sifatnya yang mengutamakan orang daripada diri sendiri adalah amat bagus. Sifat baik seperti inilah yang perlu ada pada generasi baharu.
Tidak lama dahulu, ketika duduk-duduk di tangga sebuah surau selepas solat, saya terpandang sampah sarap banyak bertaburan di halaman surau.
Saya pun mengambil satu bungkusan plastik dan memulakan kerja mengutip sampah-sampah itu.
Ketika asyik 'bekerja', kemunculan dua kanak-kanak seorang lelaki dan seorang perempuan dalam usia 10 tahun begitu mengejutkan saya yang sedang terbongkok-bongkok, apabila salah seorang daripada mereka menegur saya: "Datuk, boleh tolong...?"
Hiss, budak-budak ini, sudahlah dipanggilnya saya datuk, nak mintak tolong pulak tu...
"Tolong apa?" tanya saya. "Tolong datuk kutip sampahlah..."
Terasa panas muka saya menahan malu. Malu kerana tersalah sangka, saya ingatkan mereka mahu minta tolong tetapi mereka mahu menolong - sama-sama mengutip sampah sekeliling surau dan kemudian saya lihat mereka memberus longkang dan mengangkat bongkah batu dan ketulan kayu yang terbiar.
Tercengang saya di pagi cerah itu. Terasa betapa indahnya dunia. Matahari saya rasakan seakan-akan 'tersenyum', angin menderu lembut, rerumput dan tanah berbau harum.
Ya, inilah kali pertama dalam hidup saya menemui kanak-kanak secara spontan dan sukarela menawarkan diri membantu kerja-kerja 'orang tua' seperti saya.
Saya tidak pernah menemui situasi ini, peri laku kanak-kanak itu sungguh menggembirakan saya pagi itu, bagi saya mereka telah memberikan harapan bahawa 'esok masih ada' sebenarnya dalam kehidupan ini.
Yalah, pada ketika ini kita meniti hidup yang masyarakatnya semakin kasar dan kejam. Ya, kanak-kanak itu telah membuat saya riang sepanjang hari.
Perbuatan mereka telah 'make up my day'! Tak apalah jika mereka memanggil saya 'datuk'. Yalah, kan saya sudah ada cucu yang memanggil saya datuk. Kalau dapat pangkat Dato' bagus juga, mana tahu masin mulut budak-budak tu.
Di surau itu saya telah saksikan 'satu sinar' - sinar harapan. Bagi saya inilah hadiah hari jadi (pada 17 Februari) paling indah pernah saya dapat. 'Hadiah' ini membuatkan pemberian berbentuk material dan kata-kata indah pada kad ucapan yang saya terima selama ini kelihatan amat kecil malah mungkin tidak bermakna.
Ya, apa ertinya jika ia hanya indah pada kata-kata tetapi tidak disertai perbuatan?
Akhirnya saya telah ketemui keindahan kata-kata diterjemahkan menjadi perbuatan.
Saya menyaksikan dengan mata kepala ini sendiri bagaimana kanak-kanak itu dapat menterjemahkan apa yang dipelajari di rumah dan sekolah; tentang budi bahasa, tentang sifat tolong menolong yang 'berbuih-buih' diajar oleh ibu bapa dan guru di sekolah secara praktik tanpa disuruh, tanpa dipaksa.
Menemui insan dewasa apatah lagi kanak-kanak yang ikhlas membantu orang lain memang sukar. Ini kerana sejak kecil anak-anak kita dilatih dengan upah, mengharapkan ganjaran pada penghujung sesuatu usaha.
Misalnya berpuasalah, nanti bapak bagi duit, belajarlah bersungguh-sungguh nanti anak akan senang selepas dapat 5A dalam UPSR, 9A dalam PMR dan 11A dalam SPM.
Semuanya menjanjikan ganjaran, tetapi peristiwa "datuk, boleh tolong...?" di sebuah surau nun di sebuah kawasan pedalaman, menyedarkan saya bahawa 'generasi muda kita masih boleh diselamatkan'.
Ayuh marilah kita, terutama orang yang terbabit terus dalam bidang pendidikan seperti 'cikgu' berusaha sepenuh jiwa membimbing generasi muda kita ke jalan-Nya yang lurus!
No comments:
Post a Comment