DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Bahawasanya tiada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Maksud ayat 87 Surah al-Anbiya)
ALHAMDULILLAH, kita kini berada dalam bulan Ramadan yang penuh barakah. Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan, semoga Ramadan kali ini memberi jutaan rahmat kepada kita semua, dan yang terpenting kita selamat di dunia dan akhirat.
Berceloteh pasal Ramadan, teringat saya kisah masa kecil-kecil dahulu. Ibu selalu ingatkan anak-anak gadis kecilnya, kalau tak puasa (dapat cutilah tu, Abc - Allah bagi cuti), nak makan dan minum boleh tetapi buatlah secara sembunyi-sembunyi. Makanlah tetapi jangan makan di depan adik beradik. "Sekalipun awak tu tak 'posa', hormatilah bulan Ramadan!"
Demikianlah wahai pembaca, kepada golongan yang dibolehkan 'tak posa' seperti musafir, orang tua uzur, orang sakit, perempuan mengandung dan menyusui bayi apatah lagi perempuan berhaid dan bernifas, makan dan minumlah tetapi lakukannya secara berhemah; hormati orang lain yang sedang berpuasa apatah lagi menjaga kesucian bulan Ramadan itu sendiri.
Seorang ustaz dalam ceramahnya yang ikuti menjelang Ramadan ini, berkata sekalipun tak berpuasa, golongan ini juga dituntut untuk sama-sama menyemarakkan Ramadan - mereka boleh melakukan amalan lain seperti memperbanyakkan zikir, berselawat, bersedekah (termasuk menyedia dan menjamu orang berpuasa) dan mengeratkan silaturahim dan ukhuwah sesama Muslim.
Ya, kehadiran Ramadan menyuntik kebaikan kepada semua (ummah). Peluang terbuka kepada semua Muslimin dan Muslimat untuk meraih segala kebaikan pada bulan mulia ini...mereka lebih mudah melakukannya pada bulan Ramadan (mungkin syaitan sudah dirantai) tetapi alangkah besar manfaatnya jika amalan ini berterusan sepanjang waktu.
Jika perubahan ini dilakukan semata-mata bagi menghormati Ramadan atau mendapatkan kelebihan beribadah pada bulan penuh barakah ini, dikhuatiri seseorang itu menjadi hamba Ramadan dan bukan hamba Allah SWT yang menunjukkan ketaatannya sepanjang usianya.
Berhubung perkara ini, kita tertanya-tanya mengapa sesetengah pihak hanya begitu ghairah beribadah pada bulan Ramadan tetapi melupakannya selepas itu. Apakah ini bermaksud pada Ramadan saja kita berbuat baik sebaliknya pada bulan-bulan lain bebas berbuat sesuka hati kita? Apakah ini bermaksud Tuhan hanya ada pada Ramadan, sedangkan pada bulan-bulan lain, Tuhan seolah-olah tidak wujud?
Pemikiran dan tindakan mengasing-asingkan corak kehidupan berdasarkan masa dan tempat ini dikhuatiri sebahagian amalan sekular. Berdasarkan ini, tidak hairanlah orang berusaha mematuhi suruhan agama seperti memakai tudung pada bulan Ramadan tetapi pada bulan-bulan lain tidak menghiraukannya sedangkan perintah Allah SWT berhubung penutupan aurat adalah pada sepanjang masa.
Demikian juga ketika menunaikan haji di Tanah Suci, seorang Muslimah sentiasa mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya, tidak kelihatan seorang pun wanita yang memperlihatkan rambutnya. Adakah ini bermaksud Allah SWT itu hanya ada di Makkah, manakala di luar musim haji dan di luar Tanah Haram, Allah SWT tidak wujud kerana perintah-Nya dilanggar sewenang-wenangnya.
Pemikiran silap ini sudah lama meresap dalam masyarakat kita; sebahagian daripada kita melakukan perintah Allah SWT berdasarkan apa yang disenangi sebaliknya menolak apa yang difikirkan mendatangkan kerugian. Misalnya, pada ayat 178 Surah al-Baqarah, Allah SWT memerintahkan manusia berhukum dengan hukum qisas, kebanyakan manusia tidak mempedulikannya tetapi apabila diperintahkan berpuasa pada ayat 183 surah yang sama, mereka menerimanya.
Kecenderungan melakukan perintah secara terpilih ini, menyebabkan umat Islam berkelakuan baik pada suasana yang memerlukan mereka bertindak sedemikian, sebaliknya pada luar lingkaran itu bertindak di luar batasan agama.
Jika mereka di masjid, mereka menunjukkan ketaatan tetapi di luar pintu masjid, seolah-olah perintah Allah tidak laku. Itulah sebabnya mengapa sebahagian umat Islam terutama pemimpin melakukan aneka maksiat seperti rasuah, perompakan dan penyelewengan kerana agama bagi mereka adalah dalam lingkungan masjid dan pada bulan dan musim tertentu saja.
Pada bulan Ramadan ini, ramai bertukar baik, tetapi sebaik saja masuk bulan Syawal kelakuan mereka kembali buruk. Aneka maksiat kembali dilakukan, penyelewengan dan penganiayaan menjadi-jadi termasuklah dalam politik.
Penindasan diteruskan, segala tazkirah dan pengajaran Ramadan tidak sangkut di hati. Manusia kembali liar, malah mungkin lebih teruk lagi sebelum Ramadan.
Ramadan adalah madrasah bertujuan menjadikan kita lebih baik daripada semalam. Awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan akhirnya bebas daripada api neraka.
Sehubungan itu, beribadat dan berbaktilah sepanjang hayat kita, istiqamahlah untuk mematuhi semua hukum hakam Islam mulai Ramadan ini. Berusahalah bersungguh-sungguh agar kita menjadi hamba yang mendapat keredaan-Nya dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment