DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
MENJELANG akhir tahun ini, saya berkesempatan hadir di dua majlis perbincangan prestasi pencapaian anak-anak; seorang di sekolah menengah dan seorang lagi di pra-universiti. Ya, pihak institusi berkenaan memanggil ibu bapa bagi membincangkan pencapaian pelajaran anak masing-masing.
Nampaknya semua pihak mahukan anak-anak mencapai keputusan peperiksaan terbaik...apa yang dilihat cemerlang adalah anak-anak yang mendapat deretan 'A' - lagi banyak lagi bagus dan kalau boleh semua mata pelajaran adalah 'A'. Tak cukup dengan 'A', mereka mahu 'A+'. Berdasarkan perkembangan semasa di sekolah sekarang ini apakah cemerlang dalam bidang pendidikan diukur berdasarkan jumlah 'A' yang didapati oleh pelajar?
Jika hal ini menjadi penekanan kepada pelajar kita, ini bermakna sistem pendidikan kita hari ini melahirkan murid, guru dan ibu bapa yang amat tertekan. Murid tertekan kerana mahu mendapat sebanyak mungkin 'A', guru tertekan kerana mahu 'melahirkan' seberapa banyak murid mendapat 'A' dalam subjek diajarnya manakala ibu bapa tertekan kerana 'ditekan' pihak sekolah bagi membimbing (termasuk menasihati) anak masing-masing.
Demikianlah, apakah ini matlamat pendidikan kita? Beberapa hari lalu saya berpeluang melihat satu senario perbandingan pendidikan di dunia Barat seperti Amerika Syarikat dan Finland di internet yang menunjukkan pelajar-pelajar yang berpeluang belajar 'secara santai' berupaya mencapai prestasi cemerlang dalam pelajaran.
Murid negara berkenaan yang belajar secara formal di sekolah dalam jumlah jam yang sedikit mencatat kejayaan bertaraf dunia sedangkan jika diamat-amati murid-murid dan guru-guru kita dibebankan dengan 'tugas sekolah' dari awal pagi sehingga lewat tengah hari, kemudian bersambung lagi dari petang sehingga senja (misalnya sekolah agama rakyat) dan kemudian pada sebelah malam, ada ibu bapa menghantar anak-anak mengikuti tuisyen; persoalannya betulkah kaedah ini untuk melahirkan anak-anak cemerlang bukan saja bagi masa depan mereka di dunia tetapi juga di akhirat nanti.
Dalam kita mempersiapkan anak-anak mendapat deretan 'A' sebagai bukti kecemerlangan dalam pendidikan, saya perhatikan kita mengabaikan perkara-perkara yang amat penting.
Di sini sukalah saya memberikan satu contoh. Masjid di kampung saya terletak bersebelahan sekolah agama rakyat (sesi petang). Suatu petang, ketika saya sampai di masjid untuk solat asar, azan berkumandang di udara. Dari masjid jelas kedengaran suara lantang seorang guru perempuan yang pada anggapan saya sedang 'membedah siasat' soalan peperiksaan yang dibentangkan kepada sejumlah murid. Mungkin ada seminar peringkat sekolah atau daerah bagi membimbing murid-murid menjawab soalan peperiksaan.
Apa yang saya perhatikan, ketika azan, guru perempuan itu tetap 'menjalankan tugasnya'. Suaranya lantang bergema, seolah-olah mahu 'melawan' suara azan. Bukankah azan itu adalah panggilan Illahi Yang Maha Hebat untuk seluruh insan menyahutnya? Tiada Yang Maha Besar melainkan Dia, tetapi di sekolah (sekolah agama pula), murid-murid seolah-olah ditunjukkan bahawa 'kerja sekolah' mereka lebih penting daripada panggilan Allah Yang Maha Agung!
Terfikir di benak saya kenapa murid-murid tidak diajar (dipraktikkan) untuk menghormati azan dan mereka kemudian dipimpin oleh guru secara beramai-ramai untuk solat berjemaah di masjid. Alangkah bagusnya jika anak-anak dilatih sejak kecil untuk bersama-sama ke masjid untuk solat berjemaah. Tidak bolehkah berhenti kira-kira 10-15 minit untuk solat berjemaah dan kemudian disambung balik 'diskusi yang amat penting' berkenaan.
Pada hari-hari lain, saya amat-amati di sekolah agama rakyat itu, ketika azan berkumandang, aktiviti sekolah berjalan seperti 'biasa'. Jika bertepatan dengan waktu rehat (waktu solat berubah-rubah), murid-murid dilihat melompat, jika waktu lain, guru masih mengajar dan murid-murid menjerit mengikut apa yang guru suruh sebut. Subhanallah, tidakkah guru mahu mengajar anak muridnya 'melakukan apa yang patut' apabila mendengar seruan azan?
Jika guru-guru dan murid-murid menyertai solat berjemaah, insya-Allah akan beres banyak perkara. Rahmat dan kebarakahan Allah akan mencurah-curah. Alangkah ruginya jika kita tidak membimbing anak-anak untuk solat berjemaah semata-mata untuk mengikuti jadual berdasarkan sukatan mata pelajaran yang ditetapkan.
Ya, sekarang ini, anak-anak diajar untuk menimba ilmu sebanyak mungkin tetapi kurang dari segi pengamalannya. Budak-budak sekarang pandai menghafaz itu dan ini, dalam peperiksaan mereka mendapat berderet A, tetapi satu kajian menunjukkan hanya 20 peratus murid-murid yang cukup solat waktunya. Apa sudah jadi pada yang 80 peratus itu? Akhlak murid-murid juga perlu dipertingkatkan, sekarang ini jika kita amat-amati, gejala sosial generasi muda semakin parah.
Berdasarkan apa yang saya saksikan ini, sempena Maal Hijrah saya rayulah pihak berkuasa agama (di Malaysia hal berkaitan agama adalah di bawah kerajaan negeri), bermuhasabahlah; lakukan penambah-baikan kaedah pembelajaran anak-anak kita, biar mereka mempraktikkan apa yang diajar.
Jika kita mengajar solat berjemaah itu sangat penting, marilah kita bimbing anak-anak murid kita untuk menyertai solat berjemaah di masjid dengan meninggalkan sebentar apa saja aktiviti di sekolah. Bukankah panggilan Allah itu lebih besar daripada segala-galanya! Adakah kita sudah tidak ada masa lagi (kerana sibuk menyediakan anak-anak untuk mendapat sebanyak mungkin 'A') hatta untuk menunaikan kewajipan kita kepada Yang Maha Kuasa?
Jika hak Allah SWT kita jaga, percayalah semua urusan duniawi kita termasuk dalam dunia pendidikan akan beres! Yakinilah, ini janji Allah dan sempena Maal Hijrah marilah kita bersama-sama melakukan perubahan!
No comments:
Post a Comment