Thursday, October 13, 2016

Jurnalis: Antara agama dan kerjaya...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
Artikel dipetik daripada https://syamimijamil.wordpress.com 
Tidak dapat ditolak kepentingan surat khabar dan wartawan dalam menyampaikan maklumat semenjak sebelum kemerdekaan lagi. Pada ketika ini, surat khabar digunakan sebagai alat untuk memupuk semangat kebangsaan serta kemerdekaan. Selain itu, komunikasi adalah untuk politik dan sosio ekonomi.
Perkembangan bidang komunikasi ini bermula selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Sekitar tahun 1970-an, operasi persuratkhabaran di Singapura berpindah ke Kuala Lumpur. Bidang ini mula mendapat perhatian umum dan berkembang dari semasa ke semasa.
Wartawan jugalah yang bertungkus-lumus dalam menyemarakkan semangat demi menuntut kemerdekaan suatu ketika dahulu. Tokoh-tokoh seperti Ishak Haji Muhammad juga dikenali sebagai Pak Sako dan A Samad Ismail terbukti berjasa besar dalam menyumbang tenaga demi kemerdekaan negara.
Harus diketahui bahawa bidang kewartawanan ini bukan sahaja sekadar menyalurkan berita semata-mata, ia bersifat menyeluruh sehingga merangkumi aspek kemasyarakatan, pandangan, dan ekonomi termasuk politik.
Wartawan bukan sahaja melapor, malah perlu bertanggungjawab dalam menulis berita yang tepat, telus dan tersusun. Hal ini bagi memastikan bahawa pembaca jelas berkenaan dengan isu yang dibincangkan.
Menurut bekas wartawan, LanH, kerjaya sebagai wartawan ini adalah kerjaya yang mulia. Dalam dunia yang semakin mencabar sekarang, akhbar boleh menjadi medan untuk memperjuangkan kebaikan tetapi pada masa yang sama juga mempamerkan kejelekan.
Namun begitu, kerjaya dalam bidang kewartawanan kini dianggap sebagai salah satu kerjaya yang popular kerana ramai beranggapan kerjaya ini paling hampir dengan golongan kenamaan kerana berpeluang mendapat maklumat lebih awal berbanding orang lain.
Tidak ramai menyedari bahawa tugas seorang wartawan itu sebenarnya mirip kepada tugas pendakwah, iaitu menyampaikan kebenaran. Persoalannya masih adakah kebenaran dalam penulisan masa kini? Ataupun kebenaran itu telah dibuang jauh demi mengejar keuntungan daripada hasil penjualan media terbabit.
Menyampaikan sesuatu yang tidak sahih faktanya ataupun mengubah corak pemberitaan untuk tujuan meraih keuntungan merupakan salah satu contoh wartawan yang tidak beretika.
Etika Kewartawanan
Menerusi buku tulisan Jeniri Amir, Belajar Menjadi Wartawan terbitan PTS Profesional Sdn Bhd penulis berpendapat bahawa tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai bagi mendapatkan maklumat yang benar. Ini bermaksud, wartawan harus menyampaikan maklumat yang tepat buat pembaca.
Dalam melaksanakan tugas ini, wartawan harus benar-benar menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama selagi tidak menyentuh mana-mana isu yang sensitif.
Jika terdapat sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar dan tidak tepat wartawan terbabit harus memperbetulkannya.
Wartawan yang beretika perlu berbudi pekerti semasa menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme, fitnah dan hasutan atau tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun.
Wartawan perlu menghindarkan siaran berita atau rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia.
Dalam perspektif Islam pula, pengamal kewartawanan Islam harus menyedari teori kewartawanan dan pendekatan mencari dan menyebarkan berita telah disimpulkan dalam salah satu ayat al-Quran.
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian menjadi orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu sendiri. Jika ia (orang yang dianiaya) kaya ataupun miskin maka Allah lebih tahu keperluan kedua- duanya. maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran dan jika kamu memutar-balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan. (Surah al-Nisa’ : 135)
Mana-mana wartawan berjuang dengan ikhlas mencari berita yang benar dan menyampaikan kebenaran itu kepada masyarakat sebenarnya menjalankan tugas murni di sisi Islam.
Namun etika kewartawanan Islam ini semakin tidak dihayati sebahagian pengamal media hari ini. Selama mana kita tidak berpegang kepada etika kewartawanan Islam, selama itulah kita tidak mampu pergi jauh dan menjadi sumber berita yang mempunyai kredibiliti serta diterima ramai.
Mungkin pada dasarnya, dapat meraih keuntungan dengan gaji yang tinggi namun selama mana kita mampu untuk terus hidup dalam penipuan seterusnya berdosa di sisi agama?
Islam begitu mementingkan kebenaran bukan saja dalam laporan pemberitaan bahkan dalam segenap aspek kehidupan kita. Contohnya, pada sifat Rasullulah s.a.w. yang terkenal ‘al-Siddiq’ yang membawa maksud benar dalam tutur kata dan tingkah laku.
Tanggungjawab atau dosa?
Menyampaikan sesuatu yang tepat dan benar bukanlah merupakan masalah yang besar buat seorang wartawan Islam. Hal ini kerana, Malaysia masih ambil berat mengenai isu kesahihan sesuatu perkara, selagi perkara tersebut tidak sahih selagi itu tidak akan disiarkan kepada umum.
Namun cabaran terbesar buat wartawan khususnya yang beragama Islam adalah apabila mereka berada di persimpangan antara kerjaya dan tuntutan agama.
Seperti kita semua sedia maklum bahawa sudah menjadi tugas wartawan untuk mencari sesuatu yang unik dan luar biasa untuk dikongsi mahupun diselongkar buat tontonan umum.
Semasa menjalankan tugasan sebagai wartawan, adakalanya mereka akan di tugaskan oleh pihak atasan untuk menjalankan sesuatu tugasan. Sekiranya wartawan terbabit diberi tugasan membuat liputan di kilang arak atau melaporkan liputan laporan tahunan syarikat arak yang terkemuka di negara sebagai contoh, wartawan terbabit tidak punya hak untuk mengelak dari melakukan tugasan. Di sinilah keimanan mereka akan diuji.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maaidah: Ayat 90)
”Diriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Rasulallah s.a.w. telah melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak iaitu, orang yang memerah arak, orang yang diminta arak diperah untuknya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawa arak kepadanya, orang yang memberi minum arak kepada orang lain, orang yang menjual arak, orang yang mendapat hasil daripada arak, orang yang membeli arak, dan orang yang meminta dibelikan arak untuknya." (Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)
Pastinya dosa yang besar menanti wartawan yang membuat liputan berkenaan dengan syarikat arak.
Memetik kata-kata LanH dalam buku beliau yang bertajuk Travelog Wartawan Islam terbitan Kemilau Publika: “Menunggu prospek sumber berita merupakan salah satu tugas sebagai wartawan."
Semua wartawan dari pelbagai akhbar akan menyerbu sebaik sahaja ‘sumber berita’ berkenaan keluar daripada bilik mesyuarat. Menunggu kemunculan VIP di lapangan terbang juga merupakan salah satu tugas wartawan.
Namun begitu, terkadang mereka harus menunggu berjam-jam lamanya untuk melakukan sidang media. Menurut beliau lagi, di sini wartawan Muslim akan merasa resah berikutan tidak dapat menunaikan solat.
Hal ini kerana, sekiranya wartawan terbabit menunaikan solat, berkemungkinan besar untuk mereka terlepas prospek sumber berita. Sudah pasti akan mendapat habuan apabila pulang dengan tangan kosong ke pejabat nanti.
Cabaran seumpama ini merupakan cabaran terbesar buat seorang wartawan Muslim, dalam memilih untuk menunaikan solat mahupun menunggu sidang media yang belum tentu bila akan bermula.
Mengelirukan pembaca
Kebanyakan bahan yang disiarkan di dalam akhbar kini banyak memberi dan menambahkan pengetahuan pembaca, namun tidak ketinggalan yang menyajikan sesuatu bahan yang tidak baik.
Sebuah akhbar kini banyak berdiskusi berkenaan dengan isu halal haram terutama di ruangan rencana. Sebagai contoh rencana yang menceritakan perihal isu sosial remaja kini, memberi pencerahan mengenai kewajipan menutup aurat, tetapi akhbar yang sama menyiarkan gambar-gambar artis yang tidak menutup aurat atau bergaul dengan mesra dengan artis lelaki yang bukan muhrim.
Pembaca semakin keliru dengan konsep yang cuba dibawa oleh sesebuah akhbar yang ternyata jauh tersasar daripada landasan Islam yang sebenar. Secara tidak langsung, konsep berbeza yang digunakan akan menyebabkan masyarakat menjadi rosak.
Pecanggahan ini mungkin nanti akan melahirkan masyarakat yang tidak mengenali konsep halal dan haram sebenar didalam islam.
“Pemikiran sekular seperti ini juga wujud dalam syarikat akhbar. Melalui majalah agama, segala kebaikan dan kemurnian agama akan ditonjolkan. Tetapi pada masa yang sama syarikat itu juga mengeluarkan bahan media yang bertentangan,” tulis LanH.
Seterusnya masyarakat yang kurang ilmu agama akan terus keliru dan akan terus hanyut jauh dari konsep Islam.
Di sebalik sesebuah karya
Dalam bidang komunikasi massa, setiap individu harus bekerja dengan individu lain dalam menghasilkan sesebuah karya, sama ada bercetak mahupun elektronik. Seseorang wartawan memerlukan jurugambar untuk menghasilkan berita yang berkesan.
Selain itu, dalam menghasilkan sebuah tulisan sebagai contoh, banyak pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Bermula daripada wartawan, jurugambar sehinggalah ke penyunting seterusnya ke pengarang berita.
Tugas seorang penyunting adalah untuk menyunting berita termasuklah bertanggungjawab dalam menyusun atur grafik. Sekiranya penyunting tersebut diarahkan untuk menyunting sebuah tulisan berkenaan artis di dalam dunia hiburan, sudah pasti penyunting tersebut harus menyusun atur gambar-gambar yang menonjol, bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim atau harus menyunting kisah kehidupan artis yang belum sahih kebenaranya.
Situasi yang sama juga akan berlaku buat wartawan dan jurugambar yang terbabit dalam menghasilkan berita dan mengambil gambar dengan aksi yang tidak cocok untuk tontonan umum atau yang tidak bertepatan dengan norma masyarakat Malaysia.
Buat mereka yang mengambil mudah, sudah pasti tugasan ini bukan suatu tugasan yang mencabar. Tetapi bagaimana pula kepada mereka yang menitikberatkan soal hal berkenaan dosa dan pahala?
Harus disedari bahawa hasil kerja tangan ini dikira bersubahat kerana membantu atau terlibat dalam menyiarkan berita dan gambar menghairahkan. Mereka juga turut menanam saham dalam merosakan akhlak masyarakat yang membaca atau melihat gambar yang disiarkan.
Ibadah
Tugas sebagai wartawan ini merupakan ibadah. Jelas LanH, wartawan mempunyai peranan dan saham yang besar dalam membangunkan ummah dan negara yang memiliki bangsa yang bejaya.
Namun adakah masih dikira sebuah ibadah sekiranya berita yang disampaikan berat sebelah, fakta yang tidak tepat, memuatkan iklan empat nombor ekor, fitnah, gosip artis dan sebagainya?.
“Adakah juga ‘hasil titik peluh’ iaitu gaji yang diperoleh dianggap halal untuk diberi makan kepada keluarga?” tegas LanH.
Jelas beliau, wang gaji yang diterima setiap bulan adalah daripada hasil kerja subahat yang boleh diragui. Apabila wang tersebut digunakan, daging-daging daripada rezeki yang tidak halal akan mula tumbuh. Daging yang tumbuh daripada rezeki yang haram ini akan menjadi bahan api di neraka kelak.
“Daging yang tumbuh akibat daripada makan harta haram akan dibakar oleh api jahanam.” (Riyawat al-Baihaqi dan Abu Naim)
Selain itu, kehidupan sebagai wartawan akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan memerlukan kekuatan mantal dan fizikal yang kuat dan kental.
Sokongan daripada orang terdekat seperti sahabat dan keluarga sangat penting bagi memastikan seseorang itu kuat dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan sebagai perantara dan menyebar maklumat buat pembaca namun masih berpegang teguh pada ajaran agama.
Adakalanya sehingga tidak punya masa untuk bercuti atau meluangkan masa bersama keluarga. Pengorbanan seorang wartawan begitu besar, tetapi apakah ia benar-benar memberi manfaat kepada seseorang di akhirat?
Justeru, dalam menjadi Muslim sejati pada masa yang sama wartawan yang berkaliber, sesorang itu harus bijak dalam mencari ruang pekerjaan. Dewasa kini, terdapat banyak peluang pekerjaan yang menunggu untuk penuhi oleh wartawan Muslim.
Selagi mampu, adalah lebih baik jika mencuba untuk jadikan pekerjaan sebagai amalan dan bekalan di akhirat kelak. Oleh itu, kita haruslah berusaha untuk bekerja di bawah syarikat yang berteraskan Islam, bukanya Islam pada nama semata.
Mencari pekerjaan yang betul dan selari dengan landasan yang telah disusun oleh Allah SWT. Adalah penting bagi memastikan kita dapat bekerja dan pada masa yang sama dapat menyumbang sesuatu yang bernilai untuk kegunaan ummah.
Diharap corak kerjaya kewartawanan dan industri komunikasi massa akan berubah mengikut rentak yang telah disyariatkan oleh Islam dengan menghasilkan bahan berinformasi bebas daripada unsur Barat yang melalaikan.
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan mereka sendiri.” (Surah Al-Ra’d ayat 11)

No comments: