Friday, March 24, 2023

Ramadan 2, 1444: Sahabat ni asyik asyik belanja, aku bagaimana?

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr


ALHAMDULILLAH...menjelang Ramadan saya berkesempatan berkunjung ke pejabat Harakah di KL. Terima kasih kepada semua terutama sahabat-sahabat lama yang melayan saya dengan begitu baik sekali. 'Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza' (Semoga Allah SWT membalas kamu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT membalas kamu dengan balasan yang terbaik).


Kepada semua diucapkan Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak, semoga kita mendapat keredaan dan pengampunan-Nya pada bulan mulia ini. Berkunjung ke Harakah, mengingatkan saya suasana Ramadan ketika saya mula bekerja di sini pada tahun 1999 dahulu. Masa itu saya 'budak baharu'...ada perkara yang jika dikenang-kenang, membuatkan saya terharu. 


Misalnya, makan bersama-sama ketika berbuka puasa pada hari 'deadline'. Masa tu Harakah sedang 'top'...ada yang berkata edaran sekali keluarannya lebih 100,000 malah sehingga 300,000 naskhah. Jadi semua petugas termasuk saya yang 'baharu masuk' sangat sibuk...bekerja siang malam...selalunya pada hari 'deadline' saya tidur di surau pejabat. Pekerja yang ditugaskan membeli makanan adalah Rozie...aku tak tahu di mana kau sekarang...semoga Allah memberkati  atas jasa, penat lelah dan pengorbanan kamu. Amin.


Sekalipun terlalu sibuk, petugas sempat bertarawih di surau. Taklah 20 rakaat, tetapi solat lapan rakaat yang biasanya diimamkan Abu Hanifah dan 'berbilalkan' Haji Muzaffar, menyemarakkan semangat Ramadan kami. Bekerja di Harakah, menemukan saya dengan insan-insan yang dapat diteladani. Misalnya seorang sahabat sangat pemurah...ketika makan seolah-olah semua orang mahu dibelanjanya. Hebat dia, aku bagaimana...menyebabkan kita mula muhasabah diri.


Selain di Harakah, ada sejumlah insan hebat yang saya ditemui di luar sana. Beberapa tahun lalu, saban Ramadan pasti saya menerima kad hari raya daripada seorang sahabat ini...tetapi kini tidak lagi. Saya diberitahu seorang rakan lain bahawa sahabat itu sudah meninggal dunia. Saban tahun, yang mula menghantar kad adalah dia, saya hanya membalasnya. Ertinya setiap kali Ramadan dan Aidilfitri dia mengingati saya, tetapi saya entahlah, mungkin saya seorang manusia yang terlalu mementingkan diri atau terlalu sibuk dalam dunia tersendiri sehingga tiada masa mendahuluinya menghantar kad.


Ramadan ini saya terkenangkan sahabat ini. Berdoalah agar rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman, semoga Allah SWT merahmati beliau; manakala saya yang masih ada di alam fana, terdetik di hati bila pula akan dipanggil ke sana.Ya, saya kehilangan seorang sahabat yang tidak mengenal jemu, ibarat sebuah pelita atau lilin dalam menyinari ikatan silaturrahim sesama sahabat terutama pada hari dan bulan penuh barakah ini.


Sebagai petugas dan penulis Harakah, saban tahun saya penerima kad raya daripada seorang insan (mungkin peminat) dari Jalan Parit Haji Baki, Muar, Johor. Saya tidak mengenalinya secara peribadi, tetapi ungkapan yang ditulisnya membayangkan wujud komitmen yang sama antara dia dan saya.


Pada kad mutakhir beberapa tahun lalu, antara lain, beliau menulis: “Semoga kehadiran Ramadan ini memberi kekuatan daya spiritual dan intelektual kepada para pejuang dan pencinta agama Allah.


“Mudah-mudahan dalam pilihan raya nanti, parti Islam yang kita perjuangkan akan beroleh kemenangan dan bantuan Allah SWT, Tuhan empunya alam semesta. Semoga hasrat kita untuk melihat undang-undang al-Quran tertegak di bumi Malaysia akan menjadi nyata.


“Akhir kalam, salam Aidilfitri buat LanH sekeluarga, semoga hadirnya bersama rahmat dan kasih sayang Allah dalam memautkan hati-hati insan untuk berteduh di bawah pemimpin yang berjiwa Islamik, semoga ia bukan mimpi tetapi suatu kenyataan. Amin.”


Pada Ramadan yang mulia ini saya terkenang-terkenang betapa banyaknya jasa orang pada diri saya, tetapi seperti saya nyatakan sebelum ini saya bukanlah jenis orang yang mudah melafaz ucapan terima kasih dengan menghantar kad, hadiah, jambangan bunga dan sebagainya. Mungkinkah ini kelemahan saya yang perlu dikoreksi dan dibenamkan Ramadan ini?


Selain pengorbanan anggota keluarga seperti ibu bapa, adik beradik dan isteri, ada peristiwa membabitkan orang luar ketika Ramadan kali ini, mengajar saya akan erti kasih sayang sesama manusia; betapa dalam dunia ini terlalu ramai yang baik hati mengalahkan insan-insan berhati kering yang kerap dipaparkan media massa seperti bapa membunuh anak, suami menyimbah asid ke muka isteri atau gadis membuang bayi di tepi longkang. Kisah kebaikan hati insan jarang dipaparkan, yang kerap disiarkan akhbar adalah kisah kejelekan manusia.


Suatu tengah hari Ramadan lalu, motosikal yang sedang saya tunggangi rosak. Maka terpaksalah saya menolaknya di sebelah tepi jalan, mencari bengkel. Baju saya mulai lencun, tetapi sebentar kemudian seorang anak muda datang, bertanya apa masalah saya dan apa bantuan yang boleh dihulurkan.


Setelah mengenal pasti kerosakan, pemuda itu yang turut membawa isteri dan seorang anak kecil yang ‘tersepit’ di celah mereka, meminta saya menaiki motosikal saya lantas dia menolak kenderaan itu dengan kakinya. Dia melakukan begitu sehinggalah saya sampai ke destinasi. Cuba bayangkan dalam seminit dua, pertolongan itu telah datang, pemuda itu sanggup bersusah payah bagi memastikan kesejahteraan saya. Tidakkah itu suatu nilai kemanusiaan yang amat tinggi, yang wang ringgit pasti bukan ukurannya?


Ramadan lalu juga menemukan saya dengan seorang tukang masak si pembuat bubur lambuk di kampung seberang kampung saya yang baik hati. Walaupun saya hanya sesekali mengambil bubur daripadanya, saya amat-amati dia begitu tekun bekerja, dari pagi hingga ke petang dia melakukan persiapan sehinggalah kepada kerja menanak dalam suasana panas, semata-mata bagi berbakti kepada orang ramai.


Sekali-sekali peluh yang menitik di dahi, dilapnya, mukanya kemerah-merahan kerana menanggung kepanasan api. Namun dia tetap setia di situ dari pagi hinggal ke petang. Alangkah mulia hatinya, sanggup bersusah payah bagi kesenangan orang lain.


Pada Ramadan ada sahaja orang ‘sponsor’ jamuan berbuka puasa di masjid. Ramai yang enggan dikenali ini, mahu memanfaatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani bahawa Nabi s.a.w. bersabda: ‘Barangsiapa yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa maka ia mendapat pahala sama dengan orang yang berpuasa sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurangan sedikit pun’.” (Hadis riwayat Tirmidzi)


No comments: