Sunday, October 2, 2016

Bas percuma: Selangor boleh; Pusat, negeri lain pun boleh...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

TERSENYUM saya tatkala membaca rencana pengarang New Straits Times (NST) bertarikh Jumaat, 23 September 2016 bertajuk 'Free school bus service for all' (Perkhidmatan bas sekolah percuma untuk semua) yang antara lain menyebut: "If a free bus service can be provided for adults in Selangor, why not school buses for children?" (Jika perkhidmatan bas percuma boleh disediakan untuk orang dewasa di Selangor, mengapa tidak ia membabitkan bas sekolah untuk kanak-kanak?)

Membaca petikan ayat ini boleh membawa pelbagai tafsiran dan pengertian, salah satunya pengiktirafan dan penghargaan kepada usaha murni kerajaan negeri Selangor yang berusaha untuk 'menyenangkan' rakyatnya!

Syabas kerajaan Pakatan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali dan sebelum ini oleh Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim. Jika kerajaan Selangor boleh menyediakan perkhidmatan bas percuma, kenapa tidak kerajaan-kerajaan negeri lain malah kerajaan Pusat sendiri. Ya, Selangor boleh, negeri-negeri lain malah Malaysia pun boleh!

Sejajar dengan apa disyorkan melalui rencana pengarang itu, kerajaan Pusat melalui pelbagai agensinya dan yang paling penting Kementerian Pendidikan memikirkan secara serius untuk menawarkan perkhidmatan bas sekolah percuma untuk semua kanak-kanak sekolah. 

Pihak-pihak berkenaan sewajar berhenti daripada bercakap dan mengesyorkan 'begitu dan begini' kerana usaha mengelakkan kemalangan di depan sekolah yang kerap berlaku perlu diberi perhatian utama sekarang ini. Bertindaklah secara berkesan daripada banyak bercakap!

Mengenai kos mengadakan perkhidmatan bas sekolah percuma itu, apalah yang 'hendak dirisaukan' kerana sudah pasti ia 'ciput' (sikit saja) berbanding berbilion-bilion ringgit wang rakyat yang 'hilang entah ke mana'!

Rencana pengarang itu secara tidak langsung telah menjadikan usaha kerajaan negeri Selangor sebagai contoh. Bercakap mengenai kerajaan negeri ini beberapa hari lalu saya berkesempatan solat Jumaat di sebuah masjid di Selangor dan di sana saya berpeluang mendapatkan akhbar 'Selangor Kini' bertarikh 23-30 September 2016.

Akhbar ini diberikan percuma sejajar dengan perkataan PERCUMA yang dicetak di muka depan. Berdasarkan pengalaman saya, ada kerajaan negeri lain yang mengeluarkan buletin yang diedarkan secara percuma di masjid dan premis awam tetapi di muka depannya ditulis harganya, misalnya RM1.50. 

Persoalannya, jika akhbar diedarkan secara percuma, mengapa perlu diletakkan harganya? Kita bimbang kos pengendalian akhbar itu dibiayai daripada wang rakyat...tetapi wang perolehannya masuk ke kantung pihak tertentu.

Ya, kerajaan Selangor sudah menunjukkan contoh yang baik - jika percuma katakan percuma, tidak perlu berselindung apa-apa lagi. Jika akhbar percuma bagi saja secara percuma; demikian juga bas atau perkhidmatan lain, jika percuma tidak payah susahkan rakyat dengan macam-macam syarat seperti "awak mesti sokong parti kami" atau hendak letakkan logo parti pada barangan seperti peralatan tulis, kampit baja atau beras. 

Ringkasnya, beri saja pada rakyat, jangan banyak 'songeh-songeh'. Ini baru kerajaan menyenangkan rakyat, bukan menyusahkan mereka seperti dikenakan GST tetapi dipropagandakan melalui media massa bahawa 'GST memberi kebaikan kepada rakyat'. Apa punya cakap daa!

Sempena 'pengiktirafan' NST kepada perkhidmatan bas percuma Selangor, saya petik mutiara kata MB Azmin Ali yang disiarkan di muka tengah Selangor Kini. Cuba bandingkan pula dengan kata-kata seorang pemimpin Umno Selangor tidak lama dulu.
 
Terima kasih rakyat
(Genap dua tahun memikul amanah)

Inilah realiti Selangor.
Rencam dan penuh harapan.
Usah bimbang dan gundah gulana.
Ekonomi kuat, rakyat selamat, negeri berkat.
Rakyat telah memberikan
Mandat berdasarkan
muafakat yang berpegang
kepada prinsip keadilan dan
kemakmuran untuk semua.
Jangan khianati amanah.

Kain songket tenunnya halus,
Sesuai dipakai segak terikat,
Pemimpin adil mentadbir telus,
Dihargai rakyat sepanjang hayat.

(Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali)
Selangor Kini (23-30 September 2016)

Manakala di bawah ini ungkapan seorang Ketua Wanita Umno Bahagian mengenai keadaan di Selangor dalam sajak bertajuk 'Selangor Kini' tidak lama dulu.

Pakatan rakyat makin terdesak,
DAP pula sentiasa mengasak,
Otak MB dah makin rosak,
Keputusan dibuat,
Betul ke tidak?
Rakyat Selangor sudah masak,
Lakonan mereka,
Semakin nampak,
Ke mana-mana orang,
Dah mula berborak,
Menyokong PR parti,
Yang haprak.

No comments: