Sunday, January 3, 2021

Jamadilawal 19, 1442: Refleksi 1: Seorang ustaz untuk 1,000 murid...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sebelum terjadi hari kiamat, terlebih dahulu terhapus ilmu (agama) dan berjangkit kejahilan dan banyak terjadi pembunuhan." (Sahih Muslim




KETIKA pembaca mengikuti celoteh ini, kita sudah berada pada tahun baharu 2021. Diucapkan selamat menyambut tahun baharu...semoga kita semua dibarakahi Allah SWT hendaknya. 


Pada tahun 2021 ini, umur saya meningkat 59 tahun...kurang setahun memasuki usia emas. Pada usia pra-warga emas ini, teringat saya pesan seorang ustaz...katanya, seorang Nabi Allah diberitahu oleh malaikat bahawa Allah SWT mengutus utusan kepada seseorang bahawa dia akan kembali kepada-Nya tidak lama lagi. Apakah utusan itu?


Antaranya, rambut dan bulu-bulu di tubuhnya mulai memutih atau gugur, tubuh sakit-sakit dan gigi pun sudah berterabur...saya mengamat-amati diri ini...subhanallah ada tanda-tanda itu, ya utusan kematian sudah sampai...


Sehubungan itu, pada kesempatan di ruangan Celoteh ini, izinkan saya merefleksi kehidupan saya dalam pelbagai cabang kehidupan seperti pendidikan dan rumah tangga yang moga-moga dapat dijadikan sempadan dan teladan sesama insan.


Persoalan kontemporari seperti isu pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik sama ada dalam bahasa Inggeris atau Melayu ada kena mengena dengan diri saya. Saya memasuki darjah satu pada 1969, ketika itu kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris. Namun setahun kemudian (1970), murid-murid yang mula bersekolah mengikuti kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu.


Jika saya dan rakan-rakan yang mengikuti subjek itu dalam bahasa Inggeris ramai yang sukses ke pusat pengajian tinggi terutama ke luar negara selepas MCE (SPM), tidak berkurang pula pelajar tahun-tahun terkemudian yang mengikutinya dalam bahasa Melayu. Jadi persoalannnya, mengapa pula mahu dipaksakan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kemudiannya sehingga mendatangkan tentangan hebat daripada masyarakat?


Dasar ini pula tidak konsisten. Sekejap mahu dalam bahasa Melayu, sekejap Inggeris. Kemudian bahasa Melayu balik, selepas itu bahasa Inggeris...mengikut semahunya kerakusan pemimpin politik. 


Membentuk satu tamadun bangsa melalui pendidikan adalah sangat penting...bukan boleh dicuba-cuba...murid-murid seolah-olah menjadi 'guinea pig' (tikus percubaan).


Usaha memajukan rakyat tidak semudah itu. Misalnya, bagi seorang bapa, tidak mudah menjadikan seorang anak, insan berguna semata-mata dengan 'bermain dan bermandikan duit' seperti dilakukan sesetengah pemimpin.


Untuk menjadikan seorang anak itu 'manusia', ia memerlukan tempoh bertahun-tahun malah berpuluh-puluh tahun. Ayah dan ibunya perlu mendidiknya dari dalam perut, kemudian dalam buaian, menyekolahkan seterusnya memasukkannya ke universiti, kemudian mengahwinkannya. Itu pun belum tamat lagi, apabila si anak bersalin, ibunya juga yang dicari!


Apa yang berlaku hari ini adalah hasil daripada apa yang kita lakukan pada masa lalu. Misalnya sebagai orang yang memilih wakil rakyat dan menteri pada 1960-an dan 1970-an (saya membesar pada era ini) , kesan daripada tindakan tuan puanlah yang mencorakkan masyarakat hari ini.


Saya adalah buah hasil dasar pendidikan negara yang YB-YB bahas dan membuat keputusan di Parlimen pada 1960-an dulu. Sebagai Menteri Pelajaran pada era itu, YB-lah yang mencorak sistem pendidikan pada masa itu. Hasil tangan YB-lah lahir golongan cendekiawan dan teknokrat dalam usia 40-an dan 50-an sekarang. Syabas dan tahniah kepada YB sekalian.


Saya berminat untuk memperkatakan mengenai golongan  ini kerana saya adalah salah seorang daripada mereka. Tetapi yang lebih penting golongan ini adalah anak bangsa pertama yang YB-YB sekalian bentuk selepas negara kita mencapai kemerdekaan.


Seperti ramai budak sekolah pada 1960-an dulu, saya dihantar ke sekolah Inggeris dan menerima pendidikan sekular. Kebanyakan mata pelajaran diajar menggunakan bahasa Inggeris.


Apa yang mendukacitakan, YB-YB pada era ini seolah-olah melupai komponen agama dalam sistem pendidikan kita. Pengajian agama Islam kelihatan begitu asing kepada kami. Guru-guru hanya menekankan supaya pelajar berjaya dalam mata pelajaran akademik dan meletakkan subjek Agama Islam setaraf Lukisan yang tidak diambil kira dalam keputusan keseluruhan peperiksaan.


Maka adalah pelajar yang mendapat markah merah untuk Agama Islam tetapi berjaya mendapat kedudukan teratas dalam kelas. Bayangkan di sekolah (rendah) saya yang mempunyai lebih 1,000 murid, hanya seorang ustaz ditugaskan untuk mengajar kami.


Itu pun sekolah kami dikira bernasib baik sebab ada juga ustaz tetapi sekolah jiran kami tidak ada guru agama langsung. Maka terpaksalah murid-murid Islam sekolah sebelah, beratur beramai-ramai ke sekolah kami untuk belajar Agama Islam! Kami juga tidak pernah kenal sekolah agama rakyat seperti yang ada sekarang.


Saya dikira bernasib baik kerana dapat melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah berasrama penuh pada tahun 1970-an. Sama seperti di sekolah rendah, kami dihadapkan dengan segala macam pengajian sekular yang akhirnya melahirkan cendekiawan sekular juga. Kami diajar memuja segala-galanya dari Barat.


Itu kisah lalu, dan hari ini golongan pertama (termasuk saya) yang melalui sistem pendidikan negara sepenuhnya selepas merdeka, sudah menjadi ahli teknokrat. Ada yang menjadi jurutera, pensyarah, doktor, peguam dan arkitek.


Malangnya, sebahagiannya berjaya dalam kerjaya tetapi tidak berjaya dalam penghidupan. Golongan inilah yang dicap oleh YB-YB hari ini sebagai buta agama, buta al-Quran dan segala macam kejahilan lagi.


Malah ada menteri mengakui golongan inilah yang paling ramai buta al-Quran. Seorang anak muda (peguam) pernah membuat pengakuan di TV, dia tertarik dan seterusnya menyertai Al-Arqam kerana dahagakan ilmu Islam sedangkan institusi pengajian kita pada 60-an dan 70-an tidak memperdulikan perkara ini.


Kami ada 'buah tangan' pejuangan YB-YB pada 1960-an dan 70-an dulu. Jadi kepada menteri dan YB-YB pada tahun 60-an dan 70-an dulu (jika masih hidup), janganlah senyum-senyum menerima pencen sekarang ini jika anda berbuat salah dalam mencorakkan sistem pendidikan anda dulu. Selain mengabaikan agama, YB-YB juga yang mematikan tulisan jawi.


Kepada YB-YB sekarang (terutama menteri), anda perlu memikirkan apakah buah hasil perjuangan anda sekarang pada 10 atau 20 tahun dari sekarang. Bagaimanakah 'bentuk manusia' (modal insan) pada tahun 2030 atau 2040 yang kita lahirkan melalui sistem dan corak pendidikan sekarang?


Tugas YB-YB apatah lagi menteri dan perdana menteri amat berat dan akan disoal di akhirat kelak. Tetapi yang menghairankan ramai manusia berebut-rebut kedudukan ini. Mungkin ini maksud satu kisah Israk Mikraj bahawa manusia itu suka menambah beban sekali pun di belakangnya sudah sarat dengan muatan?)


No comments: