********************* Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) **************************
PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu ketika merasmikan Graha Amanah Melaka di Bukit Katil 13 Disember lalu mengingatkan bahawa pemimpin Umno melalui perhimpunan agungnya (PAU pada 8-12 Disember lalu) bagaikan mengisytiharkan isu perkauman sebagai senjata paling ampuh mereka bagi menghadapi PRU-14.
Melalui PAU itu Presiden Umno, Najib Razak seolah-olah mencabar orang Melayu mereka hanya ada satu pilihan sama ada untuk menyokong (mengundi) Barisan Nasional yang 'berketuakan' Umno atau barisan pembangkang yang 'diketuai' DAP. Ya kepada orang Melayu, mana satu pilihan anda...nak sokong (beri undi kepada) Umno atau DAP. Orang Melayu ditakutkan jika DAP memerintah, perkara ini dan hal begitu akan berlaku...
Hakikatnya, kata Mohamad Sabu, DAP tidak mungkin menjadi parti terkuat dalam Parlimen Malaysia kerana jumlah kerusi ditandinginya kecil, misalnya pada PRU-13 lalu, DAP hanya bertanding 51 kerusi sedangkan kerusi Parlimen semuanya 222.
Jadi, kata beliau mulai sekarang semua pihak dalam pakatan pembangkang hendaklah bekerja kuat untuk menafikan sentimen perkauman yang menjadi gendang perang Umno. Mereka menakutkan orang Melayu mengenai bahaya DAP sedangkan permasalahan besar yang membelenggu negara dan mereka seperti isu 1MDB dan wang RM2.6 bilion masuk ke akaun PM sengaja dilupakan!
Ya, mereka sengaja meneriakkan Umno VS DAP dengan harapan rakyat terutama orang Melayu termakan pancingan mereka dan pada masa sama mereka menghulurkan 'tali persaudaraan dan persabahatan' kepada PAS. Orang Melayu digambarkan kononnnya kecerahan masa depan mereka adalah di tangan Umno, kalau mereka tidak memilih Umno sebaliknya barisan pembangkang yang 'diketuai' DAP, maka punahlah masa depan mereka!
Maka apabila fikiran orang Melayu disesakkan dengan Umno VS DAP, sebahagiannya terlupalah akan derita ditanggung mereka gara-gara pentadbiran kurang amanah sesetengah pemimpin. Musuh mereka adalah DAP dan bukan pemimpin korup dan kaki songlap yang bagaikan lintah menghisap darah mangsanya.
Duit negara yang hilang berbilion-bilion ringgit melalui pelbagai skandal tidak lagi mereka kisahkan; demikian juga langkah 'brutal' pemimpin yang 'menyedut' duit mereka seperti pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus dan kenaikan bayaran perkhidmatan seperti tol dan tambang pengangkutan awam pada ketika harga barangan keperluan juga mencanak naik disebabkan peniaga terkesan berikutan adanya GST dan berlaku kenaikan harga minyak.
Jika sesetengah pemimpin bangga melalui GST kerajaan meraih pendapatan RM30 bilion sejak pengenalannya pada 1 April lalu sehingga kini, hakikatnya ia ibarat 'merompak' wang rakyat (termasuk peniaga) untuk dipenuhkan kantung kerajaan. Jika zaman dulu, melalui filem-filem lama P Ramlee, kita dapat saksikan betapa penjahat mengutip cukai daripada orang ramai secara kekerasan, sekarang ia dilakukan secara sistematik. Jika orang dulu enggan bayar cukai, rumah mereka dibakar atau mereka dicampakkan ke laut, balasan untuk orang zaman sekarang mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan.
Berdasarkan keadaan 'korup' sesetengah pemimpin dan pihak dalam negara, tentunya kita perlu lakukan perubahan. Pemimpin yang kurang amanah perlu digantikan dengan yang amanah. Mungkinkah dengan lahirnya parti Amanah, akan muncullah pemimpin amanah.
Demikianlah harapan kita...lebih-lebih Presiden Amanah sendiri, Mohamad Sabu sudah meminta ahli dan penyokong partinya serta pakatan pembangkang untuk sama-sama bekerja kuat bagi menggagalkan sentimen perkauman mainan Umno kononnya pertarungan PRU-14 adalah antara parti pemerintah yang diketuai Umno dan pakatan pembangkang yang 'berketuakan' DAP! Ya, itu tidak benar sama sekali, kata Mohamad Sabu. Ayuh...buktikan mulai sekarang!
No comments:
Post a Comment