Monday, January 11, 2021

Jamadilawal 27, 1442: Apabila berlaku ‘Perang Teluk’, ‘blah’…(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 


SEKARANG ini bukan saja kes perceraian menjadi-jadi malah krisis rumah tangga bagaikan tidak terbendung sehingga terjadi kejadian tragik seperti membunuh atau membunuh diri di kalangan suami isteri. 


Ada beberapa peribahasa Melayu menyentuh mengenai hal rumah tangga ini; antaranya ‘sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri’ dan ‘pukul anak sindir menantu’. Hal ini membuktikan betapa halusnya orang Melayu dalam menyelami permasalahan hubungan kekeluargaan. 


Pada musim pandemik ini, dikhuatiri ‘suhu’ hubungan suami isteri juga panas, ia boleh mencetuskan ‘Perang Teluk’. Ya, kehidupan suami isteri amat perlukan panduan agama bagi melahirkan kerukunan rumah tangga yang dalamnya terdapat unsur-unsur mulia seperti keadilan dan tolak ansur. 


Namun dalam kehidupan suami isteri, kerap benar kita (termasuk penulis) tersasar, terjadilah pelbagai perang rumah tangga seperti Perang Teluk, Perang Dingin, Perang Periuk Belanga dan Perang Mulut. 


Hendaknya semua peperangan ini dapat diselesaikan secara aman; bagaikan menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tak rosak. 


Di sinilah panduan dan amalan agama amat diperlukan; kita gembira jika ‘peperangan’ ini membawa kepada kemaafan suami isteri yang insya-Allah akan membawa hubungan lebih harmonis selepas itu yang akhirnya menambahkan zuriat keluarga. Itulah kemanisan dalam rumah tangga, walaupun berlaku ‘peperangan’ tetapi anggota keluarga bertambah juga!


Namun akhir-akhir ini, kita tidak gembira kerana kerap benar terdengar perang rumah tangga berakhir dengan tragedi menyedihkan sampai pukul memukul atau nauzubillah membunuh atau membunuh diri yang tentunya bagi sesetengah orang Melayu dengan doanya ‘minta dijauhkan, simpang malaikat 44’! 


Berceloteh mengenai perang balik kampung, seorang sahabat pernah bercerita, pernah suatu hari raya dulu dia dan isteri tidak dapat berkompromi menyebabkan dia balik hari raya ke selatan manakala isteri ke utara, meredah lebuh raya di ambang Aidilfitri dengan kereta masing-masing. Aiii, laki ke selatan, bini ke utara! 


Nasib baik ketika itu mereka masih belum ada anak, kalau tak pening juga memikirkan jalan penyelesaian. Tetapi selepas berada di kampung, masing-masing menyesal kerana apa ertinya raya jika tiada pasangan dicintai di sisi. Kepada si isteri, keluarga dan orang kampung asyik bertanya; “mana laki kau” dan kepada si suami pula ditanya, “mana isteri kau?” menyebabkan kedua-duanya tak dapat berlama-lama di kampung. Selepas berlaku perpisahan beberapa hari itu, barulah masing-masing sedar mereka saling perlu memerlukan. Mereka memilih berdamai, hasilnya sekarang ini anak sudah berderet! 


Itulah antara kemanisan dalam rumah tangga, kalau asyik berkepit di rumah, bertentang mata 24 jam, akan berlaku pelbagai hal seperti Perang Teluk, Perang Periuk Belanga dan Perang Dingin tetapi apabila berlaku perpisahan seperti si suami atau isteri terpaksa pergi kursus atau ke luar negara, sepeninggalan pasangan masing-masing akan timbul rasa rindu, terasa tak sabar untuk berjumpa semula. 


Pengalaman orang veteran dalam melayari rumah tangga juga boleh dijadikan panduan. Ini bagi membolehkan sesuatu pasangan suami isteri terutama yang masih baru dapat mengelakkan stres atau konflik rumah tangga. 


Bapa saya pernah memberi panduan dengan berkata lebih kurang begini: “Orang lelaki ini jangan duduk lama-lama di rumah. Apabila berlaku ‘ketegangan’ dengan isteri, cepat-cepat angkat kaki, blah…pergi kedai kopi ke, pergi kebun ke, pergi ke bendang ke, jangan dilayan perbalahan itu kerana makin lama makin buruk akibatnya. Nanti apabila ‘dah cool’ baliklah, insya-Allah masalah dapat diselesaikan apabila suasana lebih tenang. 


Seorang datuk saudara saya pun pernah mengamalkan petua ini, tetapi dengar khabar apabila dia ke kebun, habis pokok pisang satu kebun dicantasnya dan apabila balik dia tidak ada tenaga untuk bergaduh lagi. Sudah penattt...


Ini nampak teruk, tetapi sekurang-kurangnya tindakannya itu lebih baik daripada mencederakan si isteri atau nauzubillah membunuhnya! 

No comments: