Monday, January 25, 2021

Jamadilakhir 12, 1442: Refleksi 4: "My foot, you want to get 5A’s?”

 

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


SEHINGGA kini saya masih menyimpan buku cerita 'Trixie Belden in Arizona' hadiah pihak sekolah rendah saya kerana mendapat 5A dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima 1973.


Pada muka dalam kulit buku ada kertas pelekat tertulis - ...dihadiahkan kepada.........daripada darjah 5A kerana mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5, 1973 dengan ditandatangani guru besar.


Semasa anak-anak saya sedang membesar (lima orang semuanya), saya sengaja menayangkan pelekat dan buku itu di rak buku rumah bagi 'mencabar' anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh bagi mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan setara sekarang iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


Alhamdulillah, tiga anak mendapat 5A manakala dua lagi 4A 1B. Bersyukurlah kepada Allah SWT di atas nikmat-Nya dan perlu diakui bahawa kejayaan seseorang itu seperti murid adalah kombinasi usaha dan kerja keras serta doa ibu bapa, guru, keluarga lanjutan (seperti datuk nenek, saudara mara dan adik beradik) dan tak terlupakan persekitaran dan pemerintah.


Kata bijak pandai, ibu bapa membawa kepada kelahiran kamu tetapi guru mempersiapkan kehidupan kamu. Jadi sewajarnya guru disanjung dan dihormati sepanjang zaman.


Imam Abu Hanifa pernah berkata: "Aku takkan meluruskan kaki menghala ke rumah guruku, Hamamd sekalipun ada tujuh lorong memisahkan rumah kami. Saya lakukan ini sebagai hormatku kepada tuan guru."


Kepada semua guru diucapkan ribuan terima kasih, jasamu sentiasa dikenang, semoga Allah membalasnya. Kepada semua guru rasmiku daripada darjah satu 1969 kepada tingkatan enam atas 1981 dan pensyarah di universiti, terima kasih semua...bagi yang telah meninggal dunia, didoakan mendapat keredaan dan pengampunan-Nya.


Kebanyakan kita, selepas dewasa baharu menyedari tempoh paling menyeronokkan dalam kehidupan adalah ketika zaman persekolahan, malangnya semua itu sudah berlalu - kita hanya menyimpan memori peristiwa menggembira atau menyedihkan.


'Guru rasmi' (sekolah) datang dan pergi daripada kehidupan kita tetapi pengajaran, bimbingan dan mungkin sekali-sekala cubitan dan rotan yang hinggap di punggung, kita akan diingat sampai bila-bila.


Demikian juga kata-kata yang mungkin dapat menjentik semangat untuk berjaya dan mungkin tanpa disedari guru (ya guru juga manusia biasa yang tak lekang daripada kesilapan) ada kata-kata pedas dan pedih tak terkawal yang maaf kata, mengheret anak murid ke kancah kehancuran. Jadi awas dalam tutur kata kita, hatta kepada anak murid.


Ya, dalam catatan awal, saya menceritakan saya mendapat 5A...itu kisah 'gembira' pada akhir tahun tetapi tahun itu sebenarnya dipenuhi dengan linangan air mata dalaman dan rasa kepahitan hidup bagi seorang budak berusia 11 tahun.


Suatu hari ketika kelas tambahan darjah 5A, guru kelas saya mengherdik saya dengan kata-kata yang sungguh melukakan - "my foot, you want to get 5A’s?” (muka kau nak dapat 5A?). 


Pada zaman itu murid darjah lima yang menduduki peperiksaan penilaian mengambil lima mata pelajaran iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Tawarikh / Ilmu Alam. Setiap murid berusaha mendapat 5A dalam ujian awam pertama itu; saya juga bercita-cita begitu.


Saya bukan jenis 'budak main-main' dalam kelas tetapi masalah besar saya tak mampu membeli buku panduan/bimbingan dan latihan yang dikeluarkan khas bagi murid-murid yang akan menduduki peperiksaan itu.


Bapa saya seorang tukang kebun sekolah, saya tahu gajinya tak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga besar kami apatah lagi semua anak lelaki dihantar ke sekolah Inggeris di bandar yang sudah tentu memerlukan belanja besar.


Saya bersyukur dihantar ke sekolah berkenaan tetapi ketika zaman persekolahan saya terpaksa menelan kepahitan hidup seperti tidak mempunyai buku teks mencukupi, gagal membayar yuran sekolah dan pada darjah lima itu tidak mampu membeli satu pun buku panduan yang disyorkan.


Bagi mengatasi masalah ini, saya meminjam buku-buku panduan itu daripada seorang rakan yang tinggal setengah kilometer daripada rumah saya dan menyalin setiap perkataan dalam buku itu ke buku latihan kosong saya.


Sebagai contoh, jika kelas tambahan yang diadakan pada hari Sabtu akan diajar Matematik dan Sains, saya akan salin beberapa topik dalam buku latihan saya lebih awal dan membawanya ke kelas.


Pada satu sesi kelas Sabtu, ramalan saya mengenai topik yang akan diajar tersasar, apa yang saya salin tidak sama dengan yang diajar oleh guru itu. Apabila guru meminta kami membuat latihan daripada buku panduan itu, saya hilang punca.


Saya cuba 'menghimpit' rakan sebelah untuk melihat bukunya, tetapi guru kelas yang melihat kejadian itu, terus menerpa ke arah saya dan melontarkan kata-kata yang sungguh melukakan itu -  “my foot, you want to get 5A’s?’


Sebagai budak berusia 11 tahun, saya tak tahu maksud sebenar kata-kata guru itu...namun saya tunduk sedih...dan apa yang saya lihat lagi menyedihkan...kasut yang saya pakai sudah lusuh benar malah bahagian hujungnya sudah koyak, menampakkan sebahagian jari kaki saya.


Saya rasa sungguh kecil sekali, sekolah Inggeris yang hebat itu kelihatan tidak layak bagi saya. Terfikir di benak saya, sekolah ini hanya untuk budak-budak daripada anak-anak orang kaya dan ternama; saya tahu bapa rakan sekelas saya adalah tokoh bank, doktor dan peguam.


Saya perasan (atau ini cuma anggapan saya) sesetengah guru hanya memberi tumpuan kepada anak orang-orang kaya. Saya lihat mereka ketawa, sentiasa bercakap dalam bahasa Inggeris yang menyebabkan diri ini iri hati.


Saya mahu berada bersama mereka tetapi tunggu dahulu...bahasa Inggerisku tak sebaik mereka, penampilan saya uhhh...dengan pakaian sekolah tak terurus, rambut tak bersikat dan kasut koyak itu...saya pasti imej saya tidak menyenangkan mana-mana guru.


Jadi bagi saya apa jalan penyelesaiannya...saya jauhkan diri daripada guru-guru tetapi meningkatkan tumpuan di kelas. Saya tak tahu cara saya ini betul atau salah, maklumlah saya terlalu 'hijau' dalam menempuh hidup.


Kata-kata keras - “my foot, you want to get 5A’s?" – melukai saya tetapi ia sebenar menjadi pencabar, pemangkin yang menyemarakkan kesungguhan dan memberi motivasi ke arah kejayaan. Saya tingkatkan usaha, bekerja dan berdoa kuat, berharap mendapat 5A dalam peperiksaan itu dan akhirnya ia dimakbulkan. Alhamdulillah.


No comments: