Saturday, March 4, 2023

Syaaban 11, 1444: Imam 5 minit, imam 5 tahun...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan bepesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr


TIDAK lama lagi rakyat di sejumlah negeri seperti Kedah dan Selangor sekali lagi berpeluang memilih pemimpin (imam). Dikhabarkan pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan pada Jun nanti.Pemimpin diibaratkan imam yang mengetuai arah tuju masyarakat.


Antara tujuh golongan yang mendapat lindungan Arasy Allah SWT akhirat nanti adalah imam (pemimpin) yang adil. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:” Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat lindungan arasy-Nya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripada-Nya. 


 "Mereka adalah imam (pemimpin) yang adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; dua lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan dia takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana takutkan Allah SWT.” (Riwayat Imam Muslim) 


Setiap imam (pemimpin) dipertanggungjawabkan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Maka bergembiralah kepada mana-mana imam (pemimpin) yang dapat berlaku adil. Pemimpin adalah daripada setinggi-tinggi kedudukan (raja, presiden dan perdana menteri) sehinggalah seorang hamba yang bertanggungjawab ke atas harta tuannya.


Imam (pemimpin) wajar dipilih daripada kalangan orang terbaik, sama ada dari segi ilmu dan akhlak malah penampilannya. Jika  imam masjid atau sesuatu jemaah (masa bertugasnya lima minit setiap solat) dipilih di kalangan ‘orang baik-baik’ adakah kita mahu 'cincai' saja dalam memilih imam (pemimpin) yang akan mengetuai tindak tanduk seluruh warga negeri dan negara selama lima tahun (satu penggal pemerintahan sebelum pilihan raya berikutnya). 


Selain di dunia, pemimpin juga akan bertanggungjawab di akhirat kelak.Bagi memilih pemimpin, seorang tokoh dalam satu sesi ceramah pernah bertanya..."ingin saya utarakan satu pertanyaan; jika orang yang sangat rapat dan kita kasihi meninggal dunia, siapa kita mahu jadikan imam solat jenazahnya?  Demikian juga siapa kita mahu jadikan imam solat waktu (lima minit) kita? Sudah tentu kita mahukan orang yang terbaik dari segala segi."


Terpulanglah kepada pembaca (dan rakyat) untuk memilih siapa menjadi imam solat jenazah, imam lima minit (solat waktu berjemaah) dan imam lima tahun (pemerintah) tetapi ingatlah bahawa segala apa yang kita lakukan tidak berakhir di dunia ini sahaja tetapi akan berpanjangan di akhirat sana. 


Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang (termasuk pemimpin-imam) yang dikasihinya. Sekali lagi tanya diri kita secara jujur, kita mahu dikumpulkan bersama siapa _ imam yang baik-baik atau imam menyeleweng.


Jika kita hanya memilih orang baik-baik untuk menjadi imam solat tetapi memilih imam yang terlalu memberatkan hal-hal dunia termasuk menjadi perasuah dan penyamun harta rakyat di belakang tabir, percayalah akan lahir umat yang baik semasa di masjid (atau ketika solat saja), tetapi apabila keluar daripada lingkungan itu, mereka tidak lagi kenal batas dosa atau pahala.


Berkenaan memilih pemimpin ini seorang tok guru pernah menasihatkan: “Kalau pilih imam solat, wah, kita cari orang yang betul-betul baik. Orang yang betul-betul kita yakini. Kita tak pilih orang kaki judi. Kita tidak pilih kaki botol. 


“Bagaimanapun apabila lantik pemimpin, ini imam juga, kita pilih yang tak baik. Kita pilih yang rasuah. Kita pilih yang tak amanah. Imam sembahyang lima minit aja, tapi kita nak yang terbaik, tapi imam di luar sana, masanya panjang, mungkin lima tahun (satu penggal pilihan raya), takkan kita nak serahkan nasib kita pada pemimpin jenis ini. Hah, nanti di akhirat nanti ikutlah pemimpin jenis ini.” 


Kata seorang lagi tok guru, kewajipan solat diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketika Israk Mikraj, jadi ada kaitan antara ibadah itu dengan peristiwa-peristiwa yang dipertontonkan kepada Nabi s.a.w. sepanjang perjalanan ke Sidratul Muntaha.


Kalau memilih imam solat (imam lima minit), kita pilih yang terbaik di kalangan kita, tentulah apabila memilih pemimpin (lima tahun), kita akan memilih yang terbaik. Oleh itu janganlah pembunuh, perasuah, kaki perempuan, kaki botol, kaki judi dan pelbagai kaki buruk lain dipilih sebagai imam (pemimpin) lima minit atau lima tahun!

No comments: