********************* Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) **************************
TAHNIAH Umno kerana melalui PAU ke-69, berjaya 'membuktikan' kepada rakyat bahawa ia benar-benar mengambil berat derita mereka. Pemimpinnya seperti Khairy Jamaluddin menjerit, memekik menyatakan bahawa betapa susahnya rakyat berikutan kenaikan harga barangan keperluan dan sebagainya. Ada pula menjerit menyatakan GST sebanyak 6 peratus tinggi, boleh tak turunkan kepada 4 peratus?
Namun sayang seribu kali sayang; setakat menjerit hampir semua orang boleh menjerit, Malah kanak-kanak baru lahir pun 'menjerit' (menangis); hendaknya rakyat marhain tidak digalaskan untuk terus menanggung beban kehidupan pada tahun baru 2015 Masihi yang akan tiba tidak lama lagi.
Ya, kita lupakanlah 'sesi menjerit' orang Umno kerana tahun lalu mereka menjerit juga, misalnya dalam isu semakin pupusnya hartanah orang Melayu tapi semuanya wal hasil balik asal; masa perhimpunan cakap berdegar-degar selepas itu sunyi sepi, ironinya tahun depan mereka cakap lagi...ini apa 'punya budaya dah?'
Biarkan orang Umno 'terjun dengan labu-labunya'...kita lihat realiti depan mata ini. Seorang anak perempuan saya yang akan naik Tingkatan Dua sebelum cuti sekolah lalu membawa balik 'book list' (senarai keperluan sekolah) tahun 2016...berpinar-pinar 'bijik mata' saya melihat jumlah besar yang perlu dibayar adalah RM567.15!
Subhanallah. banyaknya duit perlu dikeluarkan. Risau juga saya memikirkannya kerana sebagai penulis sambilan (saya sudah pencen daripada tugas wartawan sepenuh masa) dalam akaun bank saya, perolehan (income) bulanan dicatatkan kadang-kadang ratusan ringgit saja (dan bukan berbilion-bilion ringgit), bagaimana saya 'nak cekau' bagi membayar kos keperluan hidup sekarang ini?
Ya, dalam keghairahan anak-anak menghabiskan cuti panjang yang berbaki beberapa hari lagi, apakah ibu bapa dan penjaga sudah bersedia termasuk dari segi kewangan untuk menanggung kepayahan tahun baru? Tahun baru bermakna banyak bayaran perlu dibereskan. Bagi mereka yang mempunyai sejumlah anak bersekolah, bersedialah kerana kos menghantar kembali anak-anak ke sekolah bukannya murah; jika seorang anak memerlukan RM500, empat orang anak sudah berjumlah RM2,000!
Penyediaan ini belum lagi membabitkan pakaian, kasut dan beg serta duit saku. Demikian juga dengan tambang bas sekolah yang dinaikkan - kalau seorang anaknya tambangnya RM50 sebulan; empat orang anak jumlahnya sudah RM200 sebulan...'hai mana nak cari duit banyak-banyak ni?'
Bagi anak yang bersekolah rendah , mereka juga perlu ke sekolah agama rakyat yang biasanya diadakan pada sebelah petang. Biasanya yuran dan buku tulis bagi sekolah agama ini mencecah RM200...ya bertambah peninglah ibu bapa, tapi apa nak buat...soal pendidikan 'tak boleh dibuat main-main'. Ya, berkorbanlah apa saja asal anak-anak kita pandai dan tidak mengulangi kehidupan susah seperti yang kita alami.
Bagi kakitangan kerajaan, mereka mungkin boleh berasa lega sikit kerana khabarnya akan mendapat imbuhan RM500 bagi menampung serba sedikit keperluan anak-anak, tetapi bagaimana pekerja swasta seperti buruh kilang?
Pesawah, penoreh getah dan peneroka termasuk di kawasan di landa bencana seperti banjir tentunya akan menghadapi masalah rumit apabila tahun baru bermula. Hasil sawah tidak menjadi, jadi bagaimana mereka mahu memenuhi kehendak anak-anak yang mendayu-dayu meminta dibelikan peralatan dan kelengkapan persekolahan.
Biasanya apabila tahun baru menjelma, akan berlaku pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang sudah pasti mencengkam rakyat marhain. Harga barangan keperluan harian seperti beras, tepung, gula, susu, minyak masak, ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran dibimbangi akan naik, sekali gus membebankan golongan berpendapatan rendah.
Rakyat marhain juga khuatir jika bayaran perkhidmatan seperti tarif elektrik, air, tol, tambang pengangkutan awam dan aneka jenis cukai akan naik yang memerlukan mereka berbelanja lebih sedangkan pendapatan mereka tidak berubah sekalipun tahun sudah bertukar.
Terbuktilah rakyat berterusan menjerit sepanjang tahun kerana derita menanggung beban hidup tetapi anehnya sesetengah pemimpin negara dan parti menjerit hanya setahun sekali. Setiap kali perhimpunan parti mereka menjerit selepas itu senyap...tapi percayalah tahun depan mereka akan menjerit lagi!
No comments:
Post a Comment