Monday, October 31, 2016

Perihal aktivis PAS, Afghanistan dan Amerika…

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***

PADA bulan ini (Oktober) 15 tahun lalu (2001) Amerika Syarikat menyerang Afghanistan. Perang masih berlanjutan, Taliban yang ditewaskan Amerika dulu semakin berpengaruh; menurut laporan jika tidak kerana 'perlindungan' tentera Amerika, Taliban akan sekali lagi dapat menguasai negara miskin dan mundur ini.

Rakyat Amerika yang akan menyaksikan pemilihan Presiden 8 November ini, tergamam apabila didedahkan kerugian besar yang mereka alami di Afghanistan. Seramai 2,216 askar Amerika 'tewas' (terbunuh), 20,049 cedera parah dan ribuan lagi menjadi gila. 

Seramai 1,173 askar upahan (mercenaries) Amerika turut terbunuh manakala kos perang Amerika di Afghanistan dan Iraq dianggarkan AS$6 trilion. Ada pihak menganggarkan kos perang bagi setiap warga Amerika sebanyak AS$33,000!

Nampaknya Amerika akan menyertai senarai penyerang kuasa besar yang gagal di Afghanistan. Ya, mereka akan menyertai empayar British dan Soviet Union yang tewas di tangan pejuang-pejuang Afghan terutama bangsa Pashtun yang sekalipun bersenjata 'kuno' amat garang mempertahankan tanah air dan agama mereka!

Tidak lama selepas serangan Amerika ke atas Afghanistan, PAS menghantar sukarelawannya ke sempadan negara itu dengan Pakistan dan Iran. Saya turut dihantar ke sempadan Afghanistan-Pakistan; memori di Peshawar
mengamit saya menulis artikel ini. Sayang seribu kali sayang, petugas PAS yang bersama-sama mengorbankan tenaga, masa dan sebagainya sudah 'berpecah dua' - ada yang istiqamah dengan parti dan ada menyertai wadah baharu.

Sewajarnya, 'tragedi' Afghanistan menginsafkan kita. Ketika tumbangnya rejim Najibullah di Afghanistan pada 1992, dunia Islam berharap kerajaan baru Mujahidin yang ditubuhkan di Kabul akan menjadi contoh kegemilangan tamadun Islam zaman moden. 

Ditambah kemunculan enam republik Islam di Asia Tengah (Azerbaijan, Turkmenistan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Kazakhstan), selepas kehancuran Soviet Union pada 1991, harapan kembali berbunga bahawa tamadun Islam akan kembali bersinar selepas hancurnya daulah Islamiyah Uthmaniyah Turki pada 1924, gara-gara 'permainan licik' Kamal Ataturk. 

Malangnya impian itu menjadi igauan apabila Afghanistan menjadi 'neraka dunia'. Penduduknya yang sudah melalui kesengsaraan perang berikutan campur tangan Soviet Union terus menderita. Kali ini di tangan saudara seagama dan kemudian oleh si penjarah Amerika.

Di Afghanistan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diamanahkan untuk memastikan sejahteraan ummah, gagal meleraikan kumpulan Mujahidin yang bertelagah. Pada awal dekad 1990-an, ketua kumpulan Hizb-I-Islami, Gulbuddin Hekmatyar terus memerangi Presiden Burhanuddin Rabbani sekalipun diberikan jawatan perdana menteri. 

Kemunculan kumpulan pelajar, Taliban adalah di luar jangkaan, tetapi mereka mendapat so
kongan rakyat. Pada pertengahan dekad 1990-an, mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan bumi Afghanistan. 

Kesungguhan Taliban melaksanakan hukum-hakam Islam, menyebabkan mereka dicemburui Barat. Suatu ketika tindakan mereka menghancurkan patung purba Buddha di Bamiyan, mencetuskan kemarahan dunia Barat. 

Apabila tercetus Peristiwa 11 September 2001, tidak semena-mena Taliban menjadi sasaran. Taliban didakwa melindungi pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden. Lanjutan dendam Barat kepada Taliban, Amerika menggunakan kesempatan itu untuk 'menguji' senjata-senjata canggihnya di bumi yang hampir musnah itu. 

Hasilnya Afghanistan hancur tetapi Amerika dengan bongkaknya berkata demokrasi sedang berkembang selepas meletakkan bonekanya, Hamid Karzai sebagai presiden. 

Hari ini Hamid Karzai bukan lagi presiden. Beliau digantikan oleh Ashraf Ghani pada 2014. Namun Ashraf tetap boneka Amerika yang menurut sesetengah penganalisis politik boleh jatuh bila-bila masa saja di tangan Taliban. Namun 'perlindungan' bala tentera Amerika membantu menyelamatkannya daripada segera disingkirkan oleh rakyatnya sendiri.

Dulu Presiden Barack Obama menjanjikan untuk mengundurkan hampir semua tentera Amerika dari Afghanistan pada 2016. Namun ia tidak terlaksana sebaliknya lebih banyak tentera dihantar bagi menyelamatkan rejim boneka Ashraf Ghani.

Bagi Presiden baharu Amerika (sama ada Hillary Clinton atau Donald Trump), beliau akan 'mewarisi mimpi ngeri' Afghanistan - lebih banyak askar Amerika akan mati manakala bumi Afghanistan 'hancur lebur' sebahagiannya disebabkan rakyatnya begitu payah bersatu!

Sunday, October 30, 2016

King Midas dan wang haram jutaan, bilion ringgit...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

SEORANG sahabat saya yang agak terkenal juga dalam dunia penulisan dan sekarang sudah menjadi arwah, ketika berjumpa saya sebelum meninggal dunia, memberi nasihat bahawa untuk merasai kenikmatan hidup, kita tidak perlukan wang dan harta yang banyak.

Allahyarham memberikan contoh mudah - antara kenikmatan hidup adalah soal makan; katakanlah makanan paling sedap seseorang itu adalah KFC...dengan jumlah wang yang sedikit katakan RM10 dia boleh menikmati makanan itu bagi makan tengah harinya, selepas itu apakah dia boleh makan KFC lagi untuk makan malamnya? Bagi kebanyakan orang tak mungkin dia makan KFC lagi kerana sudah muak, mungkin boleh muntah jika dia memaksa dirinya makan.

Bijak pandai ada menceritakan seorang hartawan ketika mahu makan bertanyakan doktor peribadinya - daging kambing bakar itu boleh saya makan, doktornya berkata tidak; burger itu boleh saya makan, jawapannya juga tidak; nasi lemak itu boleh saya makan, tidak juga jawapannya. Jadi apa boleh saya makan, tanya orang kaya berpenyakit kronik itu. Makanlah KULIT ROTI, kata si doktor selamba.

Demikianlah sebenarnya keperluan manusia seperti makan amat sedikit tetapi kebanyakan orang terlalu tamak; seboleh-boleh mereka mahu wang dan harta menimbun setinggi gunung, malah ada hadis Nabi Muhammad SAW menyebut kalau manusia itu sudah ada satu lembah emas, dia mahu dua, kemudian tiga dan seterusnya. Dia hanya berpuas hati selepas 'mulutnya dipenuhi tanah' (matilah)!

Kerana sifat tamak manusia, tidak hairanlah jika akhir-akhir ini kita mendengar seorang pengarah dan timbalannya di Sabah ditangkap dengan wang haram (rasuah) bertimbun-timbun bernilai ratusan juta ringgit di rumah dan pejabat mereka. Kedua-duanya boleh dianggap sebagai 'anak jerung'; jika mereka 'songlap' ratusan juta ringgit, bayangkan berapa banyak yang boleh 'dibaham' 'bapak jerung'...mahu berbilion-bilion ringgit jawapnya.

Sungguh menghairankan apa yang hendak dilakukan oleh seseorang yang hidup dalam timbunan duit itu. Adakah dia 'mendapat' bahagia atau 'derita' dengan wang terlalu banyak itu? Sayidina Ali yang bijaksana itu ketika ditanya yang mana lebih utama harta atau ilmu; beliau berkata ilmu menjaga kita sebaliknya jika harta kita yang menjaganya...siang malam kita tak senang kerana memikirkan harta kita 'dikebas' orang. Ilmu jika digunakan (diajar) akan bertambah, tetapi harta jika dipakai akan berkurangan dan habis!

Apakah nikmat memiliki wang berjuta-juta atau berbilion ringgit yang diperolehi secara haram atau dimasukkan dalam akuan bank kita secara tak sah? Seorang teman memberitahu 'nikmat wang' adalah apabila kita bekerja keras secara halal untuk mendapatkannya kemudian kita membelanjakannya pada jalan yang sah.

Tetapi bagi orang yang mendapat wang secara haram walaupun banyak, tidak akan tenang hidupnya. Dia akan sentiasa bimbang...apabila berbelanja seperti membeli perhiasan, kereta atau rumah mewah, orang ramai malah pihak berkuasa akan bertanya daripada mana dia dapat wang itu. Adakah gaya hidup dia, isteri dan keluarganya berpadanan dengan gaji yang diterimanya sebagai pengarah, menteri hatta perdana menteri sekalipun.

Apakah hidup penuh kerisauan ini adalah bahagia? Bagi mereka yang sudah 'terlajak jauh' dalam menghimpun harta terutama mendapatkannya secara haram, marilah kita renung-renung balik kisah teladan seperti 'King Midas and the Golden Touch' yang bagi saya diajar oleh guru sekolah rendah saya puluhan tahun lalu.

King Midas gila emas, suatu hari seorang pari-pari membuat tawaran dia boleh menukar apa saja menjadi emas dengan sentuhan tangannya. Almari, bangku, semuanya jadi emas selepas disentuhnya. Kemudian roti pun menjadi emas, akhirnya puteri tunggalnya pun jadi emas. 

King Midas panik, rupanya emas dan harta bertimbun tidak membawa bahagia...oleh itu ingatlah semua terutama orang diamanahkan kuasa sebagai pengarah dan menteri, bahawa wang berjuta-juta atau berbilion-bilion ringgit apatah lagi diperolehi secara haram termasuk yang dimasukkan dalam akuan kita secara tidak sah, tidak akan membahagiakan kita! King Midas pun akhirnya 'bertaubat', kita bila lagi?

Monday, October 24, 2016

Belanjawan rakyat kian parah…

 ***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***

SEPANJANG tempoh beberapa hari ini di kedai runcit, saya saksikan dua kejadian meruntun hati. Seorang kanak-kanak dalam anggaran usia sembilan tahun, mengambil sebuku roti dan ketika mahu membayar di kaunter terpaksa meletakkannya kembali di rak kerana duitnya tidak cukup.

Seorang suri rumah pula ketika ‘terkial-kial’ mengeluarkan wang ‘seringgit-seringgit’ dari dompetnya ketika membeli barangan keperluan seperti beras dan gula, terpaksa memulangkan semula sepaket tepung gandum ke rak asal kerana duitnya tidak cukup RM1.50 untuk membayar semua barangan dibelinya. 

Sempena pembentangan Belanjawan (Budget) negara 21 Oktober ini oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, dan tahun baharu Hijrah 1438 dan Masihi 2017, ‘orang besar dan berkuasa’, fikir-fikirlah dan bertindak segera bagi menangani masalah belanjawan rakyat marhain yang kian parah sekarang ini…

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak di bangku sekolah, mereka sedia maklum sekarang ini musim peperiksaan dan tidak lama lagi adalah cuti sekolah…kemudian tahun baharu 2017 akan menyusul yang memerlukan mereka mengeluarkan ‘belanja sekolah’ yang amat besar. 

Bersedialah mulai sekarang atau lebih baik sudah menyimpan wang ‘berdikit-dikit’ sejak awal tahun lagi. Ya, dalam keghairahan anak-anak menghabiskan cuti panjang, ibu bapa dan penjaga perlu berwaspada akan kewangan mereka; sudah bersediakah untuk menggalas kepayahan tahun baharu? 

Tahun baharu bermakna banyak bayaran perlu dibereskan. Bagi mereka yang ada ‘ramai’ anak bersekolah, bersedialah kerana kos menghantar kembali anak-anak ke sekolah bukannya murah; jika seorang anak memerlukan RM200, lima orang anak sudah berjumlah RM1,000!

Penyediaan ini belum lagi membabitkan pakaian, kasut dan beg serta bayaran pengangkutan seperti bas sekolah. Bagi seorang anak yang bersekolah rendah wang RM200 mungkin tidak cukup untuk dia membereskan pelbagai yuran dan juga pembelian buku kerja dan latihan.

Ini kerana selain sekolah biasa, dia juga perlu ke sekolah agama rakyat yang biasanya diadakan pada sebelah petang. Biasanya yuran dan buku tulis bagi sekolah agama ini mencecah RM100, jadi bakinya hanya RM100 untuk membereskan pelbagai yuran sekolah biasa. Cukupkah jumlah itu?

Bagi anak-anak yang tinggal di sekolah berasrama penuh, yuran dan pelbagai bayaran lain boleh mencecah sehingga RM1,000 seorang anak. Dicampurkan dengan yuran asrama, PIBG dan sebagainya, wang RM1,000 itu pun dibimbangi tidak mencukupi. 

Cuba bayangkan beban sebuah keluarga jika mereka mempunyai tiga orang anak bersekolah rendah dan dua orang di sekolah menengah berasrama penuh. Kos yuran persekolahan mereka saja sudah mencecah RM2,600! Bagaimana pula kos pakaian dan peralatan sekolah, tambang dan duit poket? Nampaknya terpaksalah ibu bapa mengikat perut, berpinar-pinar biji mata memikirkan duit yang perlu disediakan.

Bagi kakitangan kerajaan dan pekerja swasta yang bergaji tetap, mungkin mereka boleh berasa lega sikit kerana kemungkinan mendapat bonus akhir tahun; tetapi bagaimana nasib pesawah, penoreh getah serta peneroka dan lebih malang lagi mereka yang diberhentikan kerja baru-baru ini. Sedih memikirkan bagaimana mereka mahu memenuhi kehendak anak-anak yang mendayu-dayu meminta dibelikan peralatan dan kelengkapan persekolahan.
Biasanya apabila tahun baharu menjelma, akan berlaku pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang sudah pasti mencengkam rakyat marhain. Harga barangan keperluan harian seperti beras, tepung, gula, susu, minyak masak, ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran dibimbangi akan naik, sekali gus membebankan golongan berpendapatan rendah. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus yang menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan ternyata ‘mencengkam’ dan ‘menyeksa’ rakyat.

Rakyat marhain juga khuatir jika bayaran perkhidmatan seperti tarif elektrik, air dan aneka jenis cukai akan naik yang memerlukan mereka berbelanja lebih sedangkan pendapatan mereka tidak berubah sekalipun tahun sudah bertukar. 

Malah yang sudah jadi penganggur (diberhentikan kerja) bagaimana mereka mahu menampung kos penghidupan mereka? Ya, kasihan sungguh akan golongan ini.

Wahai pemimpin, sedarlah adalah amat memerit serta memedihkan kerana perkhidmatan asas seperti air dan elektrik juga memerlukan rakyat melunaskan GST, jadi ‘tak hairanlah’ duit mereka kini tidak cukup untuk membeli barangan keperluan. Jadi terjadilah pemadangan meremukkan hati seperti seorang kanak-kanak meletakkan kembali roti yang hendak dibelinya demikian juga seorang suri rumah memulangkan sepaket tepung seperti yang saya saksikan tempoh hari!

Friday, October 21, 2016

The fruitless tree…

In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful; blessings and peace be upon Prophet Muhammad s.a.w.

Reflection

The Declining Day (Al-'Asr)
1. By the declining day,
2. Lo! Man is in a state of loss,
3. Save those who believe and do good works, and exhort 
one another to truth and exhort one another to endurance.
***
“BEFORE I learned about Muslim,
I learned about The Qur’an first.
If I learned about the Muslim first before the Qur’an,
I would have never became a Muslim,
Because Muslims is not perfect but Islam is.” – Yusuf Islam@ Cat Stevens

I attended a ‘kuliuh subuh’ (early morning lesson) at a ‘masjid’ near my house last Sunday, September 25th where the ustaz commented that nowadays ‘knowledge could be gained anywhere’ for example from classes in masjids, via mass media such as TV, by using social media such as Facebook and Youtube but in true sense ‘kebarakahan ilmu’ (blessedness of knowledge) is fast disappearing from us.

The ustaz made a comparison to the way of living of people of the past for example during our father our grandfather prime times; then they only had one or two ustazs in a kampung or none at all and there were hardly any ‘tazkirah’ (lesson) at the masjid, but once the people got inputs from once in a blue moon ‘tazkirah’, they put it into action. In this way, good deeds flourished and the bad ones were only committed once in a while.

He claimed that nowadays there are many ustazs and ustazahs around – they are giving lectures almost ‘around the clock’ including by using latest gadgets - but the irony of it if we were to open up our hearts and eyes we would realized that our society is getting worse by each day. The people do not put into action to what they had learned and sadly there are ustazs and ustazahs themselves do not walk their talk.

Subhanallah, the blessedness of knowledge is getting ‘thinner and thinner’ by each day, said the ustaz. Negative traits and crimes are on raise; what has become to our society when crimes unimaginable to us some time ago such as killing ones parents or spouse kept on filling the pages of our newspapers! One way knowledge ‘is taken away’ from us is more and more ‘ulamas’ (Islamic scholar) had left us for the Hereafter (died). The death of an ‘ulama’ is a great loss and disaster to us, he said.

After his lesson, I met the ustaz to have a clear picture on the subject about 'ilmu' and 'amal' (knowledge and the practicing of it or putting it into action). Among others, I mentioned to him about the sayings of Yusuf Islam or Cat Stevens (above) that he would never be a Muslim if he were to look at the doing of Muslims.

The ustaz said 'ilmu' and 'amal' are intrinsically and inexorably tied together, complementing one another. For any action to be correct, it has to be based on true knowledge. Knowledge that is not put into practice is of no benefit, regardless how correct that knowledge might be.

He then read a wise man saying that knowledge without action is like a tree without fruit. Ibn Hazm mentioned that from the benefits of knowledge is that it repels evil whispers from the soul and it rids one of the worries and troubles. This is especially true for the one who loves knowledge, who studies constantly, and who applies in practice what he has learned. The student of knowledge should distribute his time between memorizing, reading, revising, researching, and reflecting.

The ustaz said he agreed with the words of Yusuf Islam. Its tally of the saying of a Muslim thinker who said he found the values of Islam being practiced in Western countries while the Muslims themselves distanced away from its teaching. By looking and studying the conduct and way of living by the nonpracticing Muslims even if they are knowledgeable, a non-Muslim would not have noticed the beauty of Islam. Thus they would not be attracted to the religion. By the way, Islam is not only a religion but a way of life.

Knowledge is the key to serenity and ease, said 'Aaidh ibn Abdullah al-Qarni in his book Don't Be Sad. "Knowledge and an easy-going nature are like two inseparable companions: if the first is present, the other can be counted upon to accompany it. 

"If you study the lives of Islam's greatest scholars, you will find that they led simple lives and that they were easy to deal with. They understood the purpose of life and knew which issues were paramount and which were less important.
 

"Meanwhile, you will find that the most obstinate of people are those who, without having knowledge, are ascetics. They misunderstand revealed texts and are ignorant of religious issues."
 

Muslims were also taught about beneficial knowledge and the fruitless ones. In the Qur'an 30: 56 Allah SWT says, "And those who have been bestowed with knowledge and faith will say: 'Indeed you have stayed according to the Decree of Allah, until the Day of Resurrection, but you knew not'.
 

There is knowledge that is useful and there is knowledge that is harmful. As for the knowledge that is useful, the believer's faith strengthens as a result of it; on the other hand, the disbeliever does not reap any benefit whatsoever from gaining this kind of knowledge; though the information required is the same, the results are very different.
 

Allah SWT says of His enemies: "They know only the outside appearance of the life of the world (i.e. the matters of their livelihood, like irrigation or sowing or reaping, etc.) and they are heedless of the Hereafter." (Qur'an 30: 7).
 

So gaining knowledge is important but the most important is how to use or handle it accordingly for the benefit of oneself and others, not only in this world but in the Hereafter.
 

It is useless to gain knowledge if the person involved only thinks about his or her personal benefits derived from it or becomes ignorant, proud and doesn't remember Allah SWT at all.
 

Nowadays how many times have we witnessed people with higher education being brought to the courts for misconduct such as being involved in bribery, breaching trusts and stealing monies and being involved in various scandals. And those in power do whatever they wished, sometimes to the extend that even laws are at their feet.


Remember what Allah has to say about the Jews who had abundant knowledge but became ignorant. "The likeness of those who were entrusted with the Torah, but who subsequently failed in those (obligations), is as the likeness of a donkey who carries huge burdens of books (but understand nothing from them). How bad is the example of people who deny the Ayaah (proof, evidence, signs, verses, etc.) of Allah. (Qur'an 62 ; 5).

In gaining knowledge and putting them into practice we hope to be among the seven groups of people who will be rewarded handsomely as promised by Allah SWT. 

In a hadith narrated by Abu Hurairah, the Prophet s.a.w. said, “"Seven people will be shaded by Allah under His shade on the day when there will be no shade except His. They are: (1) a just ruler; (2) a young man who has been brought up in the worship of Allah, (i.e. worship Allah (Alone) sincerely from his childhood), (3) a man whose heart is attached to the mosque (who offers the five compulsory congregational prayers in the mosque); (4) two persons who love each other only for Allah's sake and they meet and part in Allah's cause only; (5) a man who refuses the call of a charming woman of noble birth for an illegal sexual intercourse with her and says: I am afraid of Allah; (6) a person who practices charity so secretly that his left hand does not know what his right hand has given (i.e. nobody knows how much he has given in charity). (7) a person who remembers Allah in seclusion and his eyes get flooded with tears." 

Islam stressed the importance of knowledge; Muslims, men or women are asked to learn and enrich themselves, to seek knowledge from the cradle to the grave, a hadith said: “Seeking knowledge is incumbent upon every Muslim, male and female.” (Bukhary and Muslim) 

No matter what kind of knowledge are there, all for the benefits of this world and Hereafter, every Muslim should study and try to be a kind hearted believer, and get success in this world and Hereafter. A hadith said: “He who wants to be successful in this world, then he must have knowledge; he who wants to get successful in the Hereafter, then he must have knowledge; he who wants to get successful in this world and Hereafter, then he must have knowledge.” (Bukhary and Muslim)

A learned person should practice what he himself preaches, and spread his or her knowledge to other people. But, please do remember that 'ilmu' without 'amal' is like a tree without fruit. For a practicing scholar he will be holding a higher rank in front of Allah and in social community as well. The Qur’an says: “Allah will exalt those who believe among you, and those who have knowledge, to high ranks.” (58: 11) 

Tuesday, October 18, 2016

Berundur secara terhormat jika kalah pilihan raya

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

TANGGAL 8 November ini dunia akan menyaksikan penuh debaran pilihan raya presiden Amerika Syarikat. Pertarungan kali ini berlegar pada calon parti Demokratik, Hillary Rodham Clinton dan calon Republikan, Donald Trump walaupun ada calon daripada parti lain dan bebas.

Di negara maju adalah biasa untuk sesebuah parti politik itu silih berganti bagi menerajui negara. Di Amerika Syarikat pertarungan utamanya adalah antara parti Demokratik dan Republikan. Pemimpin parti yang tewas akan berundur secara terhormat, tidak timbul langsung akan mempertahankan Rumah Putih ke titisan darah terakhir seperti diucapkan sesetengah pemimpin kita.

Di Britain kita dapat saksikan bagaimana secara terhormat perdana menterinya seperti  David Cameron atau sebelumnya Tony Blair melepaskan kuasa; demikian juga di Perancis dan Jerman, pemimpin mereka dapat menerima kekalahan dengan terhormat.

Kalah dan menang dapat diterima ‘seadanya’ tetapi di negara sedang membangun termasuk negara kita,  kebanyakan pemimpinnya tidak bersedia menerima kekalahan apatah lagi untuk berundur secara berhormat. Mereka mahu menang saja, itulah sebabnya sebelum pilihan raya pun, dijalankan pelbagai langkah bagi memenangkan parti masing-masing seperti melakukan persempadan semula kawasan pilihan raya. Yang penting ‘aku mahu berkuasa’ dulu kini dan selamanya, tidak kisahlah sama ada kaedah Machiavelli (matlamat menghalalkan cara) diguna pakai.

Sebagai negara di ambang status negara maju (pemimpin kerap menguar-uarkan negara akan mencapai status ini pada 2020), diharapkan pemimpin kita dapat mencontohi kesediaan pemimpin negara maju berundur secara terhormat jika mereka tidak mendapat sokongan rakyat atau tewas dalam pilihan raya.

Pemimpin perlu menyedari sejarah mencatat mereka yang berada terlalu lama di puncak kuasa, menjadi kebencian rakyat. Ferdinand Marcos (Filipina), Suharto (Indonesia) dan Idi Amin (Uganda) adalah contohnya. Mereka disusuli diktator Zine el Abidine Ben Ali (Tunisia). Hosni Mubarak (Mesir) dan Muammar Gaddafi (Libya).

Di Syria,  Bashar Al-Assad (Syria) tidak sesekali mahu menyerah kedudukan presiden sekalipun ratusan ribu rakyatnya sudah mati dalam konflik tidak berkesudahan. Orang ramai membencinya tetapi dia terus mahu berkuasa.

Dalam dunia politik antarabangsai, nama bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela (meninggal dunia pada Disember 2013) tetap terpelihara. Penerima Hadiah Nobel Keamanan ini hanya menjadi presiden sepenggal cuma (selama lima tahun selepas menang pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan pada April 1994).

Pada pilihan raya umum Afrika Selatan 1999, Mandela yang memimpin Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berpeluang menang besar dan kembali menjadi presiden buat penggal kedua, tetapi tokoh yang pernah meringuk 27 tahun dalam penjara memilih untuk berundur, memberi peluang kepada timbalannya, Thabo Mbeki menerajui negara.

Mandela adalah contoh negarawan hebat, beliau enggan berada di puncak kuasa buat tempoh masa lama, bagi beliau cukuplah sekadar meletakkan asas kepada pembentukan negara Afrika Selatan baru yang didirikan di atas kuburan dasar aparteid yang membelenggu negara itu berabad-abad lamanya.

Hal ini amat berlainan dengan diktator-diktator dunia Arab yang mahu terus berkuasa ‘dulu, kini, dan selamanya’ semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya yang menunjukkan mereka dapat sokongan hebat – lebih daripada 90 peratus undi.

Mubarak, Saddam Hussein (Iraq) dan Ali Abdullah Saleh (Yaman) bukannya tidak melalui pilihan raya malah setiap kali kemenangan lebih 90 peratus dicatatkan, menyakinkan mereka untuk terus berkuasa. Jelas rakyat tidak dapat mengubah mereka melalui pilihan raya yang tidak telus dan adil tetapi cara lain termasuk melalui jalan raya.

Tentunya kita tdak mahu hal ini berlaku di negara kita, oleh itu wahai pemimpin yang tidak mendapat sokongan rakyat, bersedialah berundur secara terhormat. Berundurlah bagaikan ‘gentleman’ seperti ditunjukkan Cameron, Blair, Nicholas Sarkozy (Perancis)  tetapi percayalah pemimpin yang berdegil untuk berkuasa ‘dulu, kini dan selamanya’ seperti Marcos dan Suharto 'dinyahkan' rakyat manakala Bashar Al-Assad, insya-Allah juga akan ditunjuk jalan keluar!

Sunday, October 16, 2016

Ummah dihina kerana tidak tegak hukum Allah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Maksud Ayat 56 Surah Adz-Zariyat)
***

REJIM Israel mengganas dan terus mengganas. Terbaru Tel Aviv bertindak kejam menyerang bot bantuan aktivis wanita, 'Zaytouna-Olivia' ke Gaza yang turut disertai seorang aktivis Muslimat Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan. Syukur beliau selamat dan sudah kembali ke pangkuan keluarga.

Permasalahan Israel dengan dunia Islam sudah berlarutan berdekad-dekad, jelas sekali rejim ini tidak takut dengan sebarang negara Islam (penduduknya majoriti orang Islam). Tentu ada sebabnya...ada pemikir berkata rejim ini hanya gentar jika umat Islam termasuk pemerintahnya kembali kepada Islam sepenuhnya. 

Hari ini bukan saja umat Islam Palestin dihina sedemikan rupa tetapi juga Muslim di serata dunia terutama di negara mereka adalah kumpulan minoriti seperti di China (Muslim Uighur dianiaya), di Myanmar (membabitkan orang Rohingya), di Kashmir (India) dan di selatan Filipina.

Sehubungan itu sempena tahun baru Hijrah 1438 alangkah elok jika pemimpin dan ummah bermuhasabah diri, mengkoreksi dan memperbaiki apa-apa kelemahan yang menyebabkan umat Islam seluruh dunia dihina sedemikian rupa. 

Hakikatnya selepas kebanyakan tanah air umat Islam dijarah penjajah dan daulah Khilafah Islam terakhir, Uthmaniyah tersungkur pada 1924, kehidupan umat semakin jauh daripada panduan Allah dan Rasul-nya termasuk dari segi pemerintahan.

Selagi umat Islam terutama pemimpinnya tidak kembali kepada panduan Allah dan Rasul-nya (termasuk melaksanakan semua hukum hakam Islam tidak terkecuali hudud) selagi itu penghinaan akan dihadapkan kepada umat ini. 

Kini dari China ke Afrika Selatan, dan dari Amerika Syarikat ke Australia, umat Islam hidup penuh tekanan sehinggakan di negara yang mengaku negara Islam contoh, hukum-hakam Islam dicemuh walaupun baru ada ura-ura melaksanakan sebahagian daripadanya.

Selagi sebahagian besar pemimpinnya dan juga pemimpin negara umat Islam masih berkiblatkan Washington, London dan Moscow, selagi itulah ummah akan dihina. Adalah dibimbangi selepas Iraq dan Afghanistan dihancur-leburkan oleh Amerika Syarikat, ada lagi negara umat Islam akan menjadi mangsa; gara-gara ummah tidak kembali kepada panduan Allah dan Rasul-Nya.

Isu Palestin adalah sandiwara Barat, terutama oleh Amerika Syarikat yang pemimpinnya berterusan menjalin hubungan kejap dengan rejim Zionis. Beberapa presiden Amerika berjanji menjalin hubungan baik dengan dunia Islam, hakikat itu hanyalah menanam tebu di bibir, kini Palestin dan rakyatnya terumbang ambing tidak bernegara dan beridentiti (berdaulat) dan akan berterusan menghadapi kekangan, cengkaman, serangan serta pencabulan rejim ganas Zionis.

Selain Amerika Syarikat yang mengaku penegak demokrasi dan keamanan dunia tidak serius dalam menyelesaikan masalah Palestin, pertubuhan antabarangsa seperti PBB juga bertindak sama. Persoalannya mengapakah nasib rakyat Palestin dan umat Islam minoriti tidak dihirau masyarakat antarabangsa termasuk PBB tetapi rantau bukan Islam seperti Selatan Sudan dan Timor Timur (kini Timor Leste) diutamakan untuk mendapat kemerdekaan, malah tidak menghadapi masalah diiktiraf oleh badan dunia itu.

Lebih mengusarkan kerana dunia Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang memayungi lebih 50 negara umat Islam, berterusan mendiamkan diri dalam permasalahan Palestin. OIC yang ditubuhkan pada 25 September 1969 selepas berlaku kebiadapan Yahudi membakar Masjid al-Aqsa iaitu kiblat pertama umat Islam, dilihat bisu dalam isu tuntutan Palestin sebagai negara berdaulat.

OIC lesu dalam menangani permasalahan ummah apatah lagi pada peringkat lebih tinggi seperti permohonan Palestin untuk diiktiraf sebagai negara berdaulat in. Hari ini isu kebiadapan rejim Zionis-Yahudi yang menjadi titik tolak penubuhan OIC tetap gagal ditangani.

Tangan-tangan zalim rejim Zionis berterusan mencemar kesucian al-Aqsa dan kawasan sekitarnya di Haram al-Sharif (Temple Mount) manakala nasib orang Palestin tidak berubah sejak puluhan tahun lalu malah menjadi semakin buruk. Ekstremis Yahudi bertindak berani mengorek terowong di bawah al-Aqsa, tetapi apa reaksi ummah, negara dan organisasi yang memayungi mereka? Jika badan dunia seperti PBB tidak dapat diharapkan, mengapa OIC, negara dan umat Islam masih lena tidur?

Apabila umat Islam dan organisasi memayungi mereka seperti OIC membisu, musuh-musuh semakin berani menindas dan menghina umat Islam di seluruh dunia. Lihatlah apa yang terjadi kepada saudara se-Islam di negara di mana mereka kumpulan minoriti seperti di Myanmar, China, Rusia, Thailand, India dan Filipina.

Muslim Rohingya, Uighur, Chechnya, Melayu, Kashmir dan Moro menjadi mangsa; sesetengahnya diperangi dan dihalau dari kampung halaman masing-masing. Namun apa dibuat oleh OIC dan negara Islam yang bernaung dalam organisasi ini? Paling kuat mereka mengeluarkan kenyataan mengutuk, lebih menyedihkan sebahagian besar daripadanya memilih membisu seribu bahasa.

Bukan saja umat Islam minoriti dizalimi, malah negara ummah anggota OIC seperti Iraq dan Afghanistan dijarah sepuas-puasnya oleh kuasa biadap tetapi ummah terutama pemimpin mereka mendiamkan diri. Tiada yang berani menyatakan yang hak dan batil malah ada pemimpin bersengkokol dengan musuh untuk menghancurkan Islam.

Kemudian pemimpin zalim, sekutu dan pengikutnya yang menjarah negara umat Islam tanpa segan silu menuduh pula orang Islam sebagai pengganas dan memburu mereka di seluruh dunia. Umat Islam mengiyakan saja, malah sesetengahnya berganding tenaga membantu musuh. Dengan bantuan media massa dikuasai mereka, maka tergambarlah seolah-olah penganut Islam itu ganas, agama itu menganjurkan keganasan.

Demkianlah pemimpin dan ummah perlulah bermuhasabah diri; sempena tahun baru Hijrah 1438, kembalilah kepada Islam sepenuhnya untuk mendapat pertolongan dan kerahmatan Allah SWT. Jika ada pihak atau kumpulan ummah mahu menegakkan hukum Allah SWT, bantulah mereka dan jangan dihalangi usaha mereka kerana dibimbangi bukan saja kita akan mendapat pembalasan buruk di akhirat nanti tetapi di dunia lagi kita sudah dihina sedemikian rupa.

Thursday, October 13, 2016

Jurnalis: Antara agama dan kerjaya...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
Artikel dipetik daripada https://syamimijamil.wordpress.com 
Tidak dapat ditolak kepentingan surat khabar dan wartawan dalam menyampaikan maklumat semenjak sebelum kemerdekaan lagi. Pada ketika ini, surat khabar digunakan sebagai alat untuk memupuk semangat kebangsaan serta kemerdekaan. Selain itu, komunikasi adalah untuk politik dan sosio ekonomi.
Perkembangan bidang komunikasi ini bermula selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Sekitar tahun 1970-an, operasi persuratkhabaran di Singapura berpindah ke Kuala Lumpur. Bidang ini mula mendapat perhatian umum dan berkembang dari semasa ke semasa.
Wartawan jugalah yang bertungkus-lumus dalam menyemarakkan semangat demi menuntut kemerdekaan suatu ketika dahulu. Tokoh-tokoh seperti Ishak Haji Muhammad juga dikenali sebagai Pak Sako dan A Samad Ismail terbukti berjasa besar dalam menyumbang tenaga demi kemerdekaan negara.
Harus diketahui bahawa bidang kewartawanan ini bukan sahaja sekadar menyalurkan berita semata-mata, ia bersifat menyeluruh sehingga merangkumi aspek kemasyarakatan, pandangan, dan ekonomi termasuk politik.
Wartawan bukan sahaja melapor, malah perlu bertanggungjawab dalam menulis berita yang tepat, telus dan tersusun. Hal ini bagi memastikan bahawa pembaca jelas berkenaan dengan isu yang dibincangkan.
Menurut bekas wartawan, LanH, kerjaya sebagai wartawan ini adalah kerjaya yang mulia. Dalam dunia yang semakin mencabar sekarang, akhbar boleh menjadi medan untuk memperjuangkan kebaikan tetapi pada masa yang sama juga mempamerkan kejelekan.
Namun begitu, kerjaya dalam bidang kewartawanan kini dianggap sebagai salah satu kerjaya yang popular kerana ramai beranggapan kerjaya ini paling hampir dengan golongan kenamaan kerana berpeluang mendapat maklumat lebih awal berbanding orang lain.
Tidak ramai menyedari bahawa tugas seorang wartawan itu sebenarnya mirip kepada tugas pendakwah, iaitu menyampaikan kebenaran. Persoalannya masih adakah kebenaran dalam penulisan masa kini? Ataupun kebenaran itu telah dibuang jauh demi mengejar keuntungan daripada hasil penjualan media terbabit.
Menyampaikan sesuatu yang tidak sahih faktanya ataupun mengubah corak pemberitaan untuk tujuan meraih keuntungan merupakan salah satu contoh wartawan yang tidak beretika.
Etika Kewartawanan
Menerusi buku tulisan Jeniri Amir, Belajar Menjadi Wartawan terbitan PTS Profesional Sdn Bhd penulis berpendapat bahawa tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai bagi mendapatkan maklumat yang benar. Ini bermaksud, wartawan harus menyampaikan maklumat yang tepat buat pembaca.
Dalam melaksanakan tugas ini, wartawan harus benar-benar menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama selagi tidak menyentuh mana-mana isu yang sensitif.
Jika terdapat sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar dan tidak tepat wartawan terbabit harus memperbetulkannya.
Wartawan yang beretika perlu berbudi pekerti semasa menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme, fitnah dan hasutan atau tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun.
Wartawan perlu menghindarkan siaran berita atau rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia.
Dalam perspektif Islam pula, pengamal kewartawanan Islam harus menyedari teori kewartawanan dan pendekatan mencari dan menyebarkan berita telah disimpulkan dalam salah satu ayat al-Quran.
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian menjadi orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu sendiri. Jika ia (orang yang dianiaya) kaya ataupun miskin maka Allah lebih tahu keperluan kedua- duanya. maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran dan jika kamu memutar-balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan. (Surah al-Nisa’ : 135)
Mana-mana wartawan berjuang dengan ikhlas mencari berita yang benar dan menyampaikan kebenaran itu kepada masyarakat sebenarnya menjalankan tugas murni di sisi Islam.
Namun etika kewartawanan Islam ini semakin tidak dihayati sebahagian pengamal media hari ini. Selama mana kita tidak berpegang kepada etika kewartawanan Islam, selama itulah kita tidak mampu pergi jauh dan menjadi sumber berita yang mempunyai kredibiliti serta diterima ramai.
Mungkin pada dasarnya, dapat meraih keuntungan dengan gaji yang tinggi namun selama mana kita mampu untuk terus hidup dalam penipuan seterusnya berdosa di sisi agama?
Islam begitu mementingkan kebenaran bukan saja dalam laporan pemberitaan bahkan dalam segenap aspek kehidupan kita. Contohnya, pada sifat Rasullulah s.a.w. yang terkenal ‘al-Siddiq’ yang membawa maksud benar dalam tutur kata dan tingkah laku.
Tanggungjawab atau dosa?
Menyampaikan sesuatu yang tepat dan benar bukanlah merupakan masalah yang besar buat seorang wartawan Islam. Hal ini kerana, Malaysia masih ambil berat mengenai isu kesahihan sesuatu perkara, selagi perkara tersebut tidak sahih selagi itu tidak akan disiarkan kepada umum.
Namun cabaran terbesar buat wartawan khususnya yang beragama Islam adalah apabila mereka berada di persimpangan antara kerjaya dan tuntutan agama.
Seperti kita semua sedia maklum bahawa sudah menjadi tugas wartawan untuk mencari sesuatu yang unik dan luar biasa untuk dikongsi mahupun diselongkar buat tontonan umum.
Semasa menjalankan tugasan sebagai wartawan, adakalanya mereka akan di tugaskan oleh pihak atasan untuk menjalankan sesuatu tugasan. Sekiranya wartawan terbabit diberi tugasan membuat liputan di kilang arak atau melaporkan liputan laporan tahunan syarikat arak yang terkemuka di negara sebagai contoh, wartawan terbabit tidak punya hak untuk mengelak dari melakukan tugasan. Di sinilah keimanan mereka akan diuji.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maaidah: Ayat 90)
”Diriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Rasulallah s.a.w. telah melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak iaitu, orang yang memerah arak, orang yang diminta arak diperah untuknya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawa arak kepadanya, orang yang memberi minum arak kepada orang lain, orang yang menjual arak, orang yang mendapat hasil daripada arak, orang yang membeli arak, dan orang yang meminta dibelikan arak untuknya." (Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)
Pastinya dosa yang besar menanti wartawan yang membuat liputan berkenaan dengan syarikat arak.
Memetik kata-kata LanH dalam buku beliau yang bertajuk Travelog Wartawan Islam terbitan Kemilau Publika: “Menunggu prospek sumber berita merupakan salah satu tugas sebagai wartawan."
Semua wartawan dari pelbagai akhbar akan menyerbu sebaik sahaja ‘sumber berita’ berkenaan keluar daripada bilik mesyuarat. Menunggu kemunculan VIP di lapangan terbang juga merupakan salah satu tugas wartawan.
Namun begitu, terkadang mereka harus menunggu berjam-jam lamanya untuk melakukan sidang media. Menurut beliau lagi, di sini wartawan Muslim akan merasa resah berikutan tidak dapat menunaikan solat.
Hal ini kerana, sekiranya wartawan terbabit menunaikan solat, berkemungkinan besar untuk mereka terlepas prospek sumber berita. Sudah pasti akan mendapat habuan apabila pulang dengan tangan kosong ke pejabat nanti.
Cabaran seumpama ini merupakan cabaran terbesar buat seorang wartawan Muslim, dalam memilih untuk menunaikan solat mahupun menunggu sidang media yang belum tentu bila akan bermula.
Mengelirukan pembaca
Kebanyakan bahan yang disiarkan di dalam akhbar kini banyak memberi dan menambahkan pengetahuan pembaca, namun tidak ketinggalan yang menyajikan sesuatu bahan yang tidak baik.
Sebuah akhbar kini banyak berdiskusi berkenaan dengan isu halal haram terutama di ruangan rencana. Sebagai contoh rencana yang menceritakan perihal isu sosial remaja kini, memberi pencerahan mengenai kewajipan menutup aurat, tetapi akhbar yang sama menyiarkan gambar-gambar artis yang tidak menutup aurat atau bergaul dengan mesra dengan artis lelaki yang bukan muhrim.
Pembaca semakin keliru dengan konsep yang cuba dibawa oleh sesebuah akhbar yang ternyata jauh tersasar daripada landasan Islam yang sebenar. Secara tidak langsung, konsep berbeza yang digunakan akan menyebabkan masyarakat menjadi rosak.
Pecanggahan ini mungkin nanti akan melahirkan masyarakat yang tidak mengenali konsep halal dan haram sebenar didalam islam.
“Pemikiran sekular seperti ini juga wujud dalam syarikat akhbar. Melalui majalah agama, segala kebaikan dan kemurnian agama akan ditonjolkan. Tetapi pada masa yang sama syarikat itu juga mengeluarkan bahan media yang bertentangan,” tulis LanH.
Seterusnya masyarakat yang kurang ilmu agama akan terus keliru dan akan terus hanyut jauh dari konsep Islam.
Di sebalik sesebuah karya
Dalam bidang komunikasi massa, setiap individu harus bekerja dengan individu lain dalam menghasilkan sesebuah karya, sama ada bercetak mahupun elektronik. Seseorang wartawan memerlukan jurugambar untuk menghasilkan berita yang berkesan.
Selain itu, dalam menghasilkan sebuah tulisan sebagai contoh, banyak pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Bermula daripada wartawan, jurugambar sehinggalah ke penyunting seterusnya ke pengarang berita.
Tugas seorang penyunting adalah untuk menyunting berita termasuklah bertanggungjawab dalam menyusun atur grafik. Sekiranya penyunting tersebut diarahkan untuk menyunting sebuah tulisan berkenaan artis di dalam dunia hiburan, sudah pasti penyunting tersebut harus menyusun atur gambar-gambar yang menonjol, bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim atau harus menyunting kisah kehidupan artis yang belum sahih kebenaranya.
Situasi yang sama juga akan berlaku buat wartawan dan jurugambar yang terbabit dalam menghasilkan berita dan mengambil gambar dengan aksi yang tidak cocok untuk tontonan umum atau yang tidak bertepatan dengan norma masyarakat Malaysia.
Buat mereka yang mengambil mudah, sudah pasti tugasan ini bukan suatu tugasan yang mencabar. Tetapi bagaimana pula kepada mereka yang menitikberatkan soal hal berkenaan dosa dan pahala?
Harus disedari bahawa hasil kerja tangan ini dikira bersubahat kerana membantu atau terlibat dalam menyiarkan berita dan gambar menghairahkan. Mereka juga turut menanam saham dalam merosakan akhlak masyarakat yang membaca atau melihat gambar yang disiarkan.
Ibadah
Tugas sebagai wartawan ini merupakan ibadah. Jelas LanH, wartawan mempunyai peranan dan saham yang besar dalam membangunkan ummah dan negara yang memiliki bangsa yang bejaya.
Namun adakah masih dikira sebuah ibadah sekiranya berita yang disampaikan berat sebelah, fakta yang tidak tepat, memuatkan iklan empat nombor ekor, fitnah, gosip artis dan sebagainya?.
“Adakah juga ‘hasil titik peluh’ iaitu gaji yang diperoleh dianggap halal untuk diberi makan kepada keluarga?” tegas LanH.
Jelas beliau, wang gaji yang diterima setiap bulan adalah daripada hasil kerja subahat yang boleh diragui. Apabila wang tersebut digunakan, daging-daging daripada rezeki yang tidak halal akan mula tumbuh. Daging yang tumbuh daripada rezeki yang haram ini akan menjadi bahan api di neraka kelak.
“Daging yang tumbuh akibat daripada makan harta haram akan dibakar oleh api jahanam.” (Riyawat al-Baihaqi dan Abu Naim)
Selain itu, kehidupan sebagai wartawan akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan memerlukan kekuatan mantal dan fizikal yang kuat dan kental.
Sokongan daripada orang terdekat seperti sahabat dan keluarga sangat penting bagi memastikan seseorang itu kuat dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan sebagai perantara dan menyebar maklumat buat pembaca namun masih berpegang teguh pada ajaran agama.
Adakalanya sehingga tidak punya masa untuk bercuti atau meluangkan masa bersama keluarga. Pengorbanan seorang wartawan begitu besar, tetapi apakah ia benar-benar memberi manfaat kepada seseorang di akhirat?
Justeru, dalam menjadi Muslim sejati pada masa yang sama wartawan yang berkaliber, sesorang itu harus bijak dalam mencari ruang pekerjaan. Dewasa kini, terdapat banyak peluang pekerjaan yang menunggu untuk penuhi oleh wartawan Muslim.
Selagi mampu, adalah lebih baik jika mencuba untuk jadikan pekerjaan sebagai amalan dan bekalan di akhirat kelak. Oleh itu, kita haruslah berusaha untuk bekerja di bawah syarikat yang berteraskan Islam, bukanya Islam pada nama semata.
Mencari pekerjaan yang betul dan selari dengan landasan yang telah disusun oleh Allah SWT. Adalah penting bagi memastikan kita dapat bekerja dan pada masa yang sama dapat menyumbang sesuatu yang bernilai untuk kegunaan ummah.
Diharap corak kerjaya kewartawanan dan industri komunikasi massa akan berubah mengikut rentak yang telah disyariatkan oleh Islam dengan menghasilkan bahan berinformasi bebas daripada unsur Barat yang melalaikan.
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan mereka sendiri.” (Surah Al-Ra’d ayat 11)