Thursday, December 10, 2015

Media, merdekalah daripada Umno BN!

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)


PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Bukit Katil, Melaka 26 November lalu mengingatkan bahawa salah satu kongkongan kerajaan Umno BN yang masih belum 'dimerdekakan' adalah media massa.

Mohamad berkata 'kebebasan' media massa adalah penting dalam membuat perubahan. Beliau mengambil contoh pengamalan media massa Indonesia yang bukan saja berperanan penting ke arah perubahan bagi menjatuhkan diktator Suharto pada pengakhiran abad lalu malah sehingga kini termasuklah ketika berlangsungnya pilihan raya umum (Pemilu).

Presiden Amanah itu berkata perubahan termasuk dalam bidang media perlukan komitmen semua pihak..."dulu kita bekerja kuat untuk menghapuskan sekatan terhadap perhimpunan dan ceramah, sekarang kita sudah dapat hasilnya..." katanya mengambil contoh ceramah anjuran Amanah di Bukit Katil itu yang secara 'mata kasar' tidak kelihatan pun seorang anggota polis.

Dulu pada hampir setiap majlis pihak pembangkang sentiasa diawasi sejumlah anggota polis beruniform; tidak cukup dengan itu mereka membuat sejumlah sekatan jalan raya. Sekarang senario itu hampir tiada lagi...demikianlah kata Mohamad yang meminta rakyat bekerja kuat bagi 'membebaskan' media massa daripada belenggu Umno BN.

Bagi saya permintaan Mohamad agar rakyat terus berjuang bagi mengakhiri kongkongan pemerintah Umno BN bertepatan dengan perkembangan semasa yang mana pihak ini 'memperhebatkan' kezalimannya ke atas media massa apabila membuat pengumuman akan 'mengharamkan' semua media termasuk daripada apa didakwa media arus perdana daripada membuat liputan perhimpunan agung Umno tetapi kemudian menariknya semula.

Tindakan 'mempermain-mainkan' media oleh pemimpin Umno BN adalah 'suatu penghinaan' terhadap semua pihak yang terbabit dalam media. Apabila pihak ini mengumumkan sekatan kepada semua termasuk media arus perdana yang selama ini bagaikan 'kuda tunggangan mereka', mungkinkah mereka bermaksud 'mengisytiharkan perang' terhadap media massa? Namun apabila mula mendapat reaksi negatif termasuk akar umbi, mereka menjadi takut dan membatalkan sendiri larangan yang mereka buat.

Kepada semua petugas media massa bangkitlah daripada 'tidur nyenyak dan panjang'  kerana nampakya pemimpin tertinggi Umno BN tidak mempercayai anda...mereka 'mempermain-mainkan' dan 'memperkudakan' anda untuk kepentingan nafsu serakah masing-masing...anda hanya berguna apabila diperlukan, apabila anda 'tidak berguna lagi' mereka mencampakkan anda ke dalam tong sampah.

Ya, wahai petugas media...tunggu apa lagi? Lakukanlah perubahan...marilah kita bersama-sama mengakhiri belenggu Umno BN. Jika anda mahukan contoh, media massa Indonesia boleh dijadikan teladan. Ketika zaman Suharto mereka seolah-olah 'penjilat' tetapi pada akhir pemerintahan diktator ini mereka 'berpusing 360 darjah'. 

Dulu media Indonesia tidak berani menjalankan peranan ‘check and balance’, kerja mereka banyak mengampu atau menjadi ‘yesman’ atau jurucakap pemerintah sahaja. Bagaimanapun selepas kebangkitan rakyat, media massa berubah mendadak,  daripada pro-rejim Suharto mereka menjadi pro-rakyat.

Media terutama akhbar menyuntik dan menaikkan semangat rakyat untuk menuntut keadilan bagi semua. Suharto akhirnya tumbang bagi membolehkan pilihan raya yang dianggap telus diadakan membawa kepada kepada pemilihan tokoh seperti BJ Habibie, Gus Dur, Megawati  Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan kini Jokowi sebagai Presiden.

Demikian juga jika dikaji perkembangan media massa tanah air sebelum negara mencapai kemerdekaan. Akhbar-akhbar awal Tanah Melayu seperti Jawi Peranakan, Majlis dan Utusan Melayu sendiri menyemarakkan semangat anak watan ke arah pembebasan daripada belenggu penjajahan.

Kini pada ketika negara-negara dunia mengorak langkah ke arah kebebasan maklumat, pemerintah Umno BN mahu 'memperbodoh' rakyat terutama media massanya dengan 'mengharamkan' mereka membuat liputan perhimpunan agung Umno. Kemudian selepas takut menanggung risikonya, barulah ditarik balik larangan itu. Nampaknya mereka tidak jujur tetapi bertindak berdasarkan kepentingan diri sendiri saja.

Kita bertanya apakah hebat sangat perkara yang hendak dibincangkan sehingga pada mulanya liputan media diharamkan? Apakah rakyat mahu dijadikan katak di bawah tempurung pada era langit terbuka ini? Seolah-olah Umno BN menyimpan bangkai gajah dan mahu menutupnya dengan nyiru...ya cuba-cubalah tutup tetapi percayalah bau busuknya tetap akan tersebar ke seantero dunia!

No comments: