Wednesday, March 1, 2023

Syaaban 8, 1444: Islam kembali tadbir dunia

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Janganlah memuji dirimu

Janganlah anda memuji-muji diri anda sebagai orang yang suci dan bersih daripada dosa. Dengarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Ia (Allah) lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia menciptakan kamu (berasal) daripada tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai-bagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa). Dialah saja yang mengetahui akan orang-orang yang bertakwa." (An-Najm:32) - Hidayah Rabiulawal 1433/Februari 2012


AKHIR-AKHIR ini kita dapat saksikan dunia kehidupan Barat sarat dengan permasalahan sosial; yang terbaru kematian artis pujaan ramai, dikatakan berpunca daripada pengambilan dadah berlebihan.


Apa yang dilihat sebagai individu yang mencapai kemuncak kemasyhuran dalam pelbagai segi artis ternama, mendedahkan sisi buruk tamadun Barat yang seolah-olah mengiyakan bahawa ia berada di ambang kehancuran.


Permasalahan sosial Barat terlalu genting, ia menunggu masa untuk hancur; bagi kita hanya Islam yang kini berkembang pesat di Eropah dan Amerika Utara dapat menyelamatkan umat di sana, seterusnya orang Barat yang telah menerima Islam dapat mendaulatkan Islam, ia akan kembali mentadbir dunia. Benarkah Barat yang sudah Islam dapat muncul sebagai pentadbir baru dunia ini? Atau ini hanya satu ilusi, tidak berpijak di bumi nyata?


Bagi kita kemusnahan tamadun Barat dan di atas runtuhannya adalah kebangkitan Islam, mempunyai asasnya. Islam kini muncul sebagai agama paling pesat berkembang di sana; malah sudah muncul sebagai agama kedua terbesar di Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.


Barangkali ada orang melihat Barat dengan kehebatan kemajuan sains dan teknologinya, tetapi jangan lupa manusia Barat sudah lama menuju kehancuran, kini mencapai kemuncaknya apabila mereka yang ternama dan ada ‘segala-galanya’ seperti Whitney Houston dan Michael Jackson mati dalam keadaan terhina.


Manusia Barat yang tersedar daripada mimpi panjang sedang tercari-cari erti kehidupan; ramai individu masyhur sudah memeluk Islam. Mereka daripada orang ternama seperti Lauren Booth (adik ipar Tony Blair), wartawan Yvonne Ridley sehingga penyanyi antarabangsa Cat Stevens (Yusuf Islam) mendapat hidayah di tengah-tengah kebobrokan masyarakat Barat.


Memang benar, kuasa Barat dengan kehebatan armada perang berteknologi tingginya dapat menduduki dengan mudah negara umat Islam seperti Iraq dan Afghanistan tetapi sepanjang sejarah Islam, pihak yang mendominasi akhirnya akur kepada kehebatan agama penduduk rantau yang dikuasai. Misalnya, orang Mongol yang terkenal zalim dan kejam selepas memusnahkan Baghdad (empayar Abbasiyah) pada tahun 1258, melahirkan keturunan pemeluk Islam hebat yang telah membina beberapa kerajaan gagah di Asia Tengah. Pemerintah empayar Moghul di India yang masyhur itu juga berketurunkan orang Mongol yang zalim itu.


Malah di Afghanistan, armada Amerika yang hebat itu dimalukan pejuang Taliban dan terpaksa berundur penuh malu.


Bagi kita Barat dengan segala helahnya untuk menguasai dunia secara mutlak selepas hancurnya blok komunis pada 1990-an dulu, terus gagal sekalipun kerap memangsakan negara dan umat Islam dalam satu percaturan dinamakan Barat lawan Islam, dengan kemuncaknya pemburuan terhadap apa dituduh sebagai pengganas Islam selepas runtuhnya bangunan Pusat Dagangan Dunia dalam satu serangan pada September 2001.


Hari ini satu demi satu kepincangan dunia Barat yang terselindung di sebalik kecanggihan teknologi dan apa didakwanya kemodenan hidup; terserlah satu demi satu.


Barat kini dihuni manusia berpenyakit lemah jiwa, dibelenggu keruntuhan akhlak dan rapuhnya nilai-nilai rohaniah yang menyebabkan ia lemas di tengah-tengah pertarungan agama dan ideologi. Insya-Allah hanya Islam yang dapat menyelamatkan umat Barat ini.

No comments: