Tuesday, October 4, 2016

PRU-14; SPR didakwa alih tiang gol...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

DALAM apa juga pertandingan termasuk sukan diminati ramai iaitu bola sepak ada pengadil. Selain itu ada dua penjaga garisan yang boleh dianggap pengadil juga. Namanya saja sudah membayangkan sifatnya - adil - tidak boleh berat sebelah, orang putih kata 'bias'.

Dalam negara demokrasi jika diadakan pilihan raya, pengadilnya adalah seumpama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negara kita. Sama seperti pertandingan bola sepak yang mana pengadil diberikan amanah, pengendali pilihan raya perlu adil, telus dan mendukung ciri-ciri baik lain.

Dua penjaga garisan boleh diberi peranan kepada sejumlah pihak lain seperti polis dan badan kehakiman. Malah media massa juga boleh berperanan dengan syarat ia juga adil, telus, bebas dan tak 'bias'.

Dalam pertandingan bola sepak, pengadil bukan saja perlu adil tetapi dilihat adil. Jika tidak, akan berlaku perkara-perkara tidak diingini termasuklah rusuhan oleh penonton. Sering kali kita mendengar penyokong sesuatu pasukan berpuas hati hatta pasukan mereka tewas dalam sesuatu pertarungan hebat yang 'diadili' oleh 'pengadil hebat'!

Tetapi bagaimana jika pengadil 'lousy' (teruk)? Silap-silap haribulan belum habis permainan, kasut dan botol serta tin minuman sudah dilontar ke arahnya. Itu permainan bola sepak; jika pengadil pilihan raya sejak sebelum pilihan raya lagi bertindak 'lousy', sudah pasti rakyat berteriak - sebagai bukti di negara kita ada pihak mahu mengadakan perhimpunan Bersih dan pelbagai bantahan lain.

Persoalannya sebab apa? Berdasarkan perkembangan terkini, SPR sedang giat melaksanakan persempadan semula kawasan pilihan raya termasuk memindah pengundi. Siapa yang meminta ini semua kalau bukan pemerintah Umno BN yang pada pilihan raya lalu tewas berdasarkan undi majoriti (mendapat 49 peratus jumlah undian)? Namun disebabkan negara kita mengamalkan sistem perebutan kerusi 'first-past-the-post', Umno BN masih boleh berkuasa tetapi dalam situasi 'sangat bahaya'!

Umum mengetahui pilihan raya diadakan di negara kita bukan di atas padang yang sama rata. Sebagai parti pemerintah, Umno BN memperkuda semahu-mahunya pelbagai jentera termasuk milik kerajaan untuk menang pilihan raya. Malah media massa tradisional dipergunakan secara maksimum bagi kepentingan mereka.

Terkini, Umno BN yang dalam keadaan terdesak bagi menyelamatkan kerusi-kerusi Dun dan kawasan Parlimen pada PRU-14, mempergunakan SPR melakukan persempadanan semula (pecah sempadan) yang boleh dianggap dalam permainan bola sepak sebagai mengalihkan tiang gol.

Apabila pihak lawan didapati semakin 'menyengat' iaitu hampir menjaring gol, tidak mahu tidak pelbagai taktik licin dilakukan termasuklah mengalih tiang gol. Selain itu pemain (pengundi yang menyokong mereka) secara tiba-tiba bertambah pula; persoalannya dari mana mereka datang?

Jika 'di sebelahnya', tiang gol dialihkan, di kawasan gawang gol lawan pula, pengadil sudah disuapi agar tindakan 'mencuri ayam' dibenarkan. Jadi dengan cara ini ditambah 'pemain import' (Bangla, Indon, Nepal?), yang ramai, mudahlah Umno BN menyumbat gol sebanyak-banyaknya pada PRU-14 nanti.

Jika begini keadaannya, Umno akan terus berkuasa sejajar dengan slogannya 'Dulu, Kini dan Selamanya'. Namun harus diingat bahawa arus air (kebenaran) tidak dapat disekat sepenuhnya, suatu hari nanti empangan akan pecah jua.

Sekarang pun sudah ada bukti 'empangan' itu sudah retak teruk, menanti pecah saja, misalnya ramai bekas pemimpin Umno BN termasuk mereka yang dulunya paling berkuasa terpaksa menjilat kembali air ludah masing-masing.

Demikian juga pengendali (pengadil) pilihan raya, ramai bekas pemimpinnya mengaku tersilap...malangnya mereka 'insaf' akan kebobrokan itu hanya selepas bersara. Ayam pencen berkokok kurang nilainya berbanding si ayam jantan juara sabung tetapi setidak-tidak mereka boleh 'menyumbang sesuatu' sebelum 'berangkat pergi'!

Realitinya sekarang, rakyat bermain bola sepak di padang tak sama rata, tiang gol dialihkan ke sana sini, manakala pengadil pula daripada jenis 'cap ayam'...apa adakah kita boleh terus berdiam diri? Pemimpin Bersih pun sudah tak tahan; dengar khabar mereka akan mengerakkan perhimpunan besar-besaran 17 November nanti, kita pula bagaimana? Mahu terus bermain di padang tak sama rata ini?

No comments: