Tuesday, January 26, 2021

Jamadilakhir 13, 1442: Sudah besar dalam 'pelukan' siapa? (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (Surah Al-Isra, ayat 44) 


ALHAMDULILLAH selepas pencen saya dapat 'mencuri' banyak masa mendekati  dan cuba memahami alam...baru-baru ini terpaku saya selama lima minit memerhati gelagat seekor ibu ayam yang 'memayungi' jira-kira 10 ekor anaknya yang agak saya baru menetas.


Kira-kira dua meter dari situ, saya perhatikan seekor kucing hitam yang sederhana besarnya mengendap ibu dan anak-anak ayam itu. Mata si hitam tajam dan posisi tubuhnya dalam keadaan bersedia menerkam si anak ayam.


Alangkah takjubnya ketika kucing itu baru saja menggerakkan badannya, si ibu ayam sudah terlebih dulu terbang menyerangnya. Garang sungguh ayam betina itu, seluruh anggota kepaknya mengembang manakala paruhnya bergerak 'macam roket' ke mata kucing manakala kakinya sedia mencengkam tubuh musuh.


Pergerakan tangkas si ibu ayam menyebabkan si hitam mengelak; melompat menyelamatkan diri. Namun ia tetap tidak berputus asa, masih mengawasi si ibu ayam dan anak-anaknya. Si hitam bersedia menyerang lagi...agaknya mulutnya terkecur menikmati daging lembut si anak ayam! Ya, amat-amatilah si ibu ayam tidak akan sesekali LARI daripada 'tugas dan amanah' menjaga dan membesarkan anak-anak.


Amat hebat si ibu ayam - 10 ekor anak boleh dipayunginya...semuanya bergerak dalam keadaan selamat di bawah kepak sang ibu. Demikianlah Allah SWT meletakkan kasih si ibu ayam kepada anak-anaknya - ia rela mati demi anak-anak tercinta...persoalannya adakah anak-anak ayam mengenang jasa sang ibu apabila mereka besar nanti terutama yang menjadi 'bapak ayam'!


Jika si ibu ayam begitu hebat sekali sayangnya kepada anak-anak, ibu manusia tentu lagi. Seorang anak terutama yang kecil berasa selamat dalam dukungan, pelukan atau dakapan ibunya. Bayi menangis nakkan ibunya, budak-budak pun nak masuk dalam pelukan sang ibu malah seseorang dah besar panjang pun nakkan ibunya. Pendeknya, anak rasa selamat dalam pelukan ibu. Tiada kekhuatiran bagi  si anak jika dalam pelukan ibu.


Ada ulama mengumpamakan sang ibu sebagai keramat hidup...ya syurga seorang anak terletak di kakinya; kedudukan ibu bagi seorang anak adalah tiga kali ganda daripada seorang bapa manakala doanya untuk anak-anak amat mustajab; insya-Allah tidak akan ditolak oleh Allah SWT.


Kata-kata hikmah Melayu ada menyebut 'masa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang' - benar semakin tua diri semakin hebat pancaroba kita hadapi, jadi bagaimana seseorang itu boleh berasa selamat sama seperti ketika kita kecil dalam pelukan ibu dulu?


Baru-baru ini saya ada mendengar ceramah motivasi yang hebat oleh seorang ustaz. Katanya, sentiasalah berasakan kita berada dalam 'pelukan' (perlindungan) Sang Pencipta kita (Allah SWT). Jika kita berasa aman dalam pelukan sang ibu apa lagi nak diungkapkan jika kita berada dalam 'pelukan' Allah SWT, Pencipta kita Yang Maha Agung, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pelindung dan sebagainya. 


Katanya, rasa sayang dan bertanggungjawab ibu kepada anak-anak yang Allah campakkan di kalangan makhluknya seperti ayam seperti dinukilkan di atas atau manusia (ibu) yang mempunyai rahim bagi mengandungkan anak, hanyalah sekelumit daripada Pemurah dan Penyayangnya Allah SWT...ada ulama menyatakan ia hanya 1 (satu) peratus; 99 peratus disimpan oleh Yang Maha Kuasa.


Persoalannya sekarang bagaimana kita hendak berasa sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT atau benar-benar berada dalam naungan-Nya. Itulah kata sang ustaz, rajin-rajinlah tuntut ilmu. Ilmulah yang menyuluh jalan ke arah itu.


Apabila sudah berada dalam 'pelukan' Allah SWT apa lagi hendak dibimbangkan dengan dunia ini. Jika bayi atau budak kecil boleh damai dalam pelukan ibunya, apa yang lebih besar atau hebat daripada anugerah perlindungan daripada Yang Maha Berkuasa, Pencipta kita?


Ingatlah akan 7 (tujuh) golongan manusia yang akan mendapat naungan (perlindungan) Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Usahakan untuk menjadi pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh di atas kebiasaan ibadah kepada Rabbnya, lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah sehingga mereka tidak bertemu dan tidak juga berpisah kecuali kerana Allah, lelaki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik lalu dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah’, orang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya dan orang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendiri hingga kedua-dua matanya basah menangis takutkan Allah. (HR. Al-Bukhari nombor 620 dan Muslim nombor 1712)

No comments: