Wednesday, January 20, 2021

Jamadilakhir 7, 1442: Refleksi 3: Ilmu alam...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


SUDAH banyak kali saya berpesan kepada anak-anak selepas menyenduk nasi daripada periuk nasi, bekas nasi di senduk perlu dilurut-lurut supaya sebutir nasi pun tak tertinggal dan terbiar...ya jangan membazir sekalipun dengan sebutir nasi. Jangan biar senduk itu 'berbulu'.


Namun nasihat saya kurang diendahkan...anak-anak tetap dengan perangai lama, hanya kadang-kadang 'ok'...demikian susah mendidik anak-anak pada zaman hampir setiap orang asyik berkepit dengan telefon pintar ini.


Mungkin anak-anak tidak melalui pengalaman saya berkaitan sawah dan padi...jadi mereka tak peka. Ya, maafkan mereka. Mungkin cara pendidikan saya kurang tepat kerana bukankah Sayidina Umar Al-Khattab (atau Sayidina Ali k.w.j) berkata didiklah anak-anak mengikut cara zaman mereka, bukan zaman kita?


Hampir 50 tahun lalu (ketika itu usia saya 9-12 tahun) saya membantu emak dan ayah bersawah padi. Bapak saya sentiasa di tempat kerjanya manakala emak sibuk di rumah, maka kerap benar tugas di sawah, sayalah 'in charge' (dipertanggungjawabkan).


Suatu petang hujan lebat, namun saya tetap ke bendang. Aiii, ketika itu hidup kita macam 'Tarzan' jadi apa nak dihairankan. Tak pernah terfikir pun dalam otak saya jika berada di kawasan lapang seperti sawah padi tersangat bahaya kerana mudah disambar petir, aiii boleh mati ooi!


Sampai di petak-petak sawah kami, saya lihat sebahagian batas (ban) sudah pecah. Air mengalir deras dari petak atas melalui batas yang sudah runtuh itu, merempuh serta menenggelamkan rimbunan anak padi di petak sebelah yang mulai menghijau.


Saya menjadi panik. Apa nak buat ni...kalau dibiarkan mahu habis separuh anak-anak padi di petak bawah itu tercabut dan musnah. Saya cuba membaiki batas itu. Saya cangkul dan himpun tanah dan kemudian memupuknya di batas yang pecah itu. Saya bekerja 'macam nak gila'....tetapi hasilnya sia-sia sahaja.


Tanah yang saya pupuk mudah dihanyut arus deras...dan selepas menyedari hari hampir senja (orang akan bang/azan tak lama lagi) saya terduduk di atas batas dalam hujan memerhatikan saja anak-anak padi dirempuh arus deras. Sayu saya menyaksikan separuh petak sawah sudah tenggelam dengan banyak anak padi tercabut dibawa arus.


Peristiwa hampir 50 tahun ini masih terpahat di depan mata ini...ya 'kecik-kecik' lagi saya sudah sedar dan insaf bahawa bukan mudah untuk 'menaikkan' hatta sebutir nasi di di atas meja makan. Hakikatnya, banyak orang berkorban bagi membolehkan kita menikmati sarapan, makan tengah hari dan malam.


Petani bertungkus-lumus di sawahnya - ada kala hasil menjadi, ada kala tidak. Seperti saya yang berlinangan air mata 50 tahun lalu menyaksikan anak-anak padi saya musnah, mereka pastilah melalui pengalaman lebih hebat dan dahsyat lagi...


Ya wahai anak-anak, nasi yang berada di pinggan anak-anak itu adalah hasil perit jerih petani. Hargailah nasi itu walaupun sebutir cuma. Ia nampak kecil tetapi satu butir nasi itu dihimpunkan ia menjadi sepinggan nasi. Namun, yang paling penting anak-anak perlu ingat bahawa sebutir nasi itu adalah kurniaan daripada Yang Maha Hebat iaitu Allah SWT. Pandanglah Sang Pencipta, insya-Allah anak-anak akan hargai walau sebutir nasi atau padi.


Peristiwa berkaitan alam (ilmu alam) banyak mengajar saya dalam menempuh kehidupan. Ketika kecil, alam saya banyak berkaitan sawah padi. Rumah kami dikelilingi sawah padi...saya suka pemandangan dan bau lumpur tatkala petani membajak sawah. Bau hujan turun dari cerun atap juga 'mengasyikkan'.


Burung-burung seperti wak-wak (ruak-ruak) dan pucung kelihatan berlarian atau berterbangan menyelamatkan diri ketika bendang dibajak. Apabila ke sawah, mudah bagi saya menangkap ikan seperti betuk (puyu), sepat, haruan dan keli yang sudah mabuk atau mati.


Apabila bendang sudah dibersihkan termasuk daripada menerung dan bertukar menjadi hamparan permaidani hijau...tibalah saat yang saya nanti-nantikan...menangkap ikan dengan 'skil' (kemahiran) yang dipelajari secara sendiri (semula jadi). Yalah, dahulu mana ada 'Youtube' yang dapat dijadikan rujukan untuk membuat perangkap ikan dan sebagainya..


Ikan sawah boleh ditangkap dengan pelbagai cara tetapi di sini saya merujuk kepada tajur kerana ada peristiwa berkaitan yang pengajarannya sehingga kini menjadi pegangan saya dalam kehidupan.


Tajur adalah teknik menggunakan batang buluh yang dipasang dengan mata kail besar dan berumpankan binatang hidup seperti 'kodok' (katak kecil) dan ikan kecil seperti sepat. Binatang ini sengaja dibiarkan hidup kerana tindakannya meronta-ronta itu akan menyebabkan ia segera disambar haruan. Memang haruan sangat rakus menyambar mangsanya.


Tajur (buluh) dipacak di tanah (batas) dan anak katak atau ikan yang ditusuk mata kail itu dibiarkan meronta-ronta dalam sawah. Sungguh kejam saya, sekarang saya sudah insaf - tak nak buat lagi. Tajur dibiarkan begitu...sejam atau dua jam kemudian kita datang balik untuk melihat hasilnya.


Namun semasa ketiadaan kita, pemburu ikan lain mungkin 'kebas' (curi) hasil kita. Untuk mengelakkan hal ini, selalunya saya benamkan tajur (buluh) saya dalam air dan meletakkan penanda di batas yang hanya saya kenal.


Suatu petang saya menjerit gembira kerana tajur saya mengena (ini pada ketika usia saya sembilan tahun, baharu belajar memancing). Saya mengangkatnya. Alangkah hebatnya, ada seekor haruan besar di hujung joran.


Saya berjaya mendaratkan ikan itu di atas batas...tetapi macam mana saya tersilap bertindak dengan membawa lari ikan itu pulang ke rumah dengan cara memegang joran dan membiarkan ikan besar itu terkontang-kanting di udara (hujung joran).


Ketika berlari-larian itu, ikan itu membuka mulutnya dan ooshh berdebur jatuh dalam sawah. Tergamam saya dibuatnya. Berputih matalah saya...ikan besar yang saya bayangkan akan dibuat masak lemak daun kesom dan kantan sudah terlepas...Terbeliak biji mata saya dibuatnya.


Alhamdulillah, peristiwa alam ini mengajar saya satu hal - berpegang kuatlah kepada apa-apa yang sudah anda miliki dan sesuatu usaha itu buatlah bersungguh-sungguh, jangan banyak berangan-angan. Kalau sudah dapat ikan tu (atau apa-apa pun), pegang dia betul-betul, jangan biar terlepas. Kalau dah dapat kerja, kerja betul-betul biar sampai berjaya...


Kepada anak-anak semua, bersungguh-sungguhlah dalam semua perkara. Kata orang tua-tua, genggam bara biar sampai jadi arang, jangan jadi macam Mat Jenin, asyik beranggan-anggan sehingga jatuh dari puncak pokok kelapa. Istiqamahlah kita dalam melakukan perkara diredai Allah SWT sehingga kita dijemput-Nya. Amin.

No comments: