Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
BAHARU-BAHARU ini saya menerima hadiah buku karya Mohd Affandi Ramli bertajuk 'Surat Untuk Anak' (Catatan biografi seorang bapa kepada dua anak yang mengalami Cerebral Palsy) daripada Prof Dr Safiah Osman. Prof itu meminta saya membacanya dan membuat komen...
Komen saya...buku berharga RM30 (Semenanjung) terbitan Anak Kunci Production itu bagus, saya memberikannya empat bintang. Pembaca silalah dapatkannya. Layari http://www.facebook.com/hope2walk atau http://hope2walk.blogspot.com
Siapa Mohd Affandi Ramli? Ya, mencari latar belakang penulis adalah antara perkara pertama saya lakukan sebelum membaca sesebuah buku. Bagi saya, jika sudah tahu penulisnya, ia akan memancing minat untuk membaca...tidaklah nanti saya menghabiskan masa berharga untuk membaca karya merapu oleh seorang penulis merapu...
Apabila membelek-belek buku itu dengan cepat saya tahu Mohd Affandi Ramli itu adalah pelukis komik 'Datuk Kundur' dalam Suara Keadilan dengan nama pena Ronasina. Karyanya termasuk buku kartun 'Negaraku' tajam dengan sindiran...bermakna berkemungkinan besar bukunya 'Surat Untuk Anak' sarat dengan pengakuan jujur, sindiran, komentar dan paling penting, idea besar, demikian fikir saya. **************************
Fikiran saya tidak tersasar; itulah yang dipaparkan oleh Mohd Affandi - pengajuan jujurnya mengenai pelbagai himpitan dan kesukaran kehidupan terutama dari segi ekonomi untuk membesar dan mendidik dua anak Orang Kelainan Upaya (OKU) - Annisa dan An-Nur - yang akhirnya membawa kepada idea besar penubuhan Hope2Walk seterusnya Pertubuhan Harapan Anak-Anak Cerebral Palsy Malaysia. **********************
Membaca 'Surat Untuk Anak' menyedarkan saya satu hal penting - pasangan suami isteri Affandi-Raja Rohaisham (Sham) 'hampir menepati' ungkapan pasangan mabuk cinta - "demi cintaku padamu, lautan api pun sanggup kurenangi" tetapi hakikatnya jarang benar dipraktikkan dalam rumah tangga.
Dari awal hingga akhir penceritaan, kedua-dua Affandi-Sham berkorban bersama,seiya sekata dalam mencari yang terbaik untuk anak-anak mereka; ya kata orang jika pasangan suami isteri 'sekepala' - separuh daripada masalah sudah dapat diselesaikan.
Mereka sungguh bertuah, kerana saya tahu ada suami yang lari meninggalkan keluarga yang ada anak OKU; demikian juga perlakuan sesetengah isteri menyebabkan pasangannya terkontang-kanting dalam kehidupan. Malah ada lebih ekstrem, kedua-duanya meninggalkan anak-anak begitu saja!
Anak-anak adalah ladang pahala. Tetapi berapa ramai ibu bapa benar-benar merebut peluang itu? Setiap anak malah setiap manusia adalah unik; masing-masing ada sifat fizikal dan kerohanian berbeza - ini termasuklah watak, pembawaan, kelemahan, kelebihan, minat dan banyak lagi. Jika anak yang biasa pun penat untuk mendidik mereka, apatah lagi anak kelainan upaya. Hakikatnya semua anak-anak berbeza upaya mereka; semuanya unik; hal ini perlu diperhatikan ibu bapa dan pendidik.
Lelaki dan perempuan selain fizikal, pemikiran mereka pun tidak pernah sama. Falsafah Greek ada menyatakan lelaki dari Marikh, perempuan dari Zuhrah. Berdasarkan ini suami isteri pun sebenarnya 'tidak sekepala'. Dalam banyak hal, mereka bertentangan antara satu sama lain. Dalam soal makan 'yang remeh' itu pun mereka berbeza - misalnya si suami suka nasi ayam tetapi isteri tidak sukakannya tetapi gemar asam pedas. Demikian juga dalam soal mendidik anak - suami suka cara agak keras isteri dengan kaedah lembut, memujuk. Selalu terjadi pergaduhan kerana perbezaan ini.
Namun ada satu hal yang 'membolehkan' suami isteri sekepala? Sekepala apakah itu? Ya, bersekepala dalam menjalani kehidupan berdasarkan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika kedua-duanya bersekepala dalam mentaati syariat Allah, semua masalah mereka dapat dibereskan; bukankah Allah SWT dan Rasul-Nya telah memberi pengakuan mengenai kehebatan peribadi mukmin - semua perkara yang menimpa mereka adalah peluang untuk mereka meraih keredaan-Nya; jika ditimpa kepayahan dia bersabar dan jika mendapat nikmat dia bersyukur!
Anak-anak adalah ladang pahala; tahniah kepada pasangan Affandi-Sham; anda berdua kini insya-Allah sudah ada anak (Annisa) di syurga; kini 'bersekepalalah' menumpukan sepenuh perhatian (kepada ibadat dan sebagainya) untuk melayakkan anda berdua ke sana jua, menemui kekasih hati anda itu!
No comments:
Post a Comment