Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
CELOTEH ini ditulis pada Ahad, 29 November bersamaan 17 Safar 1437 Hijrah. Ya, kita kini berada dalam bulan Safar yang mana puluhan tahun lalu, ada pesta terhebat di Melaka dinamakan 'Temasya Mandi Safar'.
Perayaan ini menyebabkan Melaka terkenal seantero dunia - Wikipedia, ensiklopedia bebas, mencatatkan: "Temasya Mandi Safar merupakan satu perayaan orang Melayu khususnya orang Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak yang diwarisi sejak zaman berzaman.
"Di Kelantan dan Terengganu, perayaan ini dikenali sebagai Pesta Puja Pantai. Temasya ini diadakan setiap tahun apabila tiba bulan Safar iaitu bulan kedua di dalam kalendar Islam.
"Mandi Safar adalah temasya mandi-manda yang diadakan pada hari Rabu yang terakhir dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi hari tersebut, orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang bertulis dengan kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar."
Syukurlah, berikutan perjuangan penuh gigih ulama, 'Temasya Mandi Safar' sudah lama tiada di Melaka. Namun satu hal 'kurang menggembirakan' sekalipun 'mandi Safar' itu tidak diamalkan lagi, 'temasya'nya masih ada atau 'mahu terus dihidupkan'.
Buktinya, pada 14 November lalu, kerajaan negeri Melaka dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengadakan 'Joget 1Malaysia' manakala pada 5-6 Disember ini pihak yang sama akan menganjurkan Karnival Budaya dengan tema 'Di Sini Semaraknya Seni Budaya'. Pesta pada hari Sabtu dan Ahad itu bersamaan 23 dan 24 Safar diadakan di Perkampungan Hang Tuah, Kampung Duyong, Melaka. Pelbagai acara termasuk dondang sayang dan persembahan artis diadakan.
Saya yang dilahirkan selepas tarikh kemerdekaan negara (31 Ogos 1957), kurang mengetahui 'cara hidup' orang dulu-dulu. Sedikit pengetahuan mengenainya diperolehi melalui pembacaan; kali ini bersyukurlah, seorang pembaca di kalangan 'orang lama' sedia berkongsi pengalaman mengenai 'Temasya Mandi Safar'. Berikut adalah tulisan beliau:
"Saya tertarik berbaca artikel Saudara bertajuk 'Berselawat boleh, cak kun cak pun boleh' (Harakah 20-22 November 2015). Ini mengembalikan ingatan saya pada Rabu akhir bulan Safar tahun 1959. Saya pergi ke 'Temasya Mandi Safar' dengan seorang kawan, budak Melaka di pantai Tanjung Kling, Melaka.
"Saya bertolak dari Pontian pagi Rabu itu naik bas ke Jasin. Dari Jasin naik 'skuter' dengan rakan itu pergi ke Tanjung Kling. Petang sampai ke sana.
Saya lihat kereta lembu dihias cantik-cantik. Ada jogek lambak, dondang sayang. Orang terlalu ramai memenuhi pantai Tanjung Kling yang masyhur itu.
"Saya sewa hotel di tepi pantai. Simpan beg di situ. Ingin melihat Temasya Safar pada waktu malam. Sungguh ramai orang, entah orang dari mana agaknya. Semalaman itu saya tidak tidur. 'Ngeluyur' sepanjang pantai, bercampur gaul entah dengan siapa. Masa itu saya masih bujang, umur 23 tahun.
"Kawan saya itu terpisah daripada saya apabila dia berjumpa kawan-kawan senegerinya. Saya cuba cari dia di celah-celah orang yang begitu ramai di pantai itu. Saya seolah-olah mencari seulas antah yang jatuh di tengah-tengah padang rumput. Tentulah tak jumpa. Dinihari saya balik ke hotel sendirian.
"Pagi besoknya saya meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Tanpa menemui kawan itu. Bukankah dulu tiada telefon bimbut. Sampai sekarang saya tak ketemui kawan saya itu atau berhubung surat dengannya.
"Apabila membaca artikel Saudara itu, nostalgia temasya itu datang 'cerak' dalam kepala. Sempat saya ketawa sendirian, mengimbau kembali kenangan 'bersafar' 50 tahun dulu di Tanjung Kling, Melaka.
"Oh, sekarang ini masih dihidupkan demi pelancongan dan dijadikan acara tahunan oleh kerajaan negeri. Mungkin akan terus diadakan selagi ada matahari terbit dari timur.
"Apakah hendak dikembalikan 'orang Melayu Islam' ke zaman 'kurafat'. Dulu saya melihat di pantai Tanjung Kling, orang merendam kertas yang ada 'gambar rajah' dalam bekas air. Katanya, 'air tolak bala'. Setelah mandi 'air tolak bala' masing-masing terjun ke laut untuk 'membasuh dosa' seperti kepercayaan orang Hindu membersihkan dosa mandi di Sungai Ganges.
"Sekarang ini kita hebat dengan 'Jom Heboh', 'Akademi Fantasia' dan sebagainya. Malangnya menjadi 'orang Melayu Islam separuh-paruh'. Ramai pendakwah tapi ramai yang tersasar dan mendedahkan aurat. Semakin digalakkan pula pelbagai pesta. Akan lahirlah Melayu juara dadah dan masuk Seranti. Mereka juga juara dedah dan buang anak. Pengangguran dan jenayah tinggi.
"Saya tidak melihat diri saya, tapi saya melihat apa yang berlaku kepada cucu cicit saya 50 atau 100 tahun akan datang. Saya menangis mengenang nasib mereka." - KAS, Pontian, Johor
No comments:
Post a Comment