SUATU hari bapa mengajak saya ke BSN. Katanya, hendak tunaikan wang BR1M. Di depan BSN, saya menunggu dalam kereta (parkir penuh), bapa ke bank. Lima minit kemudian dia datang dengan senyuman. Ertinya dapatlah dia wang BR1M. Katanya, RM350 - syukur, Alhamdulillah.
Bapa menghulur saya RM50. Saya menolak. Tetapi saya tahu 'taktik' bapa. Dia tahu saya 'susah' menerima wang daripadanya, jadi dia akan 'hulurkan' kepada cucu-cucunya termasuklah anak-anak saya. Duit RM350 itu sekejap saja akan habis. Selepas diagih-agihkan kepada cucu-cucunya yang ramai dan membeli makanan kesukaannya seperti mi rebus terkenal di kampung kami dengan tujuan menjamu selera anak isteri dan cucu, kedudukan kewangannya 'walhasil balik asal'.
Seorang dua jiran kami juga menerima bantuan. Ada kalanya emak saya menziarahi mereka, bertanya khabar - mereka tetap bersyukur tetapi berkata "tiada benda yang boleh dibuat dengan wang tu, kejap saja sudah habis."
Orang tua-tua ini apabila 'bersembang' ada saja mutiara kata 'tersembur' daripada mulut mereka. Mereka menyebut beberapa peribahasa. Apabila emak saya menyebut 'hulur cabuk tarik pacal', tercengang saya dibuatnya. Sungguh, saya tidak pernah mendengar 'peribahasa' ini. Saya cuba 'mencari' dalam 'tok guru Google', tidak juga saya ketemui secara jelas maksud 'mutiara kata' ini.
Selepas gagal dalam usaha itu, maka 'dengan tidak malunya' saya bertanya balik emak saya apa yang dimaksudkan dengan 'peribahasa' itu. Mula-mula emak saya menerangkan akan makna 'cabuk' dan 'pacal'. Kedua-duanya seakan-akan ikan parang tetapi 'cabuk' adalah ikan kecil manakala 'pacal' pula adalah ikan besar.
Pencarian saya dalam kamus, membuktikan apa yang dicakap emak saya itu benar. Cabuk dan pacal adalah dua jenis ikan. Jadi 'hulur cabuk tarik pacal' bermaksud mengumpan sesuatu yang kecil dengan bermaksud untuk mendapatkan habuan besar.
Jadi 'orang kampung' pun tahu bahawa tindakan menghulur BR1M (cabuk) adalah untuk menarik (mendapatkan) pacal (habuan besar). Mungkin semua orang sudah tahu, tetapi kebanyakan mereka 'buat-buat tak tahu'. Tetapi dalam 'buat-buat tak tahu tu', mereka tetap mengeluh - "tak banyak barang yang boleh dibeli dengan RM50 sekarang ini!"
Ya, sebahagian besar 'golongan sederhana' setiap kali ke kedai runcit untuk membeli barangan keperluan harian yang basah seperti ikan dan kering seperti cili dan bawang jika membawa RM50; apa yang dapat dibeli mereka? Ikan cencaru atau kembong saja sudah RM12 sekilogram; udang tak payah cakaplah...RM30 sekilogram biasalah, manakala daging tempatan RM20 ke atas sekilogram.
Kalau keluarga besar RM50 sehari itu mungkin tak cukup; jadi wang BR1M sebanyak RM350 itu boleh bertahan seminggu saja. Maka selepas habis wang BR1M, 'ternganggalah' mereka, terpaksalah menunggu BR1M akan datang...Sewajarnya rakyat diajar memancing bukan makan ikan saja!
Demikianlah terlalu 'tension' kita rasakan hidup ini. Sukar mendapatkan ketenangan. Harga barangan keperluan harian sentiasa naik; demikian juga kos sara hidup lain seperti tambang pengangkutan awam, bayaran tol dan caj perkhidmatan seperti bil elektrik dan air. 'Semuanya' naik mencanak tetapi gaji tak naik-naik.
Pemimpin menghulur BR1M (cabuk) tetapi mereka mahu 'menyentap pacal'. Ringkas cerita, mereka mereka mahu undi rakyat untuk menang pilihan raya seterusnya boleh berkuasa 'dulu, kini dan selama-lamanya'.
Malangnya selepas menang besar dalam pilihan raya, kebanyakan janji tinggal janji. Ramai pemimpin berjanji mahu beri kesenangan pada rakyat, rupa-rupanya rakyat makin sengsara. Ya kebanyakan pemimpin menghulur cabuk tetapi hasrat sebenar adalah untuk menarik pacal!
No comments:
Post a Comment