Friday, February 3, 2023

Rejab 12, 1444: Duit masjid bukan untuk 'disimpan'...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

 

SUATU petang selepas solat asar di sebuah masjid yang biasa dikunjungi, saya berehat sebentar di beranda, melihat-lihat sebuah papan putih yang tertera jumlah wang kutipan masjid setiap minggu dan bulan.


Pada kebanyakan minggu jumlah kutipannya melebihi RM3,000. Jadi jumlah kutipan bulanan tidak kurang RM10,000. Kadang-kadang dalam sebulan ada lima minggu manakala kutipan juga dibuat pada Aidilfitri dan Aidiladha…bermakna lumayanlah masjid ini dari segi kewangannya.


Di dua masjid berdekatan yang juga kerap saya kunjungi, kutipan kedua-duanya tidak pernah kurang daripada RM2,500 seminggu. Malah di papan putih sebuah masjid ada tercatat jumlah kutipan bulanan daripada hasil ladang dan pajakan tanah.


Ya sungguh lumayan perolehan masjid-masjid kita; persoalannya apakah wang daripada derma orang ramai, sama ada melalui peti mini yang diedarkan pada setiap Jumaat  ataupun tabung tetap di masjid digunakan secara maksimum untuk mengimarahkan rumah-rumah Allah itu?


Duit itu adalah sumbangan orang yang mahu melihat masjid diimarahkan dengan program yang dapat mendekatkan masyarakat kepada Ilahi, tetapi kadang kala lain pula terjadi - ada sesetengah ahli jawatankuasa masjid terlalu berminat menimbunkan wang sedekah dalam bank.


Sesetengah setiausaha dan bendahari masjid bersaing antara satu sama lain, masjid mana yang mempunyai simpanan paling banyak. Mereka yang menyimpan paling banyak bangga, kononnya berjaya mengkayakan masjid, hakikatnya masjid tidak perlu dikayakan, yang perlu dikayakan adalah masyarakat Islam, sama ada dari segi kehidupan harian ataupun keimanan mereka.


Tidak lama dulu penulis menghadiri ceramah seorang motivator yang namanya pada pandangan penulis usah disebut. Di masjid itu beliau bercakap dengan nada keras: "Kalau jawatankuasa masjid tidak tahu buat kerja, muka pun tak ada ketika solat jemaah, lebih baiklah letak jawatan. Janganlah gila pangkat dan kedudukan, bagilah pada orang yang boleh buat kerja."


Beliau meminta jemaah melihat sekeliling dan berkata: "Lihatlah muka yang datang ke masjid, asyik-asyik muka yang sama. Muka KRU (kumpulan rambut uban). Mana dia anak-anak muda kita? Tanyalah diri sendiri mengapa mereka tidak datang ke masjid?"


Katanya, AJK perlu menguruskan masjid dengan berkesan. Makmurkan masjid. Buat program-program yang dapat menarik minat anak-anak muda. Untuk tujuan ini, tentulah perlukan peruntukan kewangan yang banyak.


"Inilah masanya untuk kita gunakan wang derma orang ramai itu. Janganlah simpan wang banyak-banyak dalam bank, tak mahu keluarkan. Orang yang dermakan wang itu mahu melihat wang itu digunakan untuk manfaat orang ramai, ini simpan dalam bank banyak-banyak buat apa?" tanyanya.


Beliau membidas AJK masjid yang gemar berbincang mengenai apa makanan yang hendak disediakan selepas majlis ceramah dan sebagainya tetapi tidak pula membahaskan dan menjayakan program apa yang sesuai bagi memakmurkan masjid terutama bagi menarik generasi muda.


Katanya, pemuda-pemudi sudah tahu aktiviti yang berlangsung di masjid seperti kelas pengajian, majlis marhaban (ketika sambutan Maulidur Rasul), bacaan Surah Yassin pada malam Jumaat, jadi mereka tidak tertarik untuk datang kerana majlis-majlis seumpama itu pada fikiran mereka hanya sesuai untuk orang tua.


“Cuba buat kelainan, buatlah sesuatu yang dapat memikat mereka,” katanya. 


Penulis teringat ada pengurusan beberapa masjid sudah menjayakan projek seperti membina gelanggang sepak takraw di tepi masjid. Apabila azan, budak-budak berhenti bermain dan diajak untuk solat berjemaah. Ada pengurusan masjid sudah memajukan kelas komputer, golongan muda dapat dibimbing meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat.


Demikianlah banyak program dapat dimajukan di masjid sebagai pendekatan menarik sebanyak mungkin anggota masyarakat ke rumah Allah itu, tidak kira daripada golongan veteran, wanita, muda-mudi dan juga kanak-kanak.


Bagaimanapun sebahagian besar harapan orang ramai tidak tercapai kerana realitinya kebanyakan pengurusan masjid dimonopoli golongan tertentu yang ada kepentingan termasuk dari segi politik. Mereka berada di kedudukan berkenaan bukan dilantik oleh ahli kariah tetapi dipilih pihak berkuasa.


Apabila ini berlaku (pelantikan orang yang tidak mencintai rumah Allah), berlakulah kelemahan pengurusan masjid seperti sekarang. Jika solat waktu pun AJK jarang hadir, bagaimana mereka boleh mengaktifkan masjid?


Selain kelemahan pengurusan, sesetengah ‘orang masjid’ pula kurang dalam PR (perhubungan awam) mereka. Sebagai contoh, ramai yang bukan saja tidak mesra kanak-kanak  tetapi anti-kanak-kanak.


Misalnya baru-baru ini penulis melihat bagaimana sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain-main di masjid diusir sehingga jauh oleh ‘orang masjid’. Bagi penulis adalah biasa untuk kanak-kanak bermain-main, cukuplah menasihati mereka, tidak perlu ‘dihambat’ sedemikian rupa. Lainlah kalau 'bapak orang' bermain-main dalam masjid…itu baru tak reti bahasa namanya!


Tidak lama dulu, seorang anak penulis yang melalui satu kawasan ‘larangan’ (dia sendiri tidak tahu larangan itu) di masjid telah dijerit oleh seseorang: “Hei budak…” Itu ‘pengalaman ngeri’ baginya tetapi syukurlah dia tidak ‘patah hati’ untuk terus ke masjid!

No comments: