****************************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************************** Renungan ****************************** "Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) *********************************
HAI cik adik...ke mana tu...naik kereta lembu ke...boleh abang ikut...- demikianlah antara lirik sebuah lagu yang popular sering didendangkan ketika majlis joget atau joget lambak (cak kun cak) termasuklah Joget 1Malaysia yang diadakan di negeri bersejarah Melaka saban tahun.
Tahun ini Joget 1Malaysia diadakan pada malam 14 November lalu di Jalan Kota, Bandar Hilir Melaka. Maka ramailah rakyat Melaka, orang luar Melaka termasuk pelancong asing mengambil kesempatan untuk berjoget. Turut berjoget pada majlis anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Melaka itu adalah pemimpin dan orang kenamaan.
Apabila musim berjoget berbondong-bondonglah orang Melaka termasuk pemimpinnya berjoget. Apabila musim berselawat berbondong-bondong juga orang Melaka dan pemimpinnya berselawat. Malah siap berjubah dan berketayap putih! Ertinya kedua-duanya boleh. Melaka boleh. Malaysia boleh. Berjoget boleh berselawat pun boleh. Hebat orang Melaka malah orang Malaysia...mereka serba boleh.
Pemimpin Melaka berkata program Joget 1Malaysia akan terus diadakan dalam usaha mempertahan seni budaya masyarakat Melayu. Kata mereka joget adalah tarian yang diterima oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini dan tarian itu harus dikekalkan keagungan sejak dahulu hingga sekarang...ya sama dengan slogan; dulu, kini dan selama-lamanya.
Bagi sesetengah orang di Melaka termasuk pemimpinnya joget satu kemestian dalam majlis keramaian dan ditarikan secara berpasangan, berkumpulan dan beramai-ramai yang juga dikenali sebagai joget lambak atau cak kun cak. Pada kebiasaannya persembahan joget diiringi oleh alat-alat muzik akordian, biola, rebana dan gong.
Seorang ustaz dalam tazkirahnya di sebuah masjid yang saya hadiri beberapa hari lalu menyatakan kekesalan dengan tindakan pihak berkuasa menghidupkan semula amalan jahiliah orang Melayu seperti cak kun cak.
Cak kun cak hebat di Melaka suatu ketika dulu tetapi diperangi secara habis-habisan oleh ulama pada tahun-tahun 1960-an sehingga 1980-an, tetapi pemimpin masa kini melihatnya sebagai satu cara terbaik memperhebatkan industri pelancongan seterusnya meraih pendapatan tinggi kepada rakyat dan negara, kononnnya.
Menghidupkan semula amalan jahiliah orang Melayu ini, adalah sesuatu yang malang bagi masa depan bangsa ini yang sewajarnya diperkasakan bukan saja untuk kebahagiaan dunia tetapi juga akhirat. Tidak guna digembar-gemburkan akan ketuanan Melayu sedangkan hakikatnya bangsa ini mahu dilekakan kembali dengan amalan yang bukan saja mendatangkan penderitaan di akhirat tetapi juga di dunia.
Kini bangsa Melayu menghadapi masalah sosial paling kronik. Permasalahan seperti meningkatnya kes penyalah-gunaan dadah, cerai, bunuh, membunuh diri, berzina dan pelbagai maksiat lain bukan saja membabitkan muda-mudi tetapi juga golongan veteran yang sewajarnya bersiap sedia menjadi penghuni kubur.
Tetapi nampaknya cara hidup songsang yang dihidupkan kembali oleh pihak berkuasa, menjadi tarikan utama golongan ini untuk kembali berjoget dan berdondang sayang menyamai zaman 1960-an, malah lebih teruk daripada itu. Orang Melayu nampaknya mahu dinostalgiakan kembali dengan zaman kelekaan itu, seterusnya melupakan permasalahan serius dihadapi bangsa ini pada zaman serba mencabar sekarang.
Bagi kita, sesetengah pemimpin Melayu ini sengaja meleka-lekakan bangsanya agar mereka dan suku sakat mereka terus berkuasa ‘dulu, kini dan selamanya’. Apabila rakyat didendangkan kononnya kehidupan mereka penuh kemewahan, kemudian disogokkan dengan majlis-majlis keramaian pemuas nafsu. maka akan terus tertidurlah bangsa ini dijajah bangsanya sendiri.
Bangsa ini akan hanyut dengan aneka maksiat bentuk baru; dulu ada permukiman tujuh hari tujuh malam jika anak pembesar berkahwin di mana acara seperti joget lambak dan sabung ayam diadakan, kini orang Melayu dihanyutkan pesta sana, pesta sini yang mungkin berlangsung dua atau tiga hari dengan kemuncak diadakan konsert di mana muda-mudi bebas bercengkerama. Pergaulan bebas membawa natijah buruk, jumlah anak-anak luar nikah terlalu tinggi dan tidak gentarkah kita akan balasan yang menunggu di akhirat nanti?
No comments:
Post a Comment