Sunday, January 10, 2021

Jamadilawal 26, 1442: Refleksi 2: Demi masa...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Surah Al-Asr 1-3


BAHARU-BAHARU ini pengurusan masjid kampung saya membenarkan sekumpulan Jemaah Tabligh berhimpun. Selepas solat asar berjemaah, bangunlah seorang wakil meminta jemaah tidak segera bersurai kerana 'syeikh' mereka akan menyampaikan sedikit pesanan.


'Syeikh' itu berjubah dan berjambang. Beliau berjalan bertongkat. Wakil itu menarik sebuah kerusi bagi membolehkan 'syeikh' duduk. Selepas duduk, 'syeikh' meminta maaf kerana katanya beliau bukan pandai berucap apatah lagi beliau seorang India yang asalnya bukan Islam. Namun kerana kerja dakwahnya, beliau sudah ke puluhan negara termasuk Amerika Syarikat..


'Syeikh' membaca ayat-ayat Surah Al-Asr dan terjemahannya - Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.


Kemudian 'syeikh' dengan suara lantang berkata..."Semua orang rugi...imam rugi, bilal rugi (mukanya menghala ke imam dan bilal masjid yang kelihatan tunduk), raja-raja rugi, perdana menteri rugi, menteri rugi, orang berniaga rugi, buruh rugi, orang pencen rugi...kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran."


Beliau mendakwa ramai orang beriman dan beramal salih tetapi amat kurang yang melakukan perkara ketiga iaitu berpesan-pesan dengan kebenaran. Ini adalah kerja dakwah...tidak ramai orang yang dapat melakukan kerja dakwah hatta pegawai-pegawai masjid sekalipun.


'Syeikh' berkata berdakwah adalah sambungan kerja-kerja Nabi tetapi sekarang ini kebanyakan orang nafsu-nafsi...pak haji ke masjid 'sorang-sorang' tak ajak anak isteri, imam ke masjid 'sorang-sorang' tak ajak anak buah, kita 'sorang' ke masjid tak ajak jiran tetangga...lantaklah kau oranglah, seolah-olah aku 'sorang' nak masuk syurga...kau orang kau punya pasallah....kubur masing-masing!..


Kalau kita tak berdakwah, bagaimana kita nak aplikasikan sabar itu, tanya 'syeikh'. Macam-macam dugaan kita hadapi apabila berdakwah. Dimaki orang, dihalau, dikhianati, dimusuhi...ya di sinilah kita perlu sabar, sabar dan terus bersabar.


'Pukulan' syeikh tepat mengenai jemaah termasuk diri ini....ya apa yang telah kita buat atau bantu dalam kerja-kerja dakwah. Bukan saja kita dikehendaki mengajak saudara seagama kita terutama anak isteri dan sanak saudara ke arah kebaikan tetapi juga kepada orang yang 'not yet Muslim' agar dapat bersama-sama meng-Esakan Allah SWT. Kita akan ditanya oleh Allah SWT, ya bagaimana kita dapat menjawabnya nanti...


Menyentuh huraian 'syeikh' mengenai Surah Al-Asr, teringat saya akan insan yang terlalu banyak berkorban ketika saya kecil-kecil dahulu (malah sehingga sekarang) iaitu ibu saya sendiri. 


Ibu saya (Hajah Esah Haji Hamid) seorang suri rumah yang membesar serta mendidik lapan orang anak, termasuk diri ini iaitu anak ke-2.. Ibu berkahwin semasa berusia 14 tahun; jadi sepanjang usia muda, beliau bergelumang dengan aneka ragam kehidupan rumah tangga termasuk melakukan kerja-kerja sampingan seperti membuat nasi lemak dan berniaga kain dan pakaian dengan menunggang basikal ke kampung-kampung berhampiran untuk menampung pendapatan kecil bapa yang bekerja sebagai tukang kebun sekolah.


Tentunya beliau begitu sibuk sepanjang masa, jadi jaranglah beliau dapat meluangkan masa untuk menambah pengetahuan agama. Lagi pun ketika itu kelas pengajian jarang diadakan...ustaz apatah ustazah tersangat kurang untuk menjadi rujukan. Ketika itu rancangan agama melalui media massa pun hampir tiada malah di rumah kami TV dan radio pun tak ada.


Pada tahun 1975, saya melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah berasrama penuh di Perak dan pada masa cuti penggal saya gunakan peluang yang ada untuk betul-betul mendekati emak saya.


Suatu hari emak saya bercerita, pada suatu cuti penggal tahun 1976, dia terjumpa buku teks Pengajian Islam Tingkatan Dua yang saya bawa pulang, di lantai rumah, lantas membelek-belek kandungannya.


Antara isi kandungan buku itu adalah pengajian al-Quran yang mana surah-surah pilihan disertakan dengan terjemahannya. Ibu saya bertemu dan 'terpikat' untuk mentelaah Surah Al-Asr.


Begitu gementar ibu saya tatkala membaca terjemahan Surah Al-Asr yang ditulis - Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. 1. Demi masa. 2. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. 3. Kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.


Ibu memberitahu beliau menggeletar kerana takut termasuk orang rugi. Itu adalah kali pertama beliau membaca terjemahan sesebuah surah daripada al-Quran. Sekalipun ibu telah khatam beberapa kali membaca al-Quran, beliau tak tahu maksud sesebuah surah.


Ketika peristiwa itu, ibu masih muda, mungkin belum berusia 30 tahun. Pada zaman itu, jarang ditemui naskhah al-Quran dan terjemahan di masjid apatah lagi di rumah penduduk kampung. Malah saya tak pernah jumlah terjemahan al-Quran di masjid kampung saya.


Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian...ayat ini mengentarkan hati ibu saya. Ibu bimbang segala perkara yang beliau lakukan tidak membawa sebarang erti atau menguntungkan dirinya di akhirat nanti...semuanya hanya membazirkan masa, tenaga dan sumber termasuk dari segi kewangan.


Mengapa ibu sangat bimbang? Ini kerana selama ini beliau bekerja keras siang malam untuk membesarkan anak tanpa ada niat ikhlas kerana Allah SWT. Ya orang lain (suri rumah lain) buat begitu, dia pun terikut-ikut untuk buat begitu.


Ibu tak tahu segala yang beliau lakukan (dalam proses membesarkan anak-anak) adalah ibadah...ya segala kebiasaan harian seperti memasak, membasuh, mengemas rumah, memberi anak makan, semuanya adalah ibadah jika dia berniat begitu.


Seperti kebanyakan 'wanita masih hijau' ketika itu, ibu beranggapan ibadat hanya bersangkutan dengan perkara dalam Rukun Islam iaitu mengucap, solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan haji.


Menyedari apa yang mungkin dianggap 'kesilapannya' ibu beransur-ansur mengubah kehidupan keluarga seperti semua ahli perempuan keluarga mula bertudung (menutup aurat sepenuhnya), anak-anak dihantar ke tadika Islam manakala di dalam rumah selain amalan wajib, amalan-amalan sunat juga diterapkan seperti membaca doa sebelum makan, masuk tandas dan sebagainya.


Ya, pemahaman Surah Al-Asr telah menukar pandangan ibu saya...beliau telah mendapat hidayah. Bukan sahaja beliau mendapat manfaat yang banyak tetapi seluruh ahli keluarga. Kepada Allah SWT Yang Maha Agung, kita berdoa semua orang Islam terutama ibu-ibu seluruh dunia ditunjukkan jalan lurus agar semua anggota keluarganya berbahagia di dunia dan akhirat, insya-Allah.


No comments: