Wednesday, December 23, 2015

'Turki boleh, Malaysia lagi boleh...'

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)


SEMASA berkunjung ke 'Grand Bazaar' dan 'Spice Market' di kota Istanbul beberapa hari lalu, saya dapati peniaga yang kebanyakannya anak-anak muda, mesra menyapa dalam bahasa Melayu dan antara ungkapan mereka adalah 'Malaysia boleh!'

Saya berpendapat ini berlaku mungkin kerana percakapan dalam bahasa Melayu mudah ditiru dan dipelajari, lebih-lebih lagi bahasa Melayu dan Turki berkongsi sejumlah perkataan seperti sabun manakala ejaan daripada perkataan pinjaman bahasa Inggeris seperti ekonomi, politeknik, lojistik dan klinik adalah sama.

Suatu ketika apabila seorang peniaga Turki menyebut 'Malaysia boleh', saya pun menyampuk, 'Turki pun boleh'; dia membalas balik dengan berkata 'Malaysia lagi boleh.' Terkejut saya dibuatnya!

Berdasarkan sketsa ini, mungkin boleh dirumuskan wujud hubungan sangat baik antara Turki-Malaysia, lebih-lebih lagi sesama rakyat kedua-dua negara. Pengunjung dari Malaysia ternyata ramai di Turki; kerap kita bertembung dengan kumpulan pelancong dari Malaysia sama ada di Istanbul atau kota-kota lain.

Menyebut mengenai 'Turki boleh, Malaysia lagi boleh' di sini saya celotehkan beberapa perkara yang orang Turki boleh buat dan sehubungan itu orang Malaysia atau pemimpinnya boleh buat. Ya, Turki boleh, Malaysia lagi boleh!'

Pertamanya mengenai jalan raya dan lebuh raya. Sepanjang perjalanan merentasi bumi Turki sejauh ribuan kilometer, saya dapai jalan raya dan lebuh raya Turki amat baik; setaraf dengan Malaysia. Sesuatu yang amat menakjubkan di sini tidak ada pondok tol pun pada sepanjang perjalanan kecuali di lebuh raya 'super' di antara Bolu (separuh perjalanan antara Ankara-Istanbul) dan Istanbul.

Ertinya hampir semua lebuh raya Turki tiada tol. 'Free of charge', kata orang putih. Sistem tol lebuh raya Bolu-Istanbul juga menghairankan 'budak kampung' dari Malaysia seperti saya. Apabila kenderaan melintasi gerbang lebuh raya, akan berbunyi 'tick' dan kemudian apabila keluar daripada lebuh raya, berbunyi 'tick' sekali lagi. Ertinya tol dibayar secara automatik dengan pemandu tidak payah memberhentikan kenderaan untuk membayar secara tunai atau kad seperti di Malaysia.

Apabila Turki boleh membuat perkara ini, saya yakin Malaysia juga boleh. Ya Turki boleh, Malaysia lagi boleh! Di Turki lebuh rayanya 'free', di Malaysia pun boleh. Namun buat masa sekarang jika pemerintah Malaysia berasa 'kurang mampu' mengadakan lebuh raya bebas tol, apa kata 'bertimbang rasalah' untuk tidak menaikkan kadar tol yang kerap dilakukan itu. 

Demikian juga dengan tambang pengangkutan awam, 'bertimbang rasalah' dengan penderitaan rakyat. Janganlah dinaikkan, kasihan orang miskin dan kurang berada! Derita rakyat ini bukan ditanggung 'orang pembangkang' saja tetapi juga 'orang Umno' yang kuat menyokong pemerintah Umno-BN. Ya, dalam PAU baru-baru ini, perwakilan Umno sendiri menjerit bahawa rakyat pun terpaksa makan nasi berlaukkan 'tokyu' (kicap) kerana harga barangan keperluan kerap naik sedangkan menteri mudah beralasan seperti "kalau ayam mahal, jangan makan ayam!"

Di sepanjang perjalanan menelusuri bumi Turki, di kemuncak bukit dan lereng gunungnya kelihatan kinci angin besar dan tinggi (wind powered generator) untuk menghasilkan bekalan elektrik - ertinya pemerintah dan orang Turki bijak memanfaatkan alam semula jadi untuk kemudahan rakyat. Demikian juga di sesetengah tempat ada kemudahan untuk memanfaatkan tenaga solar (matahari).

Jika Turki boleh memanfaatkan alam semula jadinya, Malaysia lagi boleh! Pancaran cahaya matahari di Malaysia kekal sepanjang tahun. Mengapa tak memanfaatkannya secara maksimum. Semasa berkunjung ke India, saya dapati ada bangunannya yang berbumbungkan bahan lutsinar (translucent) jadi tidaklah mereka menggunakan banyak lampu untuk menerangi ruang dalam bangunan. Begitu juga dengan penggunaan tingkap bagi memerangkap angin, tidaklah mereka terlalu bergantung kepada alat pendingin udara.

Demikianlah, orang Turki dan India bijak memanfaatkan alam semula jadi mereka. Jika orang Turki boleh, orang Malaysia lagi boleh...Jika orang Turki bijak berjimat, orang Malaysia lagi boleh. Dari segi pelancongan pula, jika orang Malaysia boleh beramai-ramai ke Turki, mengapa tidak 'dieksploitasi kesamaan Malaysia-Turki' untuk membolehkan pelancong Turki 'beramai-ramai' ke Malaysia.

Mungkin jika pelancong Turki sudah ramai di Malaysia, bolehlah peniaga Malaysia pula bercakap dalam bahasa Turki - misalnya bagaimana nak disebut 'jika Turki boleh, Malaysia lagi boleh!'

No comments: