Tuesday, October 11, 2016

Harga barangan naik, peluang kerja hampir tiada…

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

TERKEJUT saya di kedai baru-baru ini apabila si peruncit memberitahu harga sepaket (sekilogram) makanan kucing sudah naik RM1 menjadi RM9. Kasihan ‘miaw’ saya,  dalam seminggu saya perlukan dua paket, dengan kenaikan itu saya perlu tambahan RM8 sebulan; fikir punya fikir saya ambil keputusan mengurangkan kuantiti pembelian, jadi kucing-kucing itu perlu makan lebih banyak sisa makanan dan tulang!

Masalahnya, di kediaman saya jumlah kucing sentiasa bertambah – ada saja orang membuang kucing mereka. Baru-baru ini saya membawa balik dua ekor anak kucing yang dibuang di surau (depa ingat surau tempat orang makan ke?) manakala isteri pula membawa pulang seekor anak kucing yang dibuang di sekolahnya. Kenapa semakin banyak kucing dibuang, apakah ia petanda semakin ramai orang tidak mampu memberi makan kepada kucing?

Pertanyaan ini nampaknya macam satu ‘lawak’, tetapi jika diamat-amati ada kebenarannya. Seorang jiran selang beberapa rumah dari rumah saya memberitahu bahawa haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW itu tidak lagi di’welcome’ (alu-alukan) ke rumahnya.  “Aku sendiri pun nak makan payah…inikan pula nak bagi kucing makan!” katanya membuatkan saya terkedu.

Mungkin sesetengah daripada kita terkejut dengan ‘statement’ si jiran itu tetapi selepas diselidiki dia sekarang ini tiada kerja. Dia adalah seorang daripada ribuan orang yang dibuang kerja. Ketika ini pembuangan pekerja bukan saja membabitkan syarikat kecil tetapi juga firma gergasi.

Menurut laporan, Petronas akan memberhentikan  51,000 pekerjanya, CIMB mengumumkan 23 cawangannya di seluruh negara ditutup manakala Tesco bakal mengurangkan 600 peluang pekerjaan. Dulu pun syarikat gergasi MAS memberhentikan 6,000 kakitangannya.

Sekarang ini sukar untuk seseorang itu termasuk graduan universiti memasuki dunia pekerjaan. Sebagai contoh seorang anak saudara saya yang menamatkan pengajian MBBS-nya Jun lalu masih belum dipanggil untuk menjalani ‘housemanship’-nya manakala seorang lagi anak saudara yang mempunyai ijazah kejuruteraan terpaksa berpuas hati dengan menjadi guru sementara.

Menurut bakal doktor itu, ratusan rakan-rakannya masih menunggu tempat 'housemanship'.  Dilaporkan di Malaysia hanya ada 5,000 tempat menjalani ‘housemanship’ di hospital-hospital awam. Jumlah ini ternyata tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan ribuan graduan kedoktoran setiap tahun. Jadi, adalah biasa untuk graduan menunggu tiga hingga enam bulan untuk mendapat tempat.

Baru-baru ini saya berpeluang bercakap dengan seorang pensyarah sebuah pusat pengajian tinggi mengenai masalah ‘housemanship’ ini. Menurut beliau selain tempat terhad,  masalah itu diperburukkan lagi oleh semakin ramai bakal doktor gagal menamatkan tempoh pelatihan selama dua tahun. Ini mungkin bermaksud graduan kedoktoran kita semakin menurun mutunya.

Apabila tempoh ‘housemanship’ mereka dilanjutkan, peluang pelatih baru semakin mengecil, kata pensyarah itu membuatkan saya bertanya: “Tidak bolehkah ditambah tempat ‘housemanship’ itu?” 

Beliau berkata perkara itu adalah berkaitan polisi, jadi beliau tidak boleh mengulasnya tetapi mengakui untuk menambah tempat ‘housemanship’ memerlukan kos tersangat tinggi dan persoalannya mampukah negara kita melakukannya pada ketika era yang sangat mencabar sekarang ini?

Ya, sekarang ini sukar untuk anak muda memasuki pasaran pekerjaan; ada yang memilih untuk berusaha sendiri seperti apa diviralkan di internet baru-baru ini mengenai seorang gadis lepasan Universiti Tun Hussein Onn berniaga nasi lemak, malangnya baru saja berniaga dia dikenakan saman oleh pihak berkuasa tempatan.

Subhanallah, untuk mendapat kerja payah, untuk bekerja sendiri pun banyak masalah… untuk menjalani kehidupan harian pun payah kerana harga barangan keperluan mahal dan sentiasa naik, misalnya dalam kes saya harga makanan kucing pun sudah naik RM1 sekilogram (kasihan kucing-kucing saya); ya apa nak jadi dengan negara kita ini, 'hidup susah mati pun susah' (macam dialog dalam sebuah filem P Ramlee). 

Kalau pemimpin Umno BN sekarang tak dapat berperanan membantu rakyat, apa kata kita buat perubahan pada PRU-14 nanti? Mulakan kerja dan perjuangan mulai sekarang, jangan sudah terhantuk baru tengadah!

No comments: