DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
SEORANG sahabat saya yang agak terkenal juga dalam dunia penulisan dan sekarang sudah menjadi arwah, ketika berjumpa saya sebelum meninggal dunia, memberi nasihat bahawa untuk merasai kenikmatan hidup, kita tidak perlukan wang dan harta yang banyak.
Allahyarham memberikan contoh mudah - antara kenikmatan hidup adalah soal makan; katakanlah makanan paling sedap seseorang itu adalah KFC...dengan jumlah wang yang sedikit katakan RM10 dia boleh menikmati makanan itu bagi makan tengah harinya, selepas itu apakah dia boleh makan KFC lagi untuk makan malamnya? Bagi kebanyakan orang tak mungkin dia makan KFC lagi kerana sudah muak, mungkin boleh muntah jika dia memaksa dirinya makan.
Bijak pandai ada menceritakan seorang hartawan ketika mahu makan bertanyakan doktor peribadinya - daging kambing bakar itu boleh saya makan, doktornya berkata tidak; burger itu boleh saya makan, jawapannya juga tidak; nasi lemak itu boleh saya makan, tidak juga jawapannya. Jadi apa boleh saya makan, tanya orang kaya berpenyakit kronik itu. Makanlah KULIT ROTI, kata si doktor selamba.
Demikianlah sebenarnya keperluan manusia seperti makan amat sedikit tetapi kebanyakan orang terlalu tamak; seboleh-boleh mereka mahu wang dan harta menimbun setinggi gunung, malah ada hadis Nabi Muhammad SAW menyebut kalau manusia itu sudah ada satu lembah emas, dia mahu dua, kemudian tiga dan seterusnya. Dia hanya berpuas hati selepas 'mulutnya dipenuhi tanah' (matilah)!
Kerana sifat tamak manusia, tidak hairanlah jika akhir-akhir ini kita mendengar seorang pengarah dan timbalannya di Sabah ditangkap dengan wang haram (rasuah) bertimbun-timbun bernilai ratusan juta ringgit di rumah dan pejabat mereka. Kedua-duanya boleh dianggap sebagai 'anak jerung'; jika mereka 'songlap' ratusan juta ringgit, bayangkan berapa banyak yang boleh 'dibaham' 'bapak jerung'...mahu berbilion-bilion ringgit jawapnya.
Sungguh menghairankan apa yang hendak dilakukan oleh seseorang yang hidup dalam timbunan duit itu. Adakah dia 'mendapat' bahagia atau 'derita' dengan wang terlalu banyak itu? Sayidina Ali yang bijaksana itu ketika ditanya yang mana lebih utama harta atau ilmu; beliau berkata ilmu menjaga kita sebaliknya jika harta kita yang menjaganya...siang malam kita tak senang kerana memikirkan harta kita 'dikebas' orang. Ilmu jika digunakan (diajar) akan bertambah, tetapi harta jika dipakai akan berkurangan dan habis!
Apakah nikmat memiliki wang berjuta-juta atau berbilion ringgit yang diperolehi secara haram atau dimasukkan dalam akuan bank kita secara tak sah? Seorang teman memberitahu 'nikmat wang' adalah apabila kita bekerja keras secara halal untuk mendapatkannya kemudian kita membelanjakannya pada jalan yang sah.
Tetapi bagi orang yang mendapat wang secara haram walaupun banyak, tidak akan tenang hidupnya. Dia akan sentiasa bimbang...apabila berbelanja seperti membeli perhiasan, kereta atau rumah mewah, orang ramai malah pihak berkuasa akan bertanya daripada mana dia dapat wang itu. Adakah gaya hidup dia, isteri dan keluarganya berpadanan dengan gaji yang diterimanya sebagai pengarah, menteri hatta perdana menteri sekalipun.
Apakah hidup penuh kerisauan ini adalah bahagia? Bagi mereka yang sudah 'terlajak jauh' dalam menghimpun harta terutama mendapatkannya secara haram, marilah kita renung-renung balik kisah teladan seperti 'King Midas and the Golden Touch' yang bagi saya diajar oleh guru sekolah rendah saya puluhan tahun lalu.
King Midas gila emas, suatu hari seorang pari-pari membuat tawaran dia boleh menukar apa saja menjadi emas dengan sentuhan tangannya. Almari, bangku, semuanya jadi emas selepas disentuhnya. Kemudian roti pun menjadi emas, akhirnya puteri tunggalnya pun jadi emas.
King Midas panik, rupanya emas dan harta bertimbun tidak membawa bahagia...oleh itu ingatlah semua terutama orang diamanahkan kuasa sebagai pengarah dan menteri, bahawa wang berjuta-juta atau berbilion-bilion ringgit apatah lagi diperolehi secara haram termasuk yang dimasukkan dalam akuan kita secara tidak sah, tidak akan membahagiakan kita! King Midas pun akhirnya 'bertaubat', kita bila lagi?
1 comment:
Pinjaman untuk pelbagai tujuan
Kami menawarkan jumlah minimum 10,000.00 euro untuk 10 juta dolar
Pada kadar faedah yang rendah sebanyak 2%
pinjaman
tempoh: sehingga 25 tahun bergantung kepada jumlah pinjaman yang anda perlukan.
pelanggan mesti
Melebihi usia o f 18 tahun
Urus niaga ini adalah 100% selamat untuk semua clents
Untuk maklumat lanjut mengenai kredit, sila hubungi kami melalui e-mel:
(Daviesruthfirm@gmail.com)
Post a Comment